2014-08-22 05:57am
 
KHAS
 
"Ini bukan perang, demonstran akan kembali..."
 
Lim Hong Siang | Jul 04, 2012 12:50:33 pm
Kongsi |

"Menyuraikan perhimpunan adalah pilihan terakhir.  Semestinya ada orang yang enggan pulang ke rumah selepas anda menyuraikan perhimpunan itu.  Jadi, mereka akan singgah di jalan raya, dan masalah tetap kekal berada di jalan raya... Ini bukan perang.  Jikapun demonstran pulang ke rumah, mereka akan kembali ke jalan raya beberapa hari kemudian.  Anda perlu berdepan dengan mereka juga.  Masalah berulang tanpa penghujungnya."

Pandangan ini diungkapkan bukan dari mulut aktivis hak asasi, tetapi Ketua Bahagian Jenayah di Berlin, Oliver Tolle (gambar kiri).  Menurut Oliver Tolle, polis di Berlin mengambil masa 10 hingga 15 tahun, untuk beranjak dari mentaliti "polis bersetentang dengan demonstran" (we are against the protestor) kepada bekerjasama dengan demonstran.  Polis perlu mencari penyelesaian bersama penganjur demonstrasi. Tekad politik dan pengalaman polis menjadi faktor yang menjurus kepada perubahan tersebut.

Demikianlah luahan seorang anggota polis yang diundang untuk menghadiri satu sesi perbincangan, berjudul "Kebebasan berhimpun: Hak asasi di Jerman".  Forum ini antara aktiviti dalam program "Anjakan Paradigma: Kebebasan berhimpun dan penyertaan warga negara", dianjurkan oleh International Media Alliance (IMA), berlangsung dari 6 hingga 11 Jun 2012, di Berlin.  Wartawan MerdekaReview antara peserta dalam rombongan itu, yang juga disertai pengamal media dari Myanmar, Pakistan, Indonesia, Filipina dan Bangladesh.

Salah seorang pengamal media Jerman turut berkongsi pengamatan beliau ketika sesi jamuan sambil berinteraksi.  Beliau berkata, jika zaman dahulu anda dihentikan polis kerana disyaki melanggar undang-undang jalan raya, dan anda tanya kepada polis, mengapa harus saya patuh kepada arahan anda?  Polis itu hanya perlu menuding kepada pistolnya pada bahagian pinggang.  Zaman sekarang, sambungnya, apabila anda berjalan kaki dan melanggar lampu merah, polis akan menjerit di belakang anda, "Hati-hati, bahaya!"

Polis Jerman kini mengakur dengan realiti bahawa zaman untuk polis menggunakan kekerasan telah berakhir.  Polis perlu belajar untuk menggunakan hujah, rasional ketika berdepan dengan orang awam.  Dan lebih penting, polis Jerman kini mengambil peduli imejnya di depan khalayak ramai, kata pengamal media Jerman.

Cara mengendali perhimpunan

Barangkali sikap "bermuhasabah diri" menyumbang kepada penambahbaikan cara pengendalian perhimpunan oleh polis.  Pengalaman mengendali perhimpunan tidak hanya disimpulkan dengan "lebih kekerasan diperlukan untuk berdepan dengan demonstran", sebaliknya polis memperbaiki pendekatan dirinya untuk menangani situasi sekiranya pertembungan fizikal berlaku.

Misalnya, apabila tunjuk perasaan berlaku, semestinya terdapat peserta yang gagal mengawal emosinya, yang mungkin disusuli dengan bertindak ganas.  Namun, adalah tidak adil untuk mencabul hak asasi berhimpun orang lain hanya kerana tingkahlaku beberapa individu yang hilang kawal.  Maka, pendekatannya adalah mengenalpasti, menangkap dan mengasingkan sesiapa yang bertindak ganas dari kelompok manusia.

Menurut Oliver Tolle, seandainya sekumpulan besar polis menyerbu ke dalam kelompok manusia, maka ia bakal menimbulkan ketegangan, lantas memburukkan keadaan.  Pendekatan yang diambil oleh polis adalah dengan menempatkan beberapa orang polis yang terlatih untuk berada di sekitar peserta demonstrasi, dan hanya bertindak apabila peserta mengganas.

Ceritanya tidak berakhir di situ.  Pengamal media Jerman dalam forum itu menambah, polis yang menangkap peserta tertentu, wajib memberi bukti yang mencukupi untuk menyokong penangkapan tersebut.  Misalnya, mahkamah tidak akan berpuas hati dengan jawapan sekadar "saya nampak peserta yang berbaju putih ini melontar batu", tetapi akan menyusuli dengan meminta polis berkenaan menyifatkan lebih terperinci ciri-ciri yang ada pada tertuduh, misalnya hakim akan bertanya, "Mengapa anda (polis) pasti tertuduh ini yang melontar batu, sedangkan terdapat peserta berbaju putih yang lain di situ?  Bolehkah anda huraikan lebih terperinci apa yang berlaku ketika itu?"

Polis dilarang mengambil video

Dalam satu pertemuan dengan penganjur demonstrasi Anti-ACTA (ACTA-Perjanjian Perdagangan Anti-Pemalsuan), aktivis yang terlibat memberitahu kami bahawa polis dilarang mengambil video terhadap peserta perhimpunan, sehingga saat apabila keganasan berlaku.  "Hak kebebasan berhimpun termaktub dalam perlembagaan.  Merakamkan video terhadap orang ramai dilihat sebagai ugutan untuk menakut-nakutkan orang yang berhimpun," jelas salah seorang aktivis.

Oleh kerana kami telah dimaklumkan bahawa polis memerlukan bukti yang terperinci untuk dikemukakan di mahkamah, maka soalan diajukan, "Seandainya rakaman tidak dibenarkan, bagaimana polis menunjukkan bukti siapa yang mulakan keganasan, seandainya ia berlaku?"

"Bukan kesemua soalan ada jawapannya," jawab seorang aktivis dari Pirate Party.  Di sini memperlihatkan sejauh manakah tekad sesebuah masyarakat untuk mempertahankan hak kebebasan berhimpunnya.  Setelah hak kebebasan berhimpun ini diiktiraf, maka segala persoalan yang timbul kemudiannya akan cuba diselesaikan sedaya upaya. (Bahagian pertama, bersambung)

Bahagian kedua: "Hak berhimpun lebih penting daripada hak shopping!"

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview  (edisi Bahasa Malaysia), mengambil bahagian dalam program "Anjakan Paradigma: Kebebasan berhimpun dan penyertaan warga negara", dianjurkan oleh International Media Alliance (IMA), berlangsung dari 6 hingga 11 Jun 2012, di Berlin. Gambar Oliver Tolle dan ketika sesi perbincangan berlangsung disumbangkan oleh Wolfgang Müller, jurugambar IMA.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>