2014-04-20 08:38am
 
KHAS
 
"Hak berhimpun lebih penting daripada hak shopping!"
 
Lim Hong Siang | Jul 11, 2012 12:00:00 pm
Kongsi |

Cara polis mengendali perhimpunan secara bertamadun bukan sekadar teori atas kertas, ideal dalam buku, ataupun kata-kata di tepi bibir.  Rombongan kami dibawa untuk menyaksikan satu perhimpunan Anti ACTA, yang berlangsung pada jam 2 petang, 9 Jun, di depan Dewan Bandaraya, Hamburg.

ACTA (Anti-Counterfeiting Trade Agreement) adalah Perjanjian Perdagangan Anti-Pemalsuan, yang menetapkan piawai antarabangsa bagi penguatkuasaan undang-undang terhadap hak cipta harta intelek.  Untuk negara Eropah seperti Jerman, ACTA dilihat memihak kepada kepentingannya.  Penyokong ACTA mendakwa bahawa kebanyakan negara Eropah seperti Jerman, tidak memiliki bahan mentah sumber semulajadi, di samping tidak menikmati kos buruh yang rendah seperti sesetengah negara dunia ketiga.  Pembangunan ekonomi mereka telah memasuki peringkat penghasilan produk intelek.  Seandainya cetak rompak dibenarkan bermaharajarela atau perkongsian maklumat dibiarkan bebas di ruang internet, maka kepentingan mereka (yang bergantung kepada penghasilan produk intelektual) akan terjejas.

Namun demikian, mereka yang membantah ACTA menganggap bahawa penguatkuasaan undang-undang ini bakal menyekat kebebasan pengaliran informasi.  Golongan ini menganjurkan pandangan bahawa industri penghasilan produk intelek perlu menyesuaikan diri dengan langkah perkembangan teknologi maklumat.  Hujah mereka, penciptaan jentera juga menjejaskan peluang pekerjaan ratusan ribu buruh, tetapi akhirnya masyarakat itu berjaya menyesuaikan diri dengan model industri yang baru.

Bagaimanapun, yang pastinya, anti-ACTA bukan pandangan sebulat suara masyarakat Jerman, mahupun di Eropah.  Eropah masih kesangsian, sama ada untuk menandatangani ACTA atau tidak.  Golongan anti-ACTA mengadakan perhimpunan untuk kali ketiga pada 9 Jun, sebagai desakan agar kerajaannya tidak menandatangani perjanjian tersebut.

Buka jalan untuk demonstran

Sekali imbas, mereka yang datang untuk menyatakan bantahan terhadap ACTA terdiri daripada golongan dengan latar belakang yang pelbagai.  Golongan Punk dengan rambut yang tajam di tengah, mereka yang bertatoo pada lengan, orang kurang upaya yang datang dengan kerusi roda, malah budak-budak sekolah menengah.  Ada yang membawa kanak-kanak, ada pula yang membawa binatang kesayangan... dengan kehadiran kira-kira 350 orang ketika ia bermula.

Sebuah lori diubahsuai untuk dijadikan pentas bergerak, dilengkapi dengan pemasangan pembesar suara.  Seperti di Malaysia, penganjur mempunyai sukarelawan yang bertugas untuk menjaga keadaan perhimpunan.  Mereka dilantik dari kalangan sahabat penganjur, atau kenalan sahabat penganjur, dikenalpasti identitinya dengan lilitan kain pada lengannya.  Menurut penganjur, sukarelawan ini akan menegur individu yang membuat kacau, dan selalunya individu yang ditegur akan mengawal diri sendiri kemudiannya.

Seperti di Kuala Lumpur, pihak polis akan ditempatkan di depan dan belakang peserta perhimpunan.  Bezanya, polis di Jerman berperanan sebagai pengiring kepada perhimpunan, dan memastikan kelancaran lalu lintas.  Polis di depan sentiasa berkomunikasi dengan penganjur sepanjang perhimpunan berlangsung, memastikan kenderaan disekat untuk memberi laluan kepada peserta perhimpunan.  Bukan kesemua laluan dalam bandar disekat, tetapi polis membuat sekatan di mana yang perlu hanya apabila peserta yang berarak mendekati.  Oleh itu, kesesakan jalan raya tidak akan berlaku terlalu lama seandainya bilangan peserta perhimpunan tidak ramai.

Jikapun bilangannya ramai, dan diadakan ketika musim membeli-belah menjelang hari krismas, ia semestinya mencungkil rungutan peniaga.  "Sudah tentu peniaga akan pening kepala dan buat bising..." kata pengamal media Jerman yang memberi penerangan kepada kami, sebelum menambah secara berseloroh, "Tapi apa boleh buat?  Hak asasi untuk kebebasan berhimpun kan lebih penting daripada hak asasi untuk shopping (beli-belah)?"

Hak asasi berhimpun warga Jerman termaktub dalam Artikel 8 perlembagaan, berbunyi "Semua warga Jerman memiliki hak untuk berhimpun secara aman tanpa senjata, dan tanpa perlu pemberitahuan atau kebenaran sebelumnya.  Dalam kes perhimpunan luar bilik (outdoor assemblies), hak ini boleh terbatas atau tertakluk kepada undang-undang."

