2014-07-24 12:01am
 
KHAS
 
MerdekaReview menamatkan operasi
 
MerdekaReview | Aug 02, 2012 03:15:58 pm
Kongsi |

Sesungguhnya ia merupakan keputusan yang berat buat kami semua di MerdekaReview.  Dengan dukacita kami mengumumkan bahawa MerdekaReview edisi Bahasa Malaysia akan menamatkan operasi mulai hari ini, setelah genap tiga tahun sejak ditubuhkan pada 1 Ogos 2009.  Di samping itu, MerdekaReview edisi bahasa Cina akan menamatkan operasinya pada 31 Ogos 2012.

MerdekaReview dilancarkan pada 31 Ogos tahun 2005, dengan edisi bahasa Cina sahaja.  Empat tahun kemudian, MerdekaReview menyediakan edisi Bahasa Malaysia sebagai medium untuk pembaca yang tidak fasih bahasa Cina.  Dengan hanya seorang editor, edisi bahasa Malaysia memberi lebih tumpuan untuk menterjemahkan tulisan yang disiarkan dalam MerdekaReview edisi bahasa Cina, selain laporan aktiviti politik, forum dan wawancara tertentu.  Di samping itu, beberapa orang kolumnis turut menyumbang untuk memperkayakan kandungan MerdekaReview dari masa ke masa.

Namun demikian, segala-galanya terpaksa dibubuhkan noktah, apabila MerdekaReview gagal membebaskan diri dari masalah kewangan.  Pada Mei 2011, MerdekaReview mengalami krisis kewangan setelah penaja tidak lagi menyuntik dana untuk melanjutkan operasi media ini.

Kempen "Selamatkan MerdekaReview" telah diadakan ketika itu untuk mengutip derma bagi melanjutkan hayat MerdekaReview.  Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka yang menawarkan bantuan dan menyumbang sepanjang tempoh itu.  Malah edisi bahasa Cina Malaysiakini telah bekerjasama dengan MerdekaReview kemudiannya untuk "pelan langganan bersama" (melayari kedua-dua laman dengan satu harga), menjana pendapatan untuk menampung kos kedua-dua media internet.

MerdekaReview merasai sokongan yang hangat dari pembaca.  Namun demikian, pendapatan yang diperolehi daripada pelan langganan gagal menampung semua kos perbelanjaan yang diperlukan untuk meneruskan operasi media ini.  Sepanjang tempoh setahun yang lalu, kami cuba mencari pelabur, penaja dan penyumbang dana sebagai jalan alternatif untuk menyokong dari segi kewangan, namun kami gagal menemui pelabur dan penaja yang sesuai.

Dengan kekangan kewangan sedemikian, kami berdepan dengan masalah untuk mengekalkan pasukan editorial yang asal, pada masa yang sama gagal menarik orang baru untuk menyertai pasukan kami.  Saban hari kami berdepan dengan lambakan isu yang perlu diberi liputan, sementara berhempas-pulas untuk mencari sumber dana.  Keadaan ini berlanjutan, sehingga kami mendapati agak sukar untuk mengekalkan kuantiti dan kualiti tulisan di MerdekaReview.

Untuk mengelakkan ia terus menjadi beban yang semakin berat, maka kami terpaksa membuat keputusan untuk menamatkan operasi MerdekaReview.

Sekali lagi, MerdekaReview merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penulis dan pembaca yang menyokong kami sepanjang ini, malah media lain, khususnya Malaysiakini yang sudi bekerjasama dengan kami untuk "pelan langganan" - yang melanjutkan hayat MerdekaReview sehingga saat ini.  Kami memohon maaf kerana gagal meneruskan perjalanan ini.  Namun kami mendoakan agar rakan seperjuangan kami terus mara ke depan dalam perjuangan kebebasan bersuara dan pendemokrasian politik.

Sekian, terima kasih.

Salam hormat,
MerdekaReview



 
Sebelumnya
<< Perjuangan untuk bahasa Melayu: Nasionalisme bahasa atau Nasionalisme etnik?
Seterusnya
>> Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>