2014-08-28 11:03am
 
KHAS
 
Perjuangan untuk bahasa Melayu: Nasionalisme bahasa atau Nasionalisme etnik?
 
Wong Chin Huat | Aug 02, 2012 11:50:53 am
Kongsi |

Sesetengah pihak yang menggelar diri mereka sebagai pejuang bahasa Melayu kebelakangan ini menggesa agar kebebasan berbahasa rakyat Malaysia disekat agar bahasa Malayu dapat diagungkan.

Mentaliti mereka ini berparadigmakan dasar perlindungan (protectionism) bahasa.  Ini bukan sesuatu yang baru.  Di dunia Barat, Perancis adalah salah sebuah negara yang asyik sangat untuk melindungi bahasanya daripada ancaman bahasa Inggeris.

Seperti dalam dunia ekonomi, apabila sesuatu itu perlu dilindungi, ia pastinya sesuatu yang lemah.

Bahasa Perancis tidak perlu perlindungan 200 tahun yang dahulu apabila ia adalah bahasa teragung di Eropah.  Kuasa-kuasa pesaing Perancis seperti Jerman, Australia dan Rusia menggunakan bahasa Perancis di istana mereka.

Bahasa Inggeris hari ini juga tidak menerima perlindungan daripada United Kingdom, Amerika Syarikat ataupun mana-mana negara Komanwel.  Sebagai bahasa yang paling berleluasa dituturi di dunia, Bahasa Inggeris hari ini lebih dipertuturkan sebagai bahasa asing daripada bahasa ibunda.

Kerana ini, bahasa Inggeris menyerap kosa-kata dan pengaruh daripada bahasa lain dengan kadar yang tinggi, sehingga bahasa Inggeris yang ditutur di pelbagai perusuk dunia itu semakin berbeza daripada bahasa klasik yang digunakan oleh Shakespeare, Yeats atau Charles Dickens.

Kalau dulu ada orang yang percaya bahawa seseorang yang bukan Inggeris boleh diinggeriskan dengan pendidikan bahasa Inggeris, kepercayaan ini langsung tidak berasas dalam era globalisasi ini.  Kebanyakan penutur bahasa Inggeris hari ini tidak berhajat untuk menjadi orang Inggeris.  Bahasa Inggeris menentukan daya saing mereka, bukan jati diri.

Perkara yang sama akan berlaku kepada bahasa Cina.  Penutur bahasa Cina sebagai bahasa asing semakin meningkat lantaran kebangkitan ekonomi negara China, sungguhpun ia mungkin mengambil masa sekurun sebelum ia mencapai kedudukan seperti bahasa Inggeris, di mana lebih penuturnya menuturinya sebagai bahasa asing daripada bahasa ibunda.

Di Malaysia sekalipun, semakin ramai budak bukan keturunan Cina yang bersekolah Cina, mencapai kira-kira 11% dalam murid sekolah rendah jenis kebangsaan bahasa Cina, mengikut data terkini, berbanding dengan cuma 7% murid sekolah rendah kebangsaan yang berketurunan bukan Bumiputera.

Persoalan yang para pejuang bahasa Melayu perlu membuat suatu ketetapan ialah sama ada bahasa Melayu harus diperjuangkan supaya ia berkembang seperti mana bahasa Inggeris dan bahasa Cina melampaui batasan keturunan malahan tamadun?  Ataupun, bahasa Melayu harus dipertahankan seperti bahasa Perancis yang semakin merosot keagungannya?

Ini suatu pilihan yang cukup besar yang tidak boleh dielakkan lagi oleh semua penutur dan pencinta bahasa Melayu.  Sudah tiba masanya untuk kita semua berterus-terang dan tidak bermain kata.

Apakah bahasa Melayu itu harus diperjuangkan demi nilai intrinsiknya, yakni sebagai bahasa?  Ataupun bahasa Melayu itu harus diperjuangkan demi nilai ekstrinsiknya, yakni sebagai alat untuk memajukan kaum Melayu?

Perjuangan pertama ialah nasionalisme bahasa, sementara perjuangan kedua ialah nasionalisme ethnic (kaum).  Bertentangan dengan keinginan subjektif ramai orang, kedua-dua perjuangan ini tidak sentiasa berkawan, sebaliknya mungkin berlawan.

Kalau tujuannya untuk mengagungkan sesuatu bahasa itu, maka insentif maksima harus diberikan kepada semua rakyat untuk bukan sahaja bertutur dalam bahasa itu, tetapi juga menambahkayakan ilmu pengetahuan dalam dan melalui bahasa itu.

Jika dasar ini cukup berjaya, kaum bukan penutur asal mungkin lebih fasih menutur bahasa itu daripada kaum penutur asal sehingga menerima paling banyak insentif dasar bahasa.