Menurut Philipp Schlager, seorang peguam hak asasi, jikapun perhimpunan yang berlangsung di dataran awam yang berbumbung, ia dianggap perhimpunan terbuka.  Sebaliknya, seandainya perhimpunan diadakan di dalam stadium tanpa bumbung, ia bukan "perhimpunan terbuka".

Demonstran Malaysia jauh lebih beradab

Kami berarak bersama-sama demonstran.  Lagu disiarkan melalui pembesar suara.  Seorang penyanyi rock berada di atas pentas, dengan tali pinggannya yang berupa "deretan peluru".  Bayangkan, seandainya peserta perhimpunan di Malaysia berpakaian dengan hiasan sedemikian rupa, apakah yang akan terjadi?

Jika dirujuk kepada beberapa perhimpunan seperti BERSIH dan Himpunan Hijau di Malaysia, pemerhatian wartawan MerdekaReview mendapati bahawa peserta perhimpunan di Malaysia jauh lebih beradab berbanding demonstran dalam perhimpunan anti-ACTA di Hamburg itu.  Misalnya, mereka meludah pada sticker "anti-ACTA" dan dilekatkan pada cermin kereta di tepi jalan.  Ia boleh dikategorikan sebagai "vandalisme", tetapi masih dalam lingkungan toleransi masyarakat setempat.  Selain itu, mereka tidak teragak-agak untuk menggunakan kata kesat ketika melaungkan slogan, contohnya "Fuck ACTA", sepanjang demonstrasi.  Tiada yang akan dituduh berkelakuan tidak senonoh atau biadap.

Polis tunjukkan jalan yang menarik perhatian umum

Jelas, demonstrasi telah diiktiraf sebagai hak asasi dan diterima sebagai saluran menyuarakan pandangan di masyarakat Jerman.  Aktivis perjuangan anti-ACTA, Elmar Lecher, dari Chaos Computer Club ketika berkongsi pengalamannya bersama kami, berkata polis pernah mencadangkan kepadanya laluan yang harus diambil ketika mengadakan perhimpunan.

"Polis bertanya kepada saya, tujuan kamu (mengadakan perhimpunan) untuk menarik perhatian?  Kalau begitu, ambil jalan ini.  Lebih ramai orang yang berulang-alik di situ," katanya menggelakkan kami.

Pada hakikatnya, perhimpunan sedemikian adalah sesuatu yang biasa dan tidak sukar untuk dikendali.  Bagi pihak polis, situasi hanya sukar apabila berlaku pertembungan dua demonstrasi, yang saling bertentangan pendapat.  Maka, polis akan terperangkap di tengah-tengah, antara dua kelompok manusia ini.  Tugas mereka bertambah rumit seandainya kedua-dua pihak saling membaling batu atau menyerang sesama lain.

Dalam satu sesi perbincangan yang berlainan, Ketua Bahagian Jenayah di Berlin, Oliver Tolle mengakui, sesungguhnya polis perlu menjawab kepada Kementerian Dalam Negeri, tetapi polis terpaksa bertugas berlandaskan undang-undang.  "Bagaimana jikalau terdapat demonstrasi menentang Menteri Dalam Negeri (atau pihak kerajaan)?" tanya kami.

"Menteri Dalam Negeri bagaimanapun tertakluk kepada perlembagaan," Oliver Tolle jawab dengan begitu saja.  Sebenarnya, apa yang lebih mencabar adalah, bagaimana untuk menangani keadaan apabila perlembagaan menjamin hak berhimpun untuk "semua", termasuk mereka yang berbeza pandangan.

Dalam sesi perbincangan "Kebebasan berhimpun: Hak asasi di Jerman", seorang pengamal media menjelaskan, seandainya sekumpulan berfahaman perkauman bermesyuarat dalam satu bilik di sebuah hotel, dan mengundang bantahan sekumpulan lagi orang, untuk berdemo di depan hotel tersebut, polis terpaksa melindungi orang yang berada dalam hotel.

Ini kerana perhimpunan kedua adalah respon kepada perhimpunan pertama (dalam bilik hotel).  Oleh yang demikian, hak berhimpun untuk kumpulan pertama perlu dijamin terlebih dahulu, selagi apa yang dilakukan tidak bercanggah dengan perlembagaan.  Dan lebih penting, atas nama "hak asasi" dan "demokrasi", polis terpaksa melindungi mereka yang berbeza pendapat dengan masyarakat arus perdana.

Persoalan pokoknya, hak asasi.  Apabila hak ini diiktiraf, maka sebarang soalan teknikal atau pertikaian yang menyusul, akan ditangani sebaik mungkin.  Ianya menjadi kayu ukur sejauh mana tekad politik untuk pertahankan hak ini.  Persoalan seperti kesesakan jalan raya, gangguan perniagaan, demonstrasi tidak mendukung pandangan arus perdana dan sebagainya, terlalu bodoh jikalau diajukan di Jerman. (Bahagian kedua, tamat)

Bahagian pertama: "Ini bukan perang, demonstran akan kembali..."

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview  (edisi Bahasa Malaysia), mengambil bahagian dalam program "Anjakan Paradigma: Kebebasan berhimpun dan penyertaan warga negara", dianjurkan oleh International Media Alliance (IMA), berlangsung dari 6 hingga 11 Jun 2012, di Berlin.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>