2014-08-02 04:34pm
 
KHAS
 
ISA: Igauan di sebalik "lawak" Hishamuddin Rais
 
Lim Hong Siang | Jul 20, 2012 06:22:48 pm
Kongsi |

Mungkin ramai yang terhibur dengan gelagat Hishamuddin Rais yang sentiasa berjenaka, atau dengan sinis memperlekehkan pemerintah, meskipun dirinya pernah diseksa di bawah pemerintahan regim ini.  Justeru itu, ramai yang terkejut apabila aktivis yang sering tampil sebagai "pelawak" ini, menangis dalam mahkamah ketika diminta mengisahkan kesan penahanan yang tidak sah itu terhadap dirinya.

Dalam forum semalam, secara jujur Hishamuddin Rais (gambar kanan) mengakui, bahawa ramai tahanan yang tidak mahu mengingati kembali pengalaman yang dilalui ketika ditahan di Kem Kamunting.  Beliau tidak mahu pengalaman yang depresif itu menakut-nakutkan khalayak ramai atau menjadikan orang pesimis.

"Saya secara peribadi tidak mahu lagi mengalami proses itu, mengingati kembali the nightmare (igauan) itu.  Kerana itu, saya selalu melakukan lawak.  Tapi sebenarnya apa yang terjadi di dalam bilik sulit itu adalah satu pengalaman yang tidak mungkin dapat saya visualkan, tidak dapat saya tuliskan untuk orang di luar ini mengalami," kata Hishamuddin Rais.

Seksaan fizikal dan mental

Hishamuddin Rais ketika berucap cuba mengelak dari menyentuh penyeksaan yang dilaluinya.  Apabila diingatkan moderator Muhammad Afiq, beliau menyebut seksaan yang terbahagi kepada penderaan fizikal dan penderaan mental.  Kegagalan menahan salah satu daripadanya akan membuatkan tahanan dibuli pegawai dalam kem.  Beliau mengambil contoh bagaimana seorang lelaki Cina, dengan tinggi badan enam kaki dua inci, digelarnya "gangster Old Klang Road", menangis kerana tidak tahan dengan deraan psikologi.

Dalam sesi soal jawab, Hishamuddin Rais mengisahkan apa yang terjadi pada dirinya selepas mendengar pengalaman isteri bekas tahanan ISA, Norlaila Othman, dan diajukan soalan dari bawah pentas.  Hishamuddin Rais mendakwa dirinya menolak lawatan keluarga ketika ditahan, dan beliau hanya bertemu dengan ahli keluarganya setahun sekali sama ada pada Hari Raya Haji atau Hari Raya Puasa.  Beliau tidak mahu orang tuanya datang jauh dari Jelebu ke Kamunting, hanya untuk pertemuan yang singkat.

Selain itu, Hishamuddin Rais mengakui dirinya "upset" seandainya dikunjungi kawannya pada hujung minggi, membuatkan hari Isnin-nya terganggu, kerana dirinya akan memikirkan dunia di luar KemTa selepas diziarahi kawannya.

Hishamuddin Rais dikurung bersama Tian Chua (gambar kanan) dalam satu sel untuk tempoh satu tahun.  "Dia pandang saya, saya pandang dia."  Kemudian, kedua-duanya memelihara cicak kobeng, biawak, semut untuk menghilangkan kebosanan.  Menurutnya, dua bulan pertama penahanannya tidak dibekalkan suratkhabar.  "Kamu ada 24 jam tapi kamu tak ada apa-apa untuk dibuat.  Buku bacaan tidak ada," katanya, menyifatkan bahawa masa yang paling panjang dalam hidupnya adalah masa ketika ditahan.

Malah, Hishamuddin Rais berkongsi "penemuannya", bahawa terdapat tujuh pintu dari luar KemTa hingga ke dalam selnya.  Tidak cukup dengan itu, beliau pernah dikurung dalam "penjara dalam penjara Kamunting" (diberi gelaran bilik roti) kerana melawan pegawai yang membelasah sahabatnya Tian Chua dalam KemTa.

