2014-07-31 09:27pm
 
ANALISA
 
Siapa berbohong? MITI atau Lynas?
 
Tan Sek Choong | Jun 21, 2012 01:43:12 pm
Kongsi |

6. Kesilapan ketika memetik laporan UNSCEAR

Dalam laporan PSC (Lampiran I - ISU-ISU YANG DIBANGKITKAN SERTA ULASAN AGENSI DALAM SESI PENDENGARAN AWAM), ketika menjawab persoalan dari orang ramai yang prihatin terhadap bahaya radioaktif, AELB (m/s 13, 29 dan 30) memetik laporan UNSCEAR (United Nations Scientific Committee on the Effects of Atomic Radiation) tahun 2010 untuk menyatakan bahawa tiada hubung kait antara dos sinaran aras rendah dengan kejadian kanser.

Namun demikian, laporan UNSCEAR 2010 membuat hujahan berasaskan hasil kajian sains di seluruh dunia.  Pada hakikatnya, hasil kajian sains ini tidak menyimpulkan bahawa dos sinaran aras rendah tidak akan menyebabkan kanser; sebaliknya, ahli sains menjelaskan bahawa kajian sains terhadap sinaran yang menyebabkan kanser adalah kerja yang amat kompleks, mereka memerlukan lebih banyak statistik dan masa untuk mengkaji dengan lebih terperinci.  Hujah yang dikemukakan adalah, tiada statistik yang cukup setakat ini untuk membuktikan sama ada dos sinaran aras rendah merbahaya atau tidak. (*Rujukan)

AELB adalah jabatan profesional yang bertanggungjawab untuk mengendalikan bidang radiasi, namun tidak memaklumkan orang ramai tentang kebenaran yang menyeluruh.  Dalam keadaan demikian, AELB memetik laporan UNSCEAR untuk menafikan bahaya dos sinaran aras rendah.  Tingkahlaku ini adalah tidak bertanggungjawab, tidak profesional dan disyaki mengandungi unsur penipuan.

Keputusan PSC secara utamanya ditentukan berdasarkan statistik yang dikemukakan dan penjelasan AELB.  Adakah AELB memaklumkan kebenaran secara menyeluruh kepada PSC dalam isu Lynas?  Adakah PSC menyiasat dan mengesahkan sama ada statistik dan penjelasan yang dikemukakan oleh AELB adalah benar?

7. Kemampuan pemantauan AELB dipertikai


PSC berharap AELB dipertanggungjawabkan untuk memantau Lynas, malah mencadangkan agar peruntukan kepada AELB dipertingkat, dan 0.5% daripada jumlah jualan kasar setahun Lynas dibelanjakan bagi menjalankan aktiviti R&D pengurusan residu.  Persoalannya, adakah AELB berkemampuan untuk mengawal selia, dan memastikan operasi Lynas adalah selamat dan tidak membawa mudarat?

Cara paling mudah untuk menguji kemampuan AELB adalah mengkaji kemampuan AELB dalam pemantauan dos sinaran alam persekitaran.  AELB membelanjakan kos yang besar untuk memasang Environmental Radiation Monitoring System (ERMS) di tujuh lokasi, untuk memantau dos sinaran alam persekitaran di seluruh Malaysia.

Namun sistem tersebut gagal beroperasi secara normal setelah setahun dipasang.  Lebih-lebih lagi, AELB hanya tampil memberi penjelasan selepas orang umum membuat aduan kerana mendapati kesilapan pada sistem tersebut.  Sehingga hari ini, laman utama AELB masih memaparkan "ERMS Lahat sedang diselenggara".

8. DEIA tidak diperlukan untuk pioneer?


PSC telah mengumumkan laporan prosiding yang diadakan di tapak pentadbiran Lynas Malaysia, Kuantan pada 10 Mei 2012.  Pada muka surat ke-15, Pengarah Urusan Lynas Malaysia, Mashal Ahmad menyebut perkara mengenai PEIA dan DEIA.  Beliau mengesahkan bahawa Jabatan Alam Sekitar Malaysia memberitahu Lynas bahawa Lynas tidak perlu menyerahkan DEIA.

Mashal Ahmad (gambar kiri) dipetik berkata, "Okay, when we came here, we wrote a letter to the DOE head office through our environ consultant which is an international company based in Malaysia.  So the reply was 'You do not need to do detailed EIA'. The report is still the same. 'You need not display'.  Why, because this is already an established industrial area.  You do detailed EIA - you put for public display and comment if you want to built your plant in an area where there is no other, if you are the pioneer, I mean you are the first to go to that area."

Menurut apa yang dikatakan Mashal Ahmad di atas, Lynas tidak perlu membentangkan DEIA (maksudnya tidak perlu mendedahkan laporan tersebut kepada orang ramai) kerana loji pemprosesan nadir bumi bukan lagi industri yang baru di Malaysia.  Kontradiksinya, Lynas dikecualikan cukai selama 12 tahun kerana dianugerahkan status strategic pioneer oleh MIDA.  Jadi, apakah loji kilang pemprosesan nadir bumi Lynas masih merupakan pioneer?

