2014-09-02 02:42pm
 
KOLUM
 
Apa Seni Islamik ini?
 
Ronasina | Jul 31, 2012 03:54:17 pm
Kongsi |

Agama adalakalanya bagai sebuah produk jualan yang dijaja oleh ramai penjaja di sebuah pasar.  Masing-masing mendakwa produk merekalah terbaik, selamat dan dirahmati.  Sebagai orang Islam yang bergiat di dalam kerja seni, saya selalu menghadapi masalah tentang definisi "Seni Islamik".  Saya sering tertanya-tanya apakah bendanya Seni Islamik?  Apa takrifan dan cakupannya dan bagaimanakah bentuknya?  Pelakon Abby Abadi yang baharu menyertai PAS di dalam komentarnya di sebuah laman portal berita online mengeluarkan kenyataan bahawa seni Islamik hanya akan wujud selepas PAS mengambil tampuk pemerintahan dari kerajaan Barisan Nasional.

Saya terpanggil untuk membuka lebih panjang persoalan menarik ini.  Saya tidak mempedulikan kenyataan beliau yang mengatakan akan mula berkarya selepas Barisan Nasional tumbang kerana itu adalah hak peribadinya sedangkan ramai rakan seniman saya terus konsisten berkarya di dalam apa jua keadaan pun tidak kira zaman gelap, dan susah atau zaman terang dan senang.  Saya inginkan agar sebuah konklusi dicari dalam mendefinisikan Seni Islamik ini.  Perkara paling asas yang perlu difahami pada awalnya ialah apa sebenarnya seni dan apakah dia Islam.  Itu kuncinya.  Islam adalah cara hidup (ad-din) yang mana di dalam kehidupan mestilah ada pengisiannya.  Islam menyarankan agar berbuat kebaikan dan menjauhi kejahatan (amar makruf nahi munkar).  Itu asas perjuangan seorang muslim sementara ia masih hidup dan muslim itu percaya akan ada pembalasan di hari kemudian atas apa yang mereka kerjakan selama mereka hidup.

Barangkali pemahaman seni Islam kita terbawa-bawa kepada cara berpakaian ala Arab dengan lagu-lagu, persembahan nyanyian, tarian dan lakonan yang mestilah lebih banyak memuji dan menyebut kalimah-kalimah suci sahaja.  Di Malaysia kita tahu semuanya dikawal oleh orang politik termasuklah kerja-kerja seni.  Kerajaan Pakatan Rakyat hari ini kita dapat lihat terus juga mengamalkan definisi "seni Islamik" ala Barisan Nasional.

Seni Islamik akan jadi terbatas jika kita fahami ia adalah persembahan daripada kumpulan-kumpulan nasyid sahaja.  Tidaklah saya menafikan sumbangann mereka tetapi kebanyakan kumpulan nasyid di Malaysia hanya lebih menekankan tentang berbuat ibadah rukun Islam sahaja seperti bersembahyang, berpuasa, bersedekah dan seumpamanya yang dilihat agak selamat dari diganggu pemerintah tetapi mereka tidak mengambil kesempatan mendidik khalayak  menentang kezaliman dan kemungkaran.  Kalau sentuh pun hanya sikit-sikit sahaja.  Mereka lebih berminat "amar makruf" tetapi tidak "nahi munkar" dan hanya menyampaikan perkara-perkara ringan sahaja.  Kerana itulah kumpulan nasyid lebih diminati oleh golongan kanak-kanak.  Bagaimana pula pengisian untuk orang-orang dewasa yang sudah pandai berselawat, berzikir munajat?  Sudah habiskah kalimah-kalimah suci yang perlu dipelajari?  Apakah persembahan rakan-rakan seniman saya seperti Pyanhabib, Hishamuddin Rais, Amin Iskandar atau Nikji dan yang jarang melaungkan kalimah pujian khusus menyebut nama Tuhan bukan karya Islamik sedangkan mereka giat menentang kebobrokan pemerintah?  Mendidik khalayak mencintai negara adalah tanggungjawab seniman.  Dalam Islam ia dianggap sebahagian daripada iman (Hubbul watan minal iman).  Tarian pedang dipersembahkan pada hari raya ketika zaman Rasulullah untuk membangkitkan semangat cintakan negara yang dituntut oleh Islam.  Puisi-puisi penyair sufi terkenal seperti Jalaluddin Ar Rumi, Fariduddin Attar atau Rabiatul Adawiyah jarang mengungkapkan nama "Allah" kerana bagi pemahaman kerohanian mereka nama hanya sekadar nama yang diwujudkan melalui huruf dan suara tetapi rasa kasih dan cinta terhadap pencipta tidak mampu terlafazkan malah berpendapat bahawa huruf-huruf itu adakalanya tidak layak didirikan untuk membentuk nama Tuhan yang Maha Agung.

