2014-04-19 01:19pm
 
PANDANGAN
 
Scorpene: Jawapan Zahid timbulkan soalan, Nurul
 
Nurul Izzah | Jun 27, 2012 05:44:29 pm
Kongsi |

Pada 26 Jun 2012, Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan telah memberi jawapan kepada isu-isu yang saya bangkitkan dalam ucapan penangguhan saya di Parlimen mengenai kehilangan atau penjualan dokumen rahsia pertahanan berkaitan pembelian kapal selam Scorpene seperti didakwa SUARAM di Bangkok baru-baru ini, yang juga berkait dengan inkuiri kehakiman (judicial inquiry) di Perancis.

Zahid (gambar kanan) menyatakan bahawa pihak kerajaan tiada maklumat mengenai apa-apa dokumen rahsia pertahanan yang dikeluarkan dari negara, dan kerajaan tidak berminat untuk menghantar wakil pemerhati sekiranya inkuiri kehakiman tersebut menjadi kes penuh di mahkamah Perancis.

Namun jawapan beliau menimbulkan seribu satu pertanyaan, yang perlu beliau jawab terutamanya berkaitan isu-isu berikut:

1. Menteri mengakui bahawa satu "siasatan" ke atas isu dakwaan dokumen rahsia pertahanan negara dikeluarkan dari Malaysia.  Persoalannya adalah: apakah ruang lingkup siasatan tersebut?  Adakah pihak Polis Di-Raja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara terlibat untuk mengelak konflik kepentingan tatkala dakwaan tersebut melibatkan Kementerian Pertahanan?

2. Adakah Menteri mengakui bahawa dokumen-dokumen "rasmi" yang dimaksudkan yang kini di tangan Mahkamah Perancis bukan "Rahsia Kerajaan", dan oleh itu adalah dokumen-dokumen palsu?  Sekiranya hal ini benar, adakah pihak kerajaan akan menghantar nota diplomatik untuk membantah penggunaan dokumen-dokumen palsu tersebut?

3. Adakah Menteri akan menjelaskan sama ada pembelian kapal selam Scorpene ini suatu usaha antara kerajaan (Government-to-Government)?  Jika benar, apakah rasional menggunakan sebuah syarikat peribadi seperti Perimekar Sdn Bhd untuk "perkhidmatan sokongan dan koordinasi" dan bukannya sebuah badan kerajaan yang memastikan rahsia-rahsia pertahanan negara akan terjamin?  Menteri turut wajib menyenarai apakah sebenarnya perkhidmatan-perkhidmatan yang dimaksudkan itu.

4. Adakah Menteri akan mengesahkan bahawa kapal selam Scorpene yang dimiliki Kerajaan Malaysia sudah melaksanakan ujian tembakan peluru hidup serta torpedo bagi mengesahkan tahap persediaan sistem persenjataan?  Menteri tidak seharusnya berlindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi, kerana latihan-latihan sedemikian, seperti latihan pelancaran misil exocet tentera laut, diketahui umum sebagai bukti keupayaan sistem tersebut (proof of capability) yang juga menampakkan kebolehan pertahanan negara.  Mengapa perlu dirahsiakan, walhal berbilion ringgit telah dibelanjakan untuk membeli kapal selam Scorpene ini?

*Kenyataan media oleh Nurul Izzah Anwar (gambar kiri) selaku Ahli Parlimen Lembah Pantai.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>