Ini sebenarnya berlaku di Malaysia di bawah Dasar Ekonomi Baru, yakni selepas dominasi kaum Melayu ditetapkan selepas rusuhan 13 Mei dan sebelum tamatnya Era Perang Dingin yang membawa liberalisasi ke seluruh dunia.

Dalam masa dua dekad itu, ramai anak-anak bukan Melayu bersungguh-sungguh belajar bahasa Melayu demi berjaya dalam sistem pendidikan kebangsaan yang berorientasikan bahasa Melayu.

Sekiranya kefasihan bahasa akan memberikan mereka peluang kerjaya yang lebih baik, seperti mana kefasihan dalam bahasa Inggeris, sudah pasti sekolah kebangsaan akan menjadi semakin popular dan sekolah-sekolah bahasa ibunda akan merosot.

Akan tetapi, kerana orang bukan Melayu tetap diberi layanan kelas kedua sebagai Bukan Bumiputera sekalipun jika mereka lebih fasih berbahasa Melayu daripada orang Melayu, insentif untuk orang bukan Melayu menguasai dan menggunakan bahasa Melayu adalah minima.  Inilah percanggahan keutamaan di antara nasionalisme bahasa dan nasionalisme kaum.

Ini menjelaskan mengapa peratusan anak Cina yang pergi ke sekolah rendah Cina memecut dari lebih kurang 70% pada awal perlaksanaan DEB ke hampir 90% pada dekad 1990-an.

Hakikat ini mungkin mengecewakan sesetengah orang Melayu: mengapa orang Cina di Indonesia dan Negara Thai sanggup diasimilasikan sepenuhnya tetapi orang Cina di Malaysia degil mempertahankan jati diri mereka?

Jawapannya ringkas sahaja.  Di Negara Thai, dasar nasionalisme budayanya bermakna sesiapa yang sanggup diasimilasikan sepenuhnya tidak akan menghadapi apa-apa diskriminasi.  Ini menjelaskan mengapa orang Cina Thai yang kebanyakannya beragama Buddha dengan mudahnya menerima asimilasi sebaliknya orang Melayu Thai yang berlainan agama dengan kaum majoriti merasai peminggiran dan ramai bangkit menentang.

Kalau orang Melayu sanggup mengikut contoh negara Thai (dalam konteks asimilasi bahasa sahaja) dalam tahun-tahun DEB (1971-1990), ramai orang bukan Melayu juga akan bersetuju menerima asimilasi sebagai syarat untuk kesamarataan sepenuh.  Pokoknya, apakah orang Melayu sanggup menerima syarat sebegitu?  Hari ini, dengan globalisasi, asimilasi sepenuhnya sudah lenyap sebagai sebuah opsyen dasar.

Mungkin ada yang tertanya: bagaimana pula di Indonesia?  Orang Cina Indonesia menerima asimilasi sungguhpun mereka tetap didiskriminasi pada zaman Order Baru?

Jawapannya juga ringkas.  Orang Cina cuma merangkumi kira-kira 3% daripada penduduk Indonesia, mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menentang polisi kerajaan, ini terutamanya selepas pembunuhan besar-besaran orang komunis dan kaum Cina pada tahun 1965.

Dalam erti kata lain, apabila kaum majoriti mempunyai kuasa mutlak, ia menjadi rasional untuk kaum minoriti menerima asimilasi dan diskriminasi pada masa yang sama, kerana alternatifnya - penentangan - kebarangkalian besar cuma akan membawa maut.

Sekali lagi, kaedah ini cuma mungkin berjaya semasa Perang Dingin kerana keganasan politik sebagai alat pihak kerajaan untuk mencapai matlamat politiknya tidak akan ditoleransi oleh dunia hari ini.

Dengan ketibaan Era Globalisasi, paksaan termasuk asimilasi sudah pasti menerima kegagalan.  Sekalipun bahasa Melayu dipaksakan ke atas semua rakyat, bahasa Melayu tidak akan maju di dalam negeri selagi kita tidak menutup pintu daripada dunia dan menjadi Korea Utara kedua.

Ini adalah sebab pejuang-pejuang bahasa harus memikir semula apakah sebenar perjuangan yang diingini?

Kalau untuk berjuang demi kaum penutur asal, yakni orang Melayu, pengagungan bahasa melalui paksaan - dan bukan peningkatan keupayaan bahasa itu - mungkin lebih memudaratkan daripada menguntungkan bukan sahaja seluruh rakyat, tetapi juga orang Melayu sendiri.

Sudah nyata, sikap authoritarian dalam bahasa Melayu akan menyebabkan anak-anak Melayu kurang berminat mempelajari bahasa lain dan akhirnya mereka akan kurang berdaya saing di arena antarabangsa.  Malahan, kita mungkin kehilangan lebih bakat-bakat yang tidak percaya dengan dasar eka-bahasa, termasuk bakat orang Melayu sendiri.

