2014-04-25 10:47am
 
KOLUM
 
Rock, pengaruh artis dan ketakutan pemerintah
 
Ronasina | Jul 16, 2012 11:57:12 am
Kongsi |

Di mana-mana dalam dunia ini tidak dapat dinafikan, golongan artis atau selebriti dunia hiburan sangat berpengaruh dan sering menjadi ikutan orang ramai khususnya anak-anak muda.  Berbagai jolokan untuk mereka seperti "role model", "trendsetter" atau ikon yang bisa memberi impak kepada dunia.  Kerenah atau aksi mereka menjadi ikutan.  Jika mereka menceburi politik mudah sahaja mereka menang bertanding.  Bayangkan Ronald Reagan, seorang pelakon cerita-cerita koboi boleh menjadi Presiden Amerika Syarikat.  Begitu juga penggusti Jesse Ventura ataupun si "Terminator" Arnold Scwarzenegger boleh menjadi gabenor.  Di Filipina artis bernama Joseph Estrada juga pernah menjadi orang nombor satu.

Inilah ketakutan yang sering menghantui ahli politik.  Bintang Hollywood seperti Mel Gibson, Al Pacino atau Robert DeNiro mudah sahaja membelasah pentadbiran Rumah Putih jika dasar yang dijalankan tidak dipersetujui dan peminat mereka menyambut dan menyokong pandangan idola pujaan mereka.  Selebriti seperti Michael Douglas, Angelina Jolie dan Edward Norton dipilih menjadi duta pelbagai kempen seperti kempen keamanan, alam sekitar atau sayangi haiwan.  Pengaruh mereka diperlukan untuk menarik orang ramai.

Di Malaysia fenomena artis menyokong parti pembangkang semakin hebat sekarang ini tetapi tidak dapat dinafikan kebanyakan artis yang berhijrah ini sudah kurang popular dan telah melepasi usia.  Yang baharu-baharu masih mahu cari makan, tidak boleh lawan.  Bayangkan apa akan berlaku jika artis yang sedang meletup, berpengaruh dan menjadi ikon hari ini tiba-tiba melaungkan slogan "Reformasi"?  Saya teringat ketika muzik rock menjadi anutan anak muda Malaysia pertengahan 1980-an dahulu.  Mereka lantang memperjuangkan lanun cetak rompak yang begitu berleluasa sekali.  Barangkali pihak yang terbabit dengan sindiket cetak rompak (mungkin orang yang berpengaruh terlibat dengan kegiatan ini seperti yang digambarkan di dalam filem Kembara Seniman Jalanan) berasa tergugat maka muzik rock telah diharamkan.  Alasan kambinghitamnya ialah rock membawa budaya negatif seperti dadah, seks bebas dan alkohol.  Peraturan diketatkan seperti berambut panjang tidak dibenarkan muncul di dalam program televisyen.  Apa kena mengena rambut dengan muzik?  Tetapi itulah sang kuasawan.  Taringnya tajam menggigit mangsa yang lemah.  Peraturan ini bagaimanapun gagal memadamkan api muzik rock dan pengaruhnya.  Album kumpulan rock terus laku dan mereka menyampaikan mesej perjuangan yang keras melawan kerenah birokrasi ini.  Lagu "Keadilan" nyanyian kumpulan Lefthanded yang liriknya ditulis S.Amin Shahab lantang memprotes:-
  " Bukankah kita ini punya akal dan hati
    bisa ambil juga beri pendapat sendiri
    Jangan ikut sesuka hati kelak engkau susah sendiri
"

Begitu juga lagu Belenggu Irama nyanyian kumpulan Wings yang liriknya ditulis oleh Bob Lokman (hari ini ahli PAS) menyuarakan tidak puas hati dengan bait-bait seperti:-
     "Perintahmu adalah belenggu
       Menggenggamku dengan kuasamu
       Membuat aku menjadi layu
       Dalam suasana yang masih baru"


