2014-07-30 05:01pm
 
KHAS
 
Najib, bila lagi?
 
Muhammad Nazreen | Jul 12, 2012 01:11:09 pm
Kongsi |

Debat di antara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Presiden MCA, Chua Soi Lek, rentetan daripada debat pertama mereka sebelum ini anjuran Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI) membawa sindiran cabaran debat di antara Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim kepada Perdana Menteri Najib Razak.

Bukti debat demi debat yang berlangsung di antara para pemimpin Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional memberi kepastian bahawa idea politik baru bukanlah hal yang mengingkari norma masyarakat.

Sebelum ini, kita disaksikan dengan penampilan tokoh politik muda Pakatan Rakyat, Rafizi Ramli berdebat sepentas dengan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkenaan hala tuju pendidikan negara.

Debat sebagai permulaan era demokrasi matang

Debat politik kini merupakan arus baru dalam mewadahi kredibiliti pimpinan negara.  Tradisi debat bukanlah omongan yang direkayasa, malahan sejarah menyaksikan debat adalah suatu pentas yang membangunkan dhamir pemimpin-pemimpin yang punya kredibiliti.

Debat adalah cerminan para pemimpin untuk menaruh kepercayaan rakyat akan wawasan yang mereka bawa.  Tuduhan beberapa pemimpin UMNO termasuklah Najib sendiri yang mendakwa debat tidak bersesuaian dengan norma masyarakat Malaysia adalah kenyataan yang serong.  Tindakan "menyelamatkan" diri Najib daripada berdepan dengan Anwar Ibrahim nyata membuktikan Najib bakal dirundum bala.

Debat sebagai "bukan" budaya kita sepertimana yang dilaungkan Najib dan proksinya mempunyai asas yang lemah.  Sebagai salah seorang pimpinan utama Malaysia, alasan yang dihujani beliau supaya terselamat daripada debat bersama Anwar Ibrahim menguatkan lagi bahawa Najib tidak bersedia dengan seruan "transformasi" yang dia laungkan.  Mengapa?

Perubahan budaya politik

Pertama, keadaan politik Malaysia sedia berubah ke arah yang lebih matang pasca "Tsunami-Politik" dalam PRU 12.  Ini terbukti apabila analisis terhadap politik pasca 2008 sama sekali menggerakkan kelompok masyarakat sivil untuk berpartisipasi di dalam arena politik negara.  Kesannya, anjakan kebudayaan politik baru bukan bertitik daripada kelompok parti politik sahaja, tetapi gerakan masyarakat sivil mendapat lebih suara untuk didengari di ruang awam.

Lantas, kesan kesedaran politik baru ini berjaya melobi para pemimpin politik supaya lebih matang.  Salah satu ruang dalam menguji kematangan pemimpin politik ini adalah menerusi interaksi dua hala seperti debat awam.  Bentuk interaksi politik sehala seperti ceramah yang akhirnya hanya dihidupi dengan sentimen "maki-makian", monopoli politik terhadap media ini tidak lagi disahut sebagai kebanyakan rakyat.  Rakyat kini lebih teruja untuk menyaksikan pertarungan idea diraikan di atas pentas yang lebih adil dan saksama demi kemaslahatan bersama.

Bukan soal kalah menang

Kedua, debat bukanlah wadah untuk menyaksikan kalah-menang.  Barangkali Najib terperangkap dengan persepsi ini.  Jadi, cabaran debat dari Anwar Ibrahim lebih dirasakan sebagai pertarungan kalah menang sokongan rakyat.  Sentimen sebegini merupakan kesalahfahaman terbesar terhadap proses perdebatan ini.

Debat bukanlah kertas ujian yang menjadikan teras kejayaan sesebuah parti politik.  Misalnya, mantan Perdana Menteri Britain, Tony Blair cukup dikenali sebagai pendebat yang sangat mahir.  Namun, dia bukanlah seorang Perdana Menteri yang benar-benar berjaya.  Dia kehilangan mandat rakyat Britain akibat daripada dasar luarnya yang lemah terutamanya di dalam isu penglibatan Britain dalam Perang Iraq-Amerika.

Debat bukan budaya kita?

