2014-04-24 04:47pm
 
KHAS
 
Pengerang: 6 aktivis Taiwan dipanggil untuk "bantu siasat"
 
Lu Wei Hoong dan Chan Kim Ming | Jul 26, 2012 01:32:32 am
Kongsi |

Satu rombongan aktivis yang membantah KuoKuang Petrochemical Plant di Taiwan, telah ditahan oleh polis di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012, ketika menghadiri satu ceramah yang diadakan di Pengerang, Johor, malam tadi.

Ketika dihubungi MerdekaReview, OCPD Kota Tinggi Che Mahazan Che Aik mendakwa bahawa enam orang aktivis Taiwan ini dibawa ke balai polis untuk "bantu siasat", dan bukan "disiasat".  Bagaimanapun, beliau enggan mengulas dengan lebih terperinci.

Mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012, pengajur perhimpunan perlu memaklumkan dan mendapatkan permit dari OCPD tempatan, sekurang-kurangnya 10 hari sebelum tarikh perhimpunan diadakan.

Enam orang aktivis Taiwan termasuklah Shy Yueh-Ing, Grace Chenyi Kan, Rickman Chien Yu-Chun dan tiga orang lagi.

Ceramah tersebut dianjurkan oleh Gabungan NGO-NGO Pengerang.  Polis pada asalnya mahu membawa pengerusinya, Anis Afida Mohd Azli ke balai dengan kereta polis, namun ditolak.  Anis Afida memilih untuk memandu kereta sendiri ke balai polis.

Menurut Anis Afida, ketika dirinya disoal siasat, polis berkata Akta Perhimpunan Aman 2012 boleh digunakan untuk mendakwa penganjur, kerana mereka tidak membuat permohonan daripada polis terlebih dahulu sebelum perhimpunan diadakan.  Selain itu, Ketua Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KL-SCAH) Tang Ah Chai juga dipanggil untuk diambil keterangan.

Ahli parlimen Bakri, Er Teck Hwa juga tiba ke tempat kejadian untuk membantu mereka yang dipanggil untuk soal-siasat.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Sosial-Ekonomi Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, Lee Ying Wai memaklumkan bahawa enam orang aktivis yang dibawa ke Balai Polis Sungai Rengit telah dibebaskan pada jam 1.43 pagi.  Antara soalan yang ditanya oleh polis termasuklah mereka dari mana, siapa yang membawa mereka ke Pengerang, penganjur menjemput mereka, siapa yang membiayai kosnya dan adakah mereka mengadakan ceramah di Pengerang.

Tang Ah Chai pula, sebaik sahaja siap diambil keterangan, membuat aduan polis bahawa kereta dirinya telah dipancitkan.

Menurut Lee Ying Wai, kira-kira 500 hadirin hadir dalam satu ceramah yang diadakan di Pengerang pada malam tadi, bermula jam 7 petang.  Enam orang aktivis dari Taiwan ini turut hadir untuk berkongsi pengalaman mereka ketika menentang KuoKuang Petrochemical Plant di Taiwan.  Menurut penduduk tempatan, 15 orang polis dari Cawangan Khas membuat rakaman video di situ.  Ceramah tersebut terpaksa ditamatkan lebih awal atas tekanan polis, pada jam 10.40 tanpa sesi soal-jawab.

Aktivis dari Taiwan tersebut pernah terlibat dalam gerakan menentang KuoKuang Petrochemical Plant di Taiwan, dan loji tersebut ditamatkan operasinya setelah rakyat bangkit menentang.  Pengerang baru-baru ini menjadi isu hangat setelah dipilih sebagai tapak untuk Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID).

Baca: Kestabilan politik, alam sekitar dan Pengerang

*Chan Kim Ming ialah Assistant Editor MerdekaReview dan Lu Wei Hoong ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>