2014-04-24 04:47pm
 
PANDANGAN
 
Iktibar Ramadhan
 
Abdul Hadi Awang | Jul 30, 2012 12:23:54 pm
Kongsi |


شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ فَمَن شَہِدَ مِنكُمُ ٱلشَّہۡرَ فَلۡيَصُمۡهُ‌ۖ وَمَن ڪَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ‌ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِڪُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِڪُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُڪۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُڪَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ

Maksud: Bulan Ramadan yang diturunkan padanya Al-Quran, menjadi petunjuk bagi  manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.  Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa ; (Al-Baqarah :185)

Petikan ayat ini bukan sahaja menegaskan wajib berpuasa di bulan Ramadan.  Bulan yang mulia ini juga dipilih masa yang paling munasabah diturunkan Al Quran kitab petunjuk, keterangan-keterangan dan penjelasan kepada petunjuk, serta menegaskan pemisah yang mebezakan di antara dua perkara yang bertentangan.  Ia bagi menentukan benar dan salah, adil dan zalim, petunjuk dan kesesatan daripada Allah Pencipta Alam Yang Maha Mengetahui segala-galanya dan bersifat dengan segala sifat kepujian.

Ibadat puasa bukan hanya sekadar ibadat yang terlalu besar pahalanya, tidak saperti ibadat lain yang dinyatakan pahala sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda.  Allah menyimpan puasa itu di sisinya dan berjanji untuk diserahkan pada hari qiamat kelak.  Ibadat puasa juga adalah tarbiyah diri dengan sifat ikhlas dan kemuncaknya membuahkan taqwa yang menentukan nilai harga diri manusia di sisi Allah.  Menjelaskan bahawa martabat manusia bukannya keturunan, bangsa, pangkat, ilmu, harta dan warna kulit.
 
Apabila berpuasa dengan ikhlas bermakna kesediaan patuh kepada Allah di atas sifat hamba, sehingga meninggalkan makan minum dan kepuasan hawa nafsu walaupun dihalalkan di masa yang lain.  Walaupun semua perkara yang membatalkan puasa itu adalah rukun hidup manusia secara tabie'nya.  Kepatuhan menunaikan perintah itu secara memperhambakan diri kepada Allah, yang berbeza dengan patuh kepada sesama makhluk saperti ibubapa, ketua, raja dan pemimpin.  Menunjukkan bahawa ketaatan kepada Allah adalah mutlak.  Adapun ketaatan kepada sesama makhluk pula bersyarat selagi tidak berlawanan dengan perintah Allah.  Ia menunjukkan bahawa hubungan hamba dengan Allah adalah Maha tinggi, berbeza dengan hubungan rakyat dengan raja dan pemimpin, hubungan pekerja dengan majikan, hubungan anak dengan ibu bapa.
 
Adalah menjadi hikmat paling besar Allah memilih bulan ramadan, bahawa Al Quran diturunkan seluruhnya di tempat mulia yang ditentukannya.  Ada kalangan para ulama yang menamakannya dengan Bait Al Izzah dan ada yang menamakanya dengan Mawaqei' Al Nujum.  Kemudian Al Quran diturunkan melalui wahyu oleh Malaikat Jibril A.S secara berperingkat mengikut sebab dan keperluan yang diatur supaya mendidik generasi awal yang menerimanya dengan cara paling berkesan.  Ini kerana mereka menjadi contoh kepada seluruh manusia.

Al Quran adalah kalam Allah.  Sifatnya yang wajib dinyatakan ke dalam bahasa Arab, bahasa pilihan Allah di dunia dan pada hari Qiamat.  Al Quran juga adalah petunjuk daripada Allah kepada manusia dalam semua perkara yang berkait dengan kejadian mereka dan peranan mereka di alam dunia dengan cara yang betul.  Allah memilih manusia berperanan di bumi kerana sifat kejadian mereka dan menguji kesetiaan mereka kepada Allah dengan kemampuan jasad, roh dan akal.  Dengan kemampuan ini manusia mampu beribadat dibumi dan memakmurkan segala yang lain dengan petunjuk Allah dan kemampuan akal dan ilmu yang ada kepada mereka.

Ada kalangan manusia yang menerima perintah Allah itu dengan Islam (menyerah diri) dan Iman (percaya).  Namun ramai kalangan manusia yang tidak bersyukur, lalu menjadi kufur dan sombong menolak petunjuk Allah dengan mencipta cara yang merosakkan diri manusia dan alam kelilingnya.  Maka berlakulah perlawanan sengit dalam kalangan manusia itu.  Rasulullah S.A.W. terpaksa berdepan dengan pertembungan yang membawa kepada perpecahan yang wajib berlaku, bermula daripada perbalahan sehingga terpaksa berperang kerana adanya kalangan manusia yang melampau.  Maka menjadi ujian di antara hubungan dengan Allah yang lebih diutamakan atau hubungan dengan manusia yang wajib dijaga dengan semangat kekeluargaan dan persaudaraan.

