2014-07-30 12:46am
 
PANDANGAN
 
Muslimat PAS ucapkan syabas kepada Puteri UMNO kerana sokong Hudud
 
Aiman Athirah al Jundi | Jul 13, 2012 04:29:21 pm
Kongsi |

Dewan Muslimat PAS Pusat mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ketua Puteri UMNO, Rosnah Abdul Rashid Shirlin atas pendirian dan keberanian beliau untuk menyatakan sokongan terbuka terhadap cadangan pelaksanaan Hukuman Jenayah Syariah - Hudud di Malaysia, meskipun 1Malaysia tahu bahawa pada 24 September 2011 yang lepas, Perdana Menteri Malaysia, Mohd. Najib Abdul Razak telah mengisytiharkan Hudud tidak sesuai untuk Malaysia!

Kami doakan mudah-mudahan pendirian berani tersebut lahir daripada kesedaran yang benar dan keimanan yang tinggi terhadap "KeTuanan Allah" dalam seluruh hakikat kehidupan kita sebagai hambaNya.

Pendirian seumpama itu sesungguhnya telah lama ditunggu-tunggu oleh pihak kami dan seluruh rakyat yang rindu untuk melihat tertegaknya Islam sebagai "Rahmat Kepada Sekalian Alam" dalam segenap corak dan lapangan kehidupan manusia.

Tentunya seluruh kepimpinan dan aktivis PAS khususnya sangat teruja dan amat bersyukur dengan perkembangan terbaru sejak akhir-akhir ini yang memperlihatkan kepada kita betapa usaha keras, konsistansi hatta komitmen tinggi kita (PAS) selama ini untuk mempertahankan pelaksanaan Hudud kini dilihat semakin membuahkan hasil.

AlhamduliLlah, kini ramai pihak semakin menerima baik cadangan pelaksanaan Hukuman Hudud.  Berkat keyakinan kita yang tinggi terhadap keadilan undang-undang daripada Tuhan yang Maha Pencipta; kita bukan sahaja melihat keterbukaan pimpinan pelbagai bangsa dan agama lain terhadap Hudud tetapi kini keterbukaan serta penerimaan baik seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum, keturunan dan berbilang agama.

Jika rakyat pelbagai kaum dan berbilang agama itu kini telah mula mahu memahami keindahan dan keadilan Hudud; maka tentulah sangat tidak munasabah seandainya di sana masih ada kelompok kepimpinan, aktivis dan penyokong UMNO yang umumnya beragama Islam tetapi masih bertindak menunjukkan penentangan terhadap cadangan pelaksanaan Hudud ini.

Sejak awal, PAS telahpun menegaskan bahawa Hudud bukanlah isu politik kepartaian yang sempit.  Justeru, sejak awal lagi ianya memang tidak wajar dipolitikkan.  Kita telah melalui pelbagai hambatan, tohmah dan fitnah daripada pihak lawan sehingga ada yang berani memberikan label bahawa "Hudud itu adalah Hudud PAS".  Bahkan Kerajaan Negeri (PAS) Kelantan pernah diugut oleh Pemerintahan Pusat (BN).  Hatta kita juga telah menyaksikan bagaimana Hudud tidak dapat dilaksanakan di Terengganu meskipun Enakmen Hudud telah diluluskan ketika PAS menjadi Kerajaan di situ.  Terlalu rencam pengalaman, kesabaran dan konsistansi PAS sepanjang usaha kita memartabatkan Hudud dan Islam itu sendiri amnya.

Berdasarkan perkembangan mutakhir ini juga; sudah tentulah kesyukuran yang setinggi-tingginya kita rafa'kan kepada Allah jua.  Tidak keterlaluan jika Dewan Muslimat PAS Pusat ingin mengucapkan syabas kepada seluruh kepimpinan, pendokong dan penyokongan PAS hatta seluruh kepimpinan, pendokong dan penyokong parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat.  Justeru, berkat perpaduan yang benar, sikap saling memahami dan saling menghormati yang tinggi yang telah dizahirkan oleh kita semua maka pihak lawan kini semakin hilang punca dalam menghadapi Kebangkitan dan Kemaraan Rakyat yang sedang komited menuntut PERUBAHAN untuk menzahirkan sebuah Malaysia yang lebih baik kepada semua!

Akhirnya, Dewan Muslimat PAS Pusat mendoakan agar seluruh kepimpinan, rakyat dan negara ini terus dalam lindungan, hidayah dan kasih sayang Allah Azza Wajalla.

*Kenyataan media oleh Aiman Athirah al Jundi (gambar kiri) selaku Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>