Ketiga, kesan globalisasi serantau membawa kepada faktor kenapa alasan Najib bahawa "debat bukan budaya kita" sama sekali tidak terpakai.  Najib mungkin terlupa atau "buat-buat lupa" bahawa kita hidup di era globalisasi.  Pengaruh global mendorong keperluan para pemimpin untuk berdebat bagi memastikan manifesto kepimpinan parti-parti politik yang bakal bertanding pilihanraya wajib didengari dan diadili oleh semua.

Globalisasi memberi pendedahan rakyat Malaysia kepada isu-isu semasa berkaitan politik, sosioekonomi, sosial hanya menerusi teknologi internet.  Jadi, perkembangan demokrasi di negara-negara luar menyaksikan bahawa debat bukanlah norma yang begitu ganjil dengan demokrasi.

Kebanyakan negara yang menghuni demokrasi ternyata melihat debat sebagai acara penting yang bermanfaat.  Kita menyaksikan pemilihan presiden di Amerika Syarikat seperti Barrack Obama dan John McCain, pemilihan Presiden Perancis di antara Francois Hollande dan Nicolas Sarkozy serta debat tiga penjuru parti politik di Britain antara David Cameron, Nick Clegg dan Gordon Brown adalah kesediaan umum dalam mencorakkan perkembangan politik yang bertemakan demokrasi.

Jadi, adakah janji Najib memastikan Malaysia sebagai negara "first class democracy" dengan menolak tawaran untuk berdebat dengan pesaing politik terdekat beliau jauh meleset?

Debat khazanah intelektual kita

Keempat, debat merupakan sebahagian khazanah intelektual negara kita.  Menerusi debatlah, banyak polisi-polisi awam dirangka.  Misalnya, Debat Kebudayaan yang berlangsung pada tahun 1968 di antara Prof Syed Naguib Al-Attas dan Lim Kit Siang menjadi teras kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Jadi, hujahan yang mendakwa debat sebagai "tradisi" yang direka-reka Pakatan Rakyat untuk mencalarkan norma masyarakat sama sekali terpesong daripada fakta sejarah negara kita.

Debat juga menzahirkan pemikiran dan hala tuju varsiti.  Penulis percaya debat adalah sebahagian daripada tradisi intelektual golongan cerdik-pandai/ mahasiswa untuk membina intergrasi sosial masyarakat Malaysia mencermati isu-isu semasa secara matang dan professional.  Dakwaan Najib dan beberapa pimpinan UMNO sekali lagi gagal.

Mengapa ada Piala Tun Razak untuk pertandingan debat?

Kelima, tindakan Najib mengalu-alukan program debat di kalangan mahasiswa ternyata membuktikan bahawa debat adalah budaya kita.  Jangankan tidak, Najiblah orang yang bertanggungjawab merasmikan sekaligus mempengerusikan Piala Tun Razak yang sememangnya menjadi rebutan para pendebat siswa di universiti-universiti tempatan.

Sekali lagi Najib (gambar kiri) dalam tidak sedar mentertawakan dirinya yang sememangnya sudah ditertawai banyak pihak.

Jadi, alasan yang dihujahkan Najib merupakan bahan jenaka yang menghakis kredibiliti beliau sebagai seorang Perdana Menteri.  Sekalipun tidak bersedia untuk bertemu pesaingnya, Najib seharusnya lebih "bijak" dalam menegaskan jawapan beliau apabila diajak berdebat bersama seteru politiknya.

Kini, tindakan-tindakan lawak Najib menuju ke persimpangan dan dilemma, apakah janji "transformasi" politik yang digembar-gemburkan sebenarnya gurauan memperbodohkan diri sendiri?

Siri demi siri debat sudah pun terlaksana, banyak pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional sendiri sudah ke hadapan untuk berdebat sesama sendiri tentang polisi, idea dan wawasan yang masing-masing bawa.

Kini rakyat Malaysia dahaga untuk melihat tokoh pimpinan utama Malaysia sedia tampil berdebat di ruang awam demi kesejahteraan bersama.  Persoalannya sekarang, sanggupkah Najib?

*Tulisan ini dipetik dari Roketkini.com.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>