2014-09-02 02:31am
 
KHAS
 
Krisis air Selangor: KETTHA, kerajaan negeri dan syarikat konsesi yang bersalah
 
Piarapakaran S | Jul 18, 2012 12:06:52 pm
Kongsi |

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) menyeru syarikat-syarikat konsesi air, kerajaan negeri Selangor dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) berhenti mengelirukan rakyat dan menuding jari satu sama lain secara kebudak-budakan.  Penstrukturan semula industri perkhidmatan negara tidak boleh dielakkan dan syarikat-syarikat konsesi sedar akan kuasa sebenar Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) kerana WSIA melindungi rakyat.

Disebabkan kerajaan negeri Selangor dan KeTTHA masih menjadi jaguh gelut, penstrukturan semula ini telah dilengahkan sejak tahun 2008.  Jika kelewatan ini berterusan, syarikat-syarikat konsesi akan menjadi pemenang.  Kita juga tidak boleh lupakan bahawa beberapa pegawai KeTTHA yang tidak bertanggungjawab telah turut sama melewatkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air.  Pegawai-pegawai ini juga telah "membutakan" Menteri dan Kabinet dalam banyak proses pelaksanaan keputusan berkaitan isu ini.

Situasi Bekalan dan Permintaan

Kerajaan negeri Selangor perlu berhenti mengelirukan orang ramai dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan bahawa empangan adalah penuh dan selalu hujan.  Isu utama di sini ialah, Bekalan air yang telah dirawat adalah hampir sama dengan Permintaan.  Jika anda mempunyai 500 paket nasi lemak untuk dijual dan pengguna-pengguna ingin membeli 520 paket, adakah anda mampu memenuhi keperluan mereka?  Ini adalah contoh yang paling ringkas untuk menjelaskan isu bekalan air terawat yang sedang berlaku.  Di samping itu, empangan adalah direka bentuk untuk menyimpan air mentah untuk beberapa bulan tanpa hujan.  Ini adalah kriteria reka bentuk dalam kejuruteraan untuk empangan.  Air mentah akan dirawat melalui loji rawatan air untuk menghasilkan air terawat.  Keseluruhan isu bekalan-permintaan ini adalah berkaitan dengan air yang telah dirawat, bukannya air mentah.  Menambah loji rawatan baru ke empangan akan menjejaskan penimbal (buffer) reka bentuk.  Sebagai contoh, jika sebuah empangan direka untuk bertahan kemarau selama tiga bulan, meningkatkan kapasiti rawatan dengan menambah loji rawatan yang baru di empangan tersebut akan menyebabkan air mentah di empangan surut lebih cepat jika kemarau berlaku.

Apabila permintaan puncak terhadap air terawat berlaku dan margin rizab air terawat jatuh ke zon negatif, air terawat di dalam takungan perkhidmatan (service reservoir) akan mula digunakan dengan cepat.  Dalam situasi terburuk, apabila bekalan air terawat kembali beroperasi seperti keadaan biasa, tangkungan ini mungkin tidak dapat diisi penuh kerana kadar penggunaan air terawat masih tinggi.  Jika keadaan sebegini berlarutan, ia boleh menyebabkan gangguan bekalan air.  Bagi kawasan tanpa takungan ini (beberapa zon perindustrian dan kediaman), mereka bergantung sepenuhnya kepada tekanan dalam paip agihan.

Ini bukan fiksyen dan ia adalah situasi kejuruteraan yang sebenar.  Kemungkinan untuk keadaan ini berlaku adalah tinggi apabila rizab margin adalah sangat rendah.  Mana-mana firma air antarabangsa yang diupah juga akan memberikan output yang sama kerana ia adalah situasi kejuruteraan sepenuhnya.

Pengurangan Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water-NRW)

Pengurangan NRW memerlukan rancangan jangka pendek dan jangka panjang.  AWER telah berjaya mendesak Kerajaan Persekutuan untuk membentuk Pasukan Petugas Pengurangan NRW di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).  Penyepaduan penyelesaian untuk mengurangkan NRW adalah penting supaya pulangan pelaburan adalah cepat dan kita dapat melabur dalam projek-projek yang betul.  Semua operator air di Malaysia menghadapi kekangan kewangan untuk mengurangkan NRW kerana perbelanjaan modal (capex) adalah tinggi.  Penyelesaian bagi masalah ini akan diperolehi melalui pasukan petugas ini di samping memastikan tiada penyalahgunaan peruntukan serta pengurangan NRW yang berkesan dapat dilaksanakan.  Mengurangkan NRW sebanyak 10% di Selangor tidak boleh dilakukan dalam masa satu atau dua tahun kerana impak kepada tarif adalah tinggi.  Kita perlu mengenal pasti kawasan-kawasan kritikal untuk mendapatkan penjimatan serta-merta!  Situasi (NRW isu) sebenarnya menjadi lebih teruk dengan kelewatan dalam penstrukturan semula industri perkhidmatan air dan kegagalan untuk melaksanakan model WSIA sepenuhnya.