Bulan ramadhan dipilih berlakunya peristiwa Badar dan Fathu Makkah.  Rasulullah S.A.W. dituduh menjadi sebab perpecahan dalam satu bangsa dan satu keluarga kerana tidak bersedia menerima tawaran menjadi Raja Makkah atau pemimpin bersama harta kekayaan dengan syarat yang ditetapkan supaya meninggalkan Islam, sama ada semua atau sebahagian.  Puncanya para pemimpin Makkah tetap mempertahankan sistem jahiliyah dan menolak petunjuk Allah yang diamanahkan kepada Rasulullah S.A.W. menyampaikannya supaya dilaksanakan kepada seluruh manusia di seluruh dunia sehingga hari qiamat.

Allah mewajibkan kepada Rasulullah S.A.W. mencari tempat hijrah.  Akhirnya berjumpa Madinah dan berbagai kaumnya yang bersedia menerima Islam sehingga ditegakkan negaranya.  Maka Islam yang adil kepada seluruh manusia masyarakat majmuk dapat ditunjukkan secara nyata dan terbuka.  Tiba-tiba para pemimpin Makkah berketuakan Abu Jahal membawa bala tentera menyerang Rasulullah dan para sahabatnya, kerana Islam yang diamalkan itu mendedahkan kejahatan dan kesesatan penentangnya.  Kedua-dua belah pihak bertempur di tempat bernama Badar dan berlaku dibulan ramadhan.

Abu Jahal berdoa kepada Allah supaya membinasakan Muhamad yang dituduh membawa ajaran sesat dan memecahbelahkan keluarga dan bangsa.  Rasulullah S.A.W. juga berdoa dengan munajat memohon pertolongan supaya Islam dan penganutnya diselamatkan.  Kedua-dua belah pihak mengaku benar dan berdoa.

Akhirnya Allah mengurniakan kemenangan kepada Rasulullah S.A.W. dan para sahabat yang setia dalam keadaan terlalu kecil jumlahnya dan tidak mencukupi kelengkapan peperangannya.  Bala tentera Musyrikin Makkah dikalahkan.  Abu Jahal pemimpin utama dan ramai kalangan para pemimpin dibunuh dan ramai yang ditawan dengan hina walaupun jumlahnya berlipat kali ganda dan lengkap bersenjata.

Allah menamakan hari Badar dengan Hari Furqan (pemisahan di antara dua pihak), daripada satu bangsa dan satu keluarga.  Menjadi peristiwa yang menguji di antara perasaan beriman dan cintakan Allah bertembung dengan perasaan kasihkan keluarga dan bangsa.  Maka Allah menentukan supaya hubungan dengan Allah mengatasi hubungan dengan sesama manusia.  Walaupun kalangan paling hampir hubungan kekeluargaannya.  Allah memberi sanjungan paling tinggi kepada mereka yang berjaya dalam ujian perasaan dan peperangan dalam peristiwa Badar dengan firmannya:

يا أهل بدر اعملوا ما شئتم , قد غفرت لكم .

(wahai Ahli Badar! Lakukanlah apa sahaja yang kamu mahu, kerana aku telah mengampunkan kamu).

Di bulan ramadhan juga berlakunya Fathu Makkah (Makkah di bebaskan).  Apabila negaranya yang dipimpin oleh Abu Sufian (bapa mertua Rasulullah S.A.W.) yang dilantik selepas terbunuhnya Abu Jahal dalam peperangan Badar.  Apabila pengikut Abu Sufian mencabuli perjanjian damai (Hudaibiyah) dan apabila qabilah yang bernaung di bawah kerajaan Islam diserang oleh kabilah yang berpihak kepada Makkah. Maka Rasulullah S.A.W. menggerakkan bala tentera Islam menyerang Makkah (tanah airnya sendiri) yang dikuasai oleh keluarga dan bangsanya sendiri, bukannya bangsa asing atau makhluk asing.  Akhirnya Abu Sufian dan pengikutnya menyerah kepada Islam dan masuk Islam.  Rasulullah S.A.W. mengisytiharkan pengampunan umum yang tidak diduga oleh mereka yang pernah berlaku zalim terhadap Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya, menyebabkan hati mereka terbuka beramai ramai menerima Islam dengan redha tanpa paksaan.

Semua perkara tersebut adalah hikmat ramadhan yang tinggi nilainya kepada seluruh alam, khususnya kepada umat Islam.  Hidayahnya!  Bahawa Islam yang menyelamatkan diri, keluarga, bangsa dan tanahair.  Maka Islam hendaklah diutamakan dengan melaksanakan rukun puasa sehingga membuahkan taqwa dan menegakkan Islam diutamakan, perintah Allah didahulukan, sehingga mengatasi kepentingan diri.  Begitulah makan minum, hawa nafsu yang dihalalkan diketepikan dahulu, apabila berpuasa kerana Allah dengan ikhlas .

*Tulisan ini dipetik dari blog Abdul Hadi Awang (gambar kanan) selaku Presiden PAS.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>