Kalau kita ingin membangunkan penutur asal bahasa Melayu, yakni orang Melayu, maka kita kena cari cara yang lebih berkesan.

Kalau perjuangan adalah benar-benar untuk memajukan bahasa tinggalan nenek-moyang, maka bahasa Melayu mesti disebarkan ke khalayak orang bukan Melayu malah di luar sempadan Malaysia atau negara-negara Nusantara.

Daripada segi ini, ada baiknya bagi pejuang-pejuang bahasa mengimbas kembali sejarah kebangkitan bahasa Melayu.

Sememangnya kebangkitan awalnya mungkin terhutang budi kepada penutur asalnya di kawasan Palembang-Jambi, yang membina Empayar Sri Vijaya, akan tetapi, kejayaan seterusnya tidak dapat dijelaskan dengan kuasa politik.

Mengapa bahasa Melayu tetap menjadi lingua franca di Nusantara di bawah Empayar Majapahit yang rajanya berbahasa-asalkan Jawa?  Kuasa SriVijaya pada zaman keagunganya juga tidak merangkumi Kepulauan Maluku dan Kepulauan Nusatenggara yang tetap menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa "antarabangsa" dalam urusan dengan penduduk dari pulau lain.

Perkara ini berulang pada 1928 apabila golongan nasionalis muda memilih untuk menjunjung bahasa Melayu (namanya bahasa Indonesia) dan bukan bahasa majoriti (yakni bahasa Jawa) sebagai bahasa kebangsaan.  Mengapa pemimpin-pemimpin revolusi keturunan Jawa tidak meletakkan bahasa sendiri sebagai bahasa perpaduan?

Ini sudah tentu berkenaan dengan ciri-ciri bahasa Melayu sebagai bahasa.  Ia ringkas, mudah dipelajari tetapi juga kurang feudalistik daripada bahasa Jawa.

Dalam memperjuangkan bahasa Melayu, kita mesti mempertingkatkan kegunaan bahasa.  Dan apakah musuh paling besar kepada bahasa Melayu itu?  Bukan kebebasan bahasa lain untuk digunakan, tetapi sekatan ke atas penggunaan bahasa Melayu itu sendiri.

Tanyalah kita sendiri: apakah rasionalnya kalau edisi asal bahasa Inggeris "The Origin of Species" oleh Charles Darwin itu boleh didapati di kedai buku dan perpustakaan tetapi penterjemahan buku itu dalam bahasa Indonesia itu diharamkan?  Apakah bahasa Melayu dapat berjaya jika disekat daripada membawa ilmu pengetahuan yang tidak disukai oleh sesetengah pihak?

Usaha sesetengah pihak yang cuma mengIslamkan bahasa Melayu - yakni menjadikan ia sejenis bahasa yang hanya boleh membawa pengetahuan yang sesuai dengan Islam dan oleh itu tidak boleh digunakan oleh penganut agama-agama bukan Islam untuk tujuan agama - itu sebenarnya sedang cuma melemahkan dan melesukan bahasa itu sahaja.

Kalau orang bukan Islam di Malaysia pun tidak dibenarkan menggunakan bahasa kebangsaan untuk tujuan keagamaannya, apakah peluang bahasa Melayu boleh maju di luar Malaysia, Brunei dan Singapura.  Sebenarnya, kalau kita bandingkan bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia, bahasa Indonesia jauh lebih dinamika kerana pelbagai isu boleh dibincangkan dalam bahasa itu dan usaha-usaha penterjemahan itu tidak berhenti.

Di Malaysia, ramai tokoh-tokoh intelektual dan golongan kelas pertengahan yang kosmopolitan pandangan cuma menggunakan bahasa Inggeris untuk berhujah dan bahasa Melayu seolah-olah sudah menjadi bahasa yang cuma sesuai untuk mencetak Utusan Malaysia.

Dalam kata lain, bahasa Melayu menjadi lesu dalam dunia intelektual, tidak setanding dengan saudaranya bahasa Indonesia, janganlah lagi jika dibandingkan dengan bahasa Inggeris, Cina, Jepun dan sebagainya.

Saya amat sedih sekali apabila membaca berita bahawa ada golongan yang menggelar diri mereka sebagai penulis yang menyokong pengharaman buku dan penyekatan kebebasan.  Manakah keindahan bahasa jika kita tidak berkebebasan untuk berfikir?

Dan kalau inilah pejuangnya, perlukah lagi musuh untuk bahasa Melayu?

*Dr.Wong Chin Huat adalah seorang pencinta bahasa Melayu bukan nasionalis.  Beliau cintakan bahasa kerana keindahannya dan kesal tidak ada peluang menggunakan bahasa Melayu untuk tujuan romantik.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>