Peristiwa yang tidak boleh dilupakan malah boleh dikatakan sebuah malapetaka buat insan seni apabila Kementerian Penerangan dengan menterinya ketika itu menyiarkan secara langsung acara memotong rambut dua rockers terkenal- Amy Search dan Awie Wings.  Inilah ibu segala penghinaan oleh kuasawan yang mahu memberi peringatan agar artis-artis jangan lawan mereka.  Sebenarnya ia bermula apabila seorang pengarah filem komedi mempersoalkan lambakan drama dari Hong Kong memenuhi slot di RTM dan juga sebuah syarikat produksi milik kroni menguasai stesen televisyen milik kerajaan.  Selepas membangkitkan isu itu pengarah filem komedi ini tidak membuat susulan tetapi disambung perjuangannya oleh pengarah filem berani Nasir Jani.  Dalam sebuah rancangan "talk show" di TV3 Nasir Jani yang disiarkan secara langsung ketika itu, beliau telah mencarut dan mengangkat jari hantu sehingga menggemparkan Malaysia dan membawa kesan pemberhentian serta-merta program tersebut.  Nasir Jani terus dikenakan tekanan seperti disabitkan dengan masalah dadah, ajaran sesat dan sakit mental.  Suatu ketika Nasir Jani hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja T bertulis kata-kata kesat kepada Mahathir-Perdana Menteri ketika itu.  Nasir Jani juga pernah membaling batu pejabat FINAS kerana memprotes.  Imej seniman tersebut cuba dikotorkan untuk menyorok kerja keji mereka.  Taktik inilah yang selalu digunakan seterusnya beberapa tahun kemudian seperti Kumpulan Militan Malaysia yang dikatakan mahu berperang dengan pembesar negara dan juga kumpulan Black Metal mengamalkan ilmu hitam yang menyesatkan akidah.  Sebelum itu, jangan lupa pula imej buruk dilemparkan terhadap PAS di dalam peristiwa Memali termasuk juga penyelewengan ajaran di dalam gerakan Al Arqam.  Melalui media genggaman pemerintah, semuanya boleh dilakukan untuk menghalalkan kebusukan mereka.

Isu pemberian slot program televisyen yang dibangkitkan ini cuba dialihkan dengan kumpulan rock menjadi kambing hitam.  Mereka bukan sahaja tidak boleh muncul di kaca televisyen malah lagu-lagi kumpulan rock ketika itu tidak akan disiarkan di radio jika mereka tidak memotong rambut.  Lucu bukan? Apa perlunya memotong rambut kerana yang hendak disiarkan hanyalah lagu, bukan rambut.  Itulah kerajaan Barisan Nasional sejak dulu, kini dan selamanya.  Rentetan itu satu demi satu kumpulan rock akur demi mencari rezeki.  Hanya gergasi rock Search dan Wings yang ramai pengikut sahaja enggan menurut perintah.  Kerajaan kuku besi ini terus mencengkam tengkuk mengeluarkan arahan kumpulan rock yang tidak memotong rambut juga diharamkan membuat persembahan pentas.  Melaka negeri pertama menyokong arahan sial ini.  Dua kumpulan rock tersohor ini akhirnya akur dan terpaksa menebalkan muka muncul di pagi hari secara langsung di kaca televisyen untuk dipotong rambut.

Saya ketika itu menampal keratan akhbar Utusan Malaysia yang mewawancara A.Samad Said di mana Sasterawan Negara itu melahirkan rasa simpati terhadap Amy dan Awie dengan frasa "mereka tewas kerana diasak teruk sehingga ke dinding".  Sebab itulah saya berpendapat kerajaan tidak serius menangani masalah cetak rompak kerana khuatir golongan artis menjadi kaya dan berpengaruh sehingga menggugat mereka.  Bayangkan betapa besarnya pengaruh Search dan Wings yang mampu mengumpulkan 20-30 ribu penonton setiap kali konsert.  Apa akan jadi jika sedang membuat persembahan, mereka melaungkan slogan "Lawan Kerajaan"?  Apakah anak-anak muda ini akan bangkit menyokongnya?  Sebab itulah artis mesti dikembirikan semangat juangnya.  Dan imej rock terus dipandang serong dengan pengaruh dadah, arak dan seks bebas (walaupun tidak dinafikan ia ada berlaku tetapi apa kurangnya pengaruh rasuah, penyelewengan kuasa dan rompakan yang dilakukan oleh pemimpin tertinggi kerajaan yang lebih berbahaya dan membawa kerosakan seluruh sistem di dalam sesebuah daulah).

Muzik Rock yang asalnya lahir di Barat memperjuangkan suara berontak marhaen yang tertindas telah dilemahkan.  Ia bukan lagi membawa suara perjuangan tetapi hanya kekal sebagai muzik hiburan dan fesyen pakaian.  Ini kita dapat lihat apabila Amy dan Awie yang pernah dipotong rambut secara hina oleh pemerintah telah lemah dan menjadi penyokong kuat pula sebuah kerajaan pembela cetak rompak dan juga seribu satu lagi penyelewengan dan salah guna kuasa.

*Ronasina dengan nama asalnya, Mohd Affandi Ramli adalah penulis, kartunis dan aktivis.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>