Seksaan terhadap keluarga tahanan

Sesungguhnya, seksaan ISA tidak terhad kepada tahanan sahaja, tetapi juga ahli keluarga tahanan.  Seorang bekas tahanan yang hadir dalam forum semalam, mengisahkan pengalaman pertemuan dengan anaknya yang berusia dua tahun ketika dirinya ditahan.  Pada pertemuan kali pertama, beliau dibenarkan bersemuka dengan anaknya, namun pertemuan seterusnya mereka diasingkan dengan kaca.  Dalam pertemuan terakhir, sungguhpun mereka dibenarkan bersemuka tanpa kaca, namun anaknya memegang-megang bagaikan ada kaca di antara mereka, katanya sambil menahan sebak.

Norlaila Othman, isteri bekas tahanan ISA, Mat Sah, juga berkongsi pengalamannya bagaimana suaminya ditangkap dan kemudian ditahan untuk lebih tujuh tahun.  Pada mulanya, Norlaila diberi satu nombor telefon palsu, kononnya beliau boleh hubungi nombor tersebut untuk mendapat tahu keadaan suaminya.  Malah, Norlaila juga ditipu bahawa suaminya mendapat layanan yang baik, dengan bilik "lima bintang" dan makanan buffet.

Maka bermulalah "marathon" Norlaila sebagai seorang isteri dan ibu untuk menyara hidup keluarganya.  Setiap kali perjalanan 3 jam setengah diperlukan dari Kuala Lumpur ke Kamunting, dan masa yang sama diperlukan untuk pulang dari Kamunting - hanya untuk pertemuan selama 45 minit.

Norlaila yang bersendirian dengan anaknya, diserang rasa sedih apabila membeli ayam atau biskut di kedai, terkenang suaminya, sehingga bos kedai runcit bertanya mengapa beliau bersedih?  Kemudian Norlaila mengisahkan bahawa suaminya ditahan di bawah ISA, dibalas pula "Masih ada lagi ISA kah?"

Kawannya cuba mengasingkan diri dari keluarganya sejak Mat Sah ditahan.  Padahal Norlaila, malah Mat Sah tidak mengetahui apa-apa tentang sebab dirinya ditahan.  Namun akhbar yang menyiarkan berita bahawa Mat Sah ditahan kerana terlibat sebagai anggota KMM, ditukar kepada JI kemudiannya.

Norlaila (gambar kanan) berkata, analisis SB (special branch) akan mendapati bahawa penahanan Mat Sah sepanjang tujuh tahun adalah satu kesilapan.  Sepanjang tempoh ini, Norlaila giat berkempen untuk menuntut pembebasan suaminya, di pentas PAS mahupun PKR.  Norlaila berkata, dirinya berpeluang untuk berucap di kawasan Melayu, termasuk kubu UMNO di Johor dan Pahang, untuk menyedarkan masyarakat Melayu tentang kezaliman ISA.

Menurutnya lagi, bekas Presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan pernah dua kali melawat suaminya Mat Sah ketika ditahan, dan Norlaila melihat ia membangkitkan semangat Ambiga untuk berjuang mempertahankan hak asasi rakyat Malaysia.

Turut hadir sebagai panelis dalam forum "ISA: Penyeksaan yang sempurna", anjuran Lawyers For Liberty (LFL) dan SUARAM ialah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan aktivis, Wan Ji Wan Hussin. Forum ini menarik kira-kira 150 orang hadirin di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam, dipengerusikan Muhammad Afiq, peguam LFL. Kempen "Kad Ucapan Untuk Tahanan ISA" dilancarkan sebagai salah satu usaha menuntut agar 45 tahanan di Kamunting dibebaskan.

Baca: Hishamuddin Rais: Musuh kita ketakutan, bukan ISA

Baca: Wawancara bersama Norlaila Othman dan Mat Sah

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>