Catuan Air

Sebelum mendapat kelulusan daripada SPAN, SYABAS TIADA HAK untuk mengeluarkan kenyataan yang berkaitan dengan catuan air kerana ini akan menyebabkan orang ramai berada dalam keadaan panik.  Keadaan panik juga boleh menyebabkan penggunaan air meningkat dengan mendadak kerana pengguna cenderung untuk menyimpan lebih banyak air di rumah.  Seksyen 54 dan 56 di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) jelas menyatakan keperluan-keperluan untuk catuan dan kuasa yang diberikan kepada SPAN dan menteri.  AWER menggesa SPAN untuk mengaudit data yang didakwa oleh SYABAS untuk menunjukkan keadaan sebenar bekalan air di zon-zon terjejas.  Keputusan audit juga mesti disiarkan untuk pengetahuan umum untuk menjelaskan keadaan sebenar.  Kami juga menggesa SPAN untuk menerbitkan garis panduan kepada operator-operator air untuk memastikan prosedur yang betul diikuti sebelum apa-apa pengumuman dibuat.

Loji Rawatan Air Langat 2


WSIA tidak membenarkan sebarang perjanjian konsesi yang baru bagi industri perkhidmatan air bermula 1 Januari 2008.  WSIA juga meminta pemegang lesen perkhidmatan air untuk mengemukakan pelan perniagaan 30 tahun yang akan digunakan sebagai asas untuk proses penetapan tarif.  Berdasarkan perkara ini, SPAN mesti memastikan perkara-perkara berikut dilaksanakan supaya projek Langat 2 dilaksanakan dengan telus:

(i) Perjanjian tarif air mentah berdasarkan kualiti mesti ditandatangani di antara Selangor, Pahang dan SPAN;
(ii) Kerajaan negeri Pahang mesti mewartakan kawasan tadahan air utama dan sekunder yang membekalkan air mentah melalui projek pemindahan air mentah Pahang-Selangor sebagai hutan simpanan kekal;
(iii) Bidaan terbuka Loji Perawatan Air Langat 2 mesti diumumkan.  Firma audit bebas boleh dilantik oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) untuk memastikan ketelusan proses ini supaya kos pembinaan dihadkan.  Maklumat-maklumat pembida-pembida mesti dimuat naik ke laman web SPAN dan PAAB untuk mengelakkan bidaan terbuka "terpilih";
(iv) Berdasarkan butiran pelan perniagaan 30 tahun, Perkara (i) dan Perkara (iii), kesan kepada tarif boleh dianggarkan.

Maka, TIADA RUANG untuk situasi "bina dahulu dan membincangkan tarif kemudian".  Ini adalah bercanggahan dengan model WSIA.

Dakwaan SYABAS mengenai TIADA Capex


Capex (perbelanjaan modal) adalah bergantung kepada kelulusan kerajaan negeri dan SPAN.  Sebagai pemegang konsesi yang enggan untuk menstruktur semula, capex boleh dilaksanakan secara langsung melalui tender terbuka oleh PAAB sejak WSIA dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2008.  Tugas utama SYABAS adalah untuk membekalkan air dan bukannya melaksanakan capex.  Model WSIA tidak membenarkan pemegang lesen perkhidmatan air dibebani dengan kerja-kerja perbelanjaan modal.  Jadi, kenapa merungut?

Orang ramai dan perniagaan tidak risau siapa yang membekalkan air.  Mereka bimbang sama ada bekalan air ada atau tidak.  Kami berharap semua pihak bersikap matang dan profesional dalam menangani isu ini.  AWER telah menerbitkan dan menghantar satu salinan laporan "Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara - Hakikatnya" kepada semua ahli dewan undangan negeri dan ahli parlimen. Sila baca terlebih dahulu sebelum mengulas mengenai model WSIA!

Air adalah kehidupan.  Air BUKAN MODAL POLITIK!

*Piarapakaran S. ialah Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>