2014-08-29 01:13pm
 
PANDANGAN
 
BERSIH entiti yang sah: JUHAM gesa kerajaan UMNO-BN mohon maaf
 
Ahmad Zamri Asad Khuzaimi | Jul 24, 2012 05:12:56 pm
Kongsi |

Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia menerima keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai tahun lepas bahawa Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) adalah sebuah pertubuhan "haram" dengan penuh rasa gembira dan bersyukur.

Penat lelah dan pengorbanan rakyat Malaysia yang dilimpahi dan dihujani dengan gas pemedih mata serta air berasid ketika menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 yang lalu akhirnya menerima khabar berita yang cukup menggembirakan ini.

Bukan hanya dibedil gas pemedih mata, malah para peserta himpunan BERSIH 2.0 turut dibelasah pihak polis tanpa belas kasihan, sehinggakan salah seorang daripada peserta yang diserbu polis ketika himpunan BERSIH 2.0 tersebut iaitu Allahyarham Baharuddin Ahmad telah meninggal dunia.

Malah, Kerajaan UMNO-BN turut bertindak zalim apabila mengarahkan pihak Polis melancarkan operasi penahanan habis-habisan terhadap individu-individu tertentu sebelum berlakunya perhimpunan BERSIH 2.0 tersebut.

Antara penahanan yang dibuat ialah terhadap seorang yang bernama Musafri bin Abdullah Azmi di mana beliau telah bertindak memfailkan Saman terhadap pihak Polis dan Menteri Dalam Negeri kerana mendakwa penahanan beliau adalah salah dan tidak sah, mala fide, melanggar hak dan kebebasan asasi manusia serta melanggar Pelembagaan Persekutuan.

Kes beliau telah ditetapkan untuk perbicaraan esok di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan beliau diwakili barisan Peguam daripada JUHAM di mana keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang memutuskan BERSIH 2.0 adalah entiti yang sah sedikit sebanyak memberikan lonjakan motivasi yang tinggi kepada barisan Peguam JUHAM dalam tindakan Saman ini.

Rentetan daripada keganasan-keganasan yang dilakukan oleh pihak Polis ketika menyuraikan perhimpunan BERSIH 2.0, JUHAM menggesa Kerajaan UMNO-BN meminta maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya kepada ribuan rakyat Malaysia yang menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 tersebut.  Permohonan maaf ini adalah perlu bagi membuktikan Kerajaan UMNO-BN menghormati keputusan Mahkamah hari ini bahawa tindakan Kerajaan UMNO/BN yang mengharamkan BERSIH 2.0 adalah suatu tindakan yang salah dan melanggar norma-norma hak asasi manusia sepertimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Akhirnya, JUHAM melihat keputusan Mahkamah pada hari ini telah memberikan satu dimensi yang baru kepada hak asasi di Malaysia di mana ia membuktikan intitusi kehakiman di Malaysia seharusnya bebas daripada sebarang cengkaman Kerajaan UMNO-BN.  Institusi Kehakiman haruslah dilihat konsisten dalam memastikan mereka dilihat adil dan bebas serta tidak dijadikan alat oleh Kerajaan UMNO-BN supaya Institusi Kehakiman di Malaysia benar-benar dilihat adil dan bebas sepenuhnya.

Keputusan Mahkamah hari ini juga boleh dilihat sebagai suatu penghargaan kepada perjuangan murni seluruh rakyat Malaysia yang tidak gentar dan jemu berterusan berjuang dalam menuntut suatu Pilihanraya yang adil dan bersih di Malaysia.

*Kenyataan media oleh Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi (gambar kanan) selaku Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM), Dewan Pemuda PAS Malaysia.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>