Selain itu, Marshal Ahmad telah salah faham perbezaan antara DEIA dengan PEIA.  Pada hakikatnya, sama ada DEIA perlu diserahkan, ia bergantung kepada impak industri tersebut terhadap alam sekitar, dan bukannya sama ada ia industri pioneer atau tidak.  Misalnya, industri petrokimia bukan industri baru di Malaysia, namun JAS masih menetapkan industri petrokimia untuk mengemukakan DEIA, tanpa kira apa jenis sekalipun.

9. Pengecualian cukai 12 tahun adalah pampasan

Selepas PSC mengemukakan laporan, Menteri MITI Mustapa Mohamed berkata, Lynas pernah memohon kepada kerajaan agar syarikatnya dikecualikan cukai selama 15 tahun, namun kerajaan hanya meluluskan untuk 12 tahun.  Namun, dalam laporan Lynas tahun 2007 (suku akhir) (mukasurat keempat), dengan jelas menyatakan bahawa ketika Lynas mahu membina lojinya di Terengganu, MIDA memberi insentif pengecualian cukai selama 10 tahun.  Perkembangan seterusnya menyaksikan MIDA meningkatkan insentifnya dari 10 tahun ke 12 tahun, sebagai pampasan kepada kerugian masa Lynas, yang memindahkan lojinya dari Terengganu ke Kuantan.

Persoalannya, pengecualian cukai selama 12 tahun (kebiasaanya 10 tahun) adalah disebabkan status strategic pioneer-nya, atau kerana untuk memberi pampasan kepada loji Lynas lantaran kerugian yang dialaminya kerana pemindahan loji?

Laporan suku tahun Lynas mendakwa ia adalah "pampasan".  Tetapi menurut laporan prosiding taklimat Lynas Malaysia kepada PSC mengenai projek LAMP pada 10 Mei 2012 (mukasurat 19), Pengarah Urusan Lynas Malaysia, Mashal Ahmad memberitahu PSC, Lynas memilih untuk meninggalkan Terengganu kerana terlalu lama menunggu maklum balas kerajaan negeri Terengganu pada tahun 2007, yang tidak memberi respon.  Jadi, seandainya Lynas yang memilih untuk meninggalkan Terengganu, mengapa pula MITI perlu memberi pampasan?  Siapa yang membohong dalam isu pengecualian cukai - Menteri MITI Mustapa Mohamed atau Lynas?

10. TOL


PSC mengesyorkan supaya Lynas mengemukakan hasil penyelidikan pengkitaran semula, pengurangan sisa (waste minimization), penggunaan dan pengkomersialan residu yang dihasilkan oleh LAMP dalam tempoh 10 bulan selepas TOL dikeluarkan.  Cadangan ini memperlihatkan ketandusan pengetahuan PSC dalam industri.

Dalam bidang kejuruteraan dan industri, prosedur yang normal untuk pembinaan kilang adalah - bermula dengan pengumpulan statistik dari eksperimen secara kecil-kecilan di makmal sains, kemudian membina Pilot Plant untuk mengumpul statistik yang lebih banyak - untuk disemak kedua-dua angkanya.  Seandainya kedua-dua angka itu bersesuaian, maka nisbah ditambah selanjutnya, dan pelaburan dicurahkan untuk membina kilang.  Dengan kata lain, sebelum mengambil keputusan untuk melabur dalam pembinaan loji, Lynas sepatutnya telah memiliki statistik berhubung pengkitaran semula residu.

Menurut laporan PSC (Lampiran II - Synthetic Mineral Product Development), Lynas dalam laporannya kepada PSC pada 10 Mei 2012 mendakwa penyelidikan pengitaran semula WLP telah dijalankan bermula tahun 2008, malah mempunyai 11 rakan penyelidik di dalam dan luar negeri.  Mengapa tidak Lynas mendedahkan hasil penyelidikannya sedangkan empat tahun telah berlalu?  Jikapun Lynas memerlukan lebih banyak statistik untuk menyemak hasil penyelidikannya, namun mengapa tidak Lynas mengumumkan statistik yang ada sekarang untuk diteliti pakar - mengenalpasti sama ada projek ini boleh dijalankan.

Lynas mencurahkan pelaburan sejumlah RM2.5 bilion untuk pembinaan loji pemprosesan nadir bumi di Malaysia.  Apakah Lynas langsung tidak pernah memikirkan pengendalian residunya sebelum ini, dan hanya diselidik selepas kilang beroperasi?  Segala-gala ini mencungkil kecurigaan ramai terhadap dakwaan Lynas dan AELB, bahawa TOL perlu diberikan agar Lynas mampu membuat penyelidikan pengkitaran semula.  Dakwaan sedemikian disyaki sekadar alasan untuk mempercepatkan pemberian TOL kepada Lynas. (Bahagian kedua, tamat)

Baca: Lynas tidak jamin keluarkan residu dari Malaysia sepanjang operasi 20 tahun

Bahagian pertama: Mengapa lesen Lynas diberikan sebelum EIA diluluskan?

*Rujukan
http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/11142211
http://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0531513104017492
http://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0531513104017273

**Tan Sek Choong memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia.  Dsedut, diiterjemah dan disunting dari teks asal, yang disiarkan di MerdekaReview, edisi bahasa Cina.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>