2014-08-01 11:43am
 
PANDANGAN
 
SAMM: Penahanan Rafizi tanda akhir regim tumbang
 
Edy Noor Reduan | Aug 02, 2012 11:32:53 am
Kongsi |

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengutuk penahanan Rafizi Ramli di bawah akta BAFIA ekoran pendedahan skandal National Feedlot Corporation (NFC) yang didedahkannya pada akhir tahun lalu.

Ia satu cubaan regim untuk menggambarkan Rafizi Ramli (gambar kanan, kanan) sebagai seorang penjenayah walaupun beliau dengan penuh fakta sahih telah mendedahkan skandal NFC yang menyebabkan seorang menteri meletakkan jawatan.  SAMM melihat ini sebagai sangat tidak wajar kerana sepatutnya Rafizi Ramli diberikan hadiah dan penghargaan oleh pihak kerajaan kerana telah menyelamatkan negara ini dari terus dirompak.  Malangnya, hadiah buat Rafizi berupa sepasang gari bersama bon ikat jamin.

SAMM mengucapkan tahniah kepada Rafizi kerana imej penahanan bergari itu bukan sahaja mempopularkan beliau tetapi mempercepatkan usaha kejatuhan regim.  Jikapun apa yang dilakukan Rafizi secara teknikalnya mungkin salah namun percayalah ia berlaku kerana kegagalan pihak SPRM dan pihak berkuasa bertindak apabila laporan dibuat.

Bagi SAMM, melindungi orang-orang tertentu dari golongan VIP dengan memberkas pihak pelapor yang mendedahkan jenayah dan rasuah adalah satu petanda betapa sistem perundangan negara berada dalam keadaan tenat.  SAMM memberi jaminan sekiranya amalan seperti ini diteruskan oleh regim Barisan Nasional demi untuk melindungi jemaah menterinya yang banyak terpalit skandal rasuah dan penyelewengan, maka rakyat pasti menolak Barisan Nasional dalam pilihanraya umum akan datang dan bersedia untuk sebuah kerajaan baru yang lebih telus.

SAMM melihat terdapat impak negatif daripada tindakan penahanan Rafizi sama-ada orang awam akan tidak menghormati undang-undang lalu bertindak sendirian atau orang awam tidak lagi mahu tampil menjadi pelapor "rompakan".

Sehingga hari ini, SAMM sebagai peneraju anak muda tidak melihat sebarang transformasi yang kononnya dijanjikan oleh Najib Razak dalam usaha memperbaiki sistem perundangan malah menjadi lebih teruk apabila regim panik dan terdesak setelah Rafizi Ramli melangkah untuk pendedahan terbaru yang melibatkan prasarana pengangkutan awam negara.

SAMM tidak mengharapkan apa-apa lagi dari pihak kerajaan, namun menyeru dan menggesa seluruh rakyat Malaysia membuka mata mencelik minda, memandang dengan mata hati apa yang berlaku hari ini akan terus berlaku.  Rakyat akan dimomokkan dengan tangkapan, diperas dan diugut supaya tidak campur tangan dalam urusan "mereka" merompak khazanah negara.

Akhir sekali, untuk pengetahuan peguam negara yang diperkuda regim BN, ketahuilah bahawa siri-siri pendedahan skandal NFC telah diterbitkan sebagai risalah oleh pelbagai pihak dan sudah tersebar ke seluruh negara.  Jika ia satu kesalahan, jangan lupa untuk mendakwa berjuta pihak yang terlibat.

*Kenyataan media oleh Edy Noor Reduan selaku Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>