Untuk saya, apa sahaja perkara yang baik dan berkarya mengajak ke arah kebaikan dan menentang kejahatan itu adalah "Islamik".  Ia bukan sekadar pakaian dan menyebut kalimah-kalimah khusus.  Islamik adalah untuk semua perbuatan kerana ia adalah ad-din di mana apa sahaja yang dilakukan (termasuk kerja-kerja seni) adalah kerana Allah.  Di dalam solat ada dibaca "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku kerana Allah Taala".  Tetapi sudah tentu pula timbul hujah yang ia mestilah dibataskan dengan syarak, bersopan dan tidak boleh keterlaluan.  Benar dan saya sangat bersetuju tetapi memahami "syariat" yang digariskan di dalam hukum feqah itu mestilah disandarkan juga dengan ilmu Hakikat (Tasawuf) kerana ia ada pertalian di dalam menentukan apa yang boleh dan apa yang tidak.  Melabelkan sesuatu itu haram dari sudut Feqah tetapi tidak mengimbangi dari sudut Tasawuf akan jadi salah dan caca-merba.  Begitu juga ketika menilai dari sudut Tasawuf harus merujuk kepada Feqah juga.

Seni Islamik adalah kehidupan dan ia boleh menyerap di mana juga cabang tidak kira apa bangsa dan amalan sesuatu masyarakat.  Nusrat Fateh Ali Khan di tanah India menerapkan Islam dalam lagu-lagu bersumberkan "Qawalli" yang dirasakan beliau dekat dengan kehidupan komuniti di sana.  Beliau berdakwah dengan menyentuh "jiwa" insan.  Inilah yang dilakukan oleh Sunan Kalijaga dan anak beliau Sunan Muria di era Majapahit di tanah Jawa.  Berbeza dengan kaedah kawan-kawan seangkatan mereka dari sidang wali (Wali Songo), mereka berdakwah melalui seni.  Diterapkan kisah-kisah Nabi di dalam persembahan wayang kulit, nyanyian dan tarian yang pekat dengan budaya Jawa-Hindu.  Disampaikan dengan lembut kerana seni itu halus.  Untuk kanak-kanak, mereka menciptakan sebuah permainan "helang dengan ayam" di mana helang (diibaratkan anasir jahat) cuba menyerang anak-anak ayam (generasi) sementara ibu ayam (pejuang Islam) harus mengawasi anasir jahat ini dan melindungi anak-anak ayam tersebut dari dimakan helang.

Dalam kemelut politik dan serabut kehidupan hari ini, seniman harus bangkit membetulkan saf dan wajib terus berkarya menyampaikan keluh-kesah rakyat untuk didengar sang pemerintah.  Di samping itu seniman harus juga berperanan membantu pemerintah yang berminat dengan aktiviti seni dan budaya memperbetulkan persepsi dan definisi Seni Islamik itu sendiri agar kekeliruan tidak terjadi sehinggalah kerja-kerja seni yang mengangkat kebenaran dan membuang kezaliman dapat ditanamkan benih pemahamannya di dalam setiap sanubari rakyat.  Wallahua'lam.

*Ronasina dengan nama asalnya, Mohd Affandi Ramli adalah penulis, kartunis dan aktivis.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>