2014-04-24 11:08pm
 
ANALISA
 
Defisit meningkat pasca perbekalan tambahan 2012
 
KPRU | Jun 15, 2012 04:36:40 pm
Kongsi |

Loceng penggera peningkatan defisit negara sekali lagi dibunyikan berikutan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2012) 2012 di Dewan Rakyat semalam.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membentang RUU Perbekalan Tambahan (2012) 2012 untuk memohon dana tambahan mencecah sejumlah RM15,295,345,000, di mana RM13,795,345,000 merupakan perbelanjaan bekalan manakala RM1,500,000,000 adalah bagi perbelanjaan tanggungan.  Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat, perbekalan tambahan ini membebankan Negara dari segi kewangan dengan peningkatan hutang Negara yang setakat ini telahpun mencapai RM470,760juta <1>dan turut menyeret defisit fiscal secara keseluruhan ke suatu tahap yang memerlukan pengawasan yang ketara.

Dalam penulisan KPRU bersama William Leong Jee Keen, Ahli Parlimen Selayang sebelum itu berjudul "Anwar vs Najib: Siapa lebih bijak dalam tadbir urus hutang kerajaan?"<2>, statistik KPRU telah menunjukkan dengan jelas trend defisit fiskal secara keseluruhan Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menampakkan perbezaan bermakna samada semasa ekonomi berkembang dengan baik atau semasa ekonomi meleset.

Kini, setelah membentangkan RUU Perbekalan Tambahan (2011) 2012 untuk mendapatkan tambahan peruntukan sebanyak RM10,290,243,800 bagi menampung perbelanjaan kerajaan tahun 2011 pada bulan Mac 2012, dalam tempoh masa yang singkat, Kerajaan BN sekali lagi membentangkan RUU Perbekalan Tambahan (2012) 2012 untuk mendapatkan tambahan peruntukan sebanyak RM15,295,345,000 bagi menampung perbelanjaan kerajaan tahun 2012.

RUU tersebut dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Awang Adek Hussin untuk bacaan kali pertama kali ini dengan jumlah paling besar - RM11.2 bilion -diperuntukkan bagi "perkhidmatan perbendaharaan am".

Berikut ialah senarai kementerian/jabatan kerajaan dengan peruntukan masing-masing:

Jadual 1: Peruntukan Perbekalan Tambahan Berdasarkan Kementerian

Kementerian/Jabatan   Peruntukan  (RM)
Perkhidmatan Am Perbendaharaan  11,232,000,000
Kementerian Kerja Raya  445,800,000
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan  404,000,000
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)   360,000,000
Kementerian Dalam Negeri   353,520,000
Perbendaharaan  300,000,000
Kementerian Pertahanan  210,000,000
Jabatan Perdana Menteri  112,900,000
Kementerian Pelajaran  195,000,000
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri  60,000,000
Kementerian Kesihatan  40,000,000
Kementerian Sumber Manusia   23,000,000
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar  16,028,000
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah  16,028,000
Kementerian Pelancongan   15,000,000
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani   10,000,000
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi   10,000,000
Kementerian Pengangkutan   2,000,000

Sesungguhnya, kekurangan disiplin dan kehematan dalam pengendalian kewangan yang diamalkan oleh Kerajaan BN di bawah pimpinan Najib telah menyaksikan pemborosan yang begitu menonjol serta penuh dengan pelbagai tuduhan penyelewengan.  Biarpun Perdana Menteri telah berjanji berulang-ulang kali bahawa kerajaan akan mengambil insentif dan langkah bagi mengurangkan defisit fiskal, namun tiada pun kelihatan apa-apa usaha yang nyata, bah kata pepatah, apa payahnya menaupkan bibir atas bawah.

Kini, tambahan pula dengan pembentangan perbekalan tambahan, jangkaan bahawa defisit fiscal Negara akan terus terjunam ke paras yang membimbangkan selepas 15 tahun berturut-turut mengalami defisit. 

Menurut Laporan Ekonomi 2011/2012 Kementerian Kewangan Malaysia, unjuran defisit yang dialami oleh Malaysia pada tahun 2012 adalah masing-masing berada pada kedudukan 4.8 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK, atau Gross National Product (GNP)) dan 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK, atau Gross Domestic Product (GDP)) seperti yang ditunjukkan dalam Jadual2.

Jadual 2: Kedudukan Kewangan Kerajaan Persekutuan 2012 (RM Juta)

Dikemaskini pada April 2012     2012  (Unjuran)
Hasil                         186,906
Perbelanjaan Mengurus          181,584
Perbelanjaan Pembangunan Bersih   48,343
Defisit/Lebihan Keseluruhan   -43,021
% dari KNK    -4.8
% dari KDNK   -4.7
KNK (harga semasa)  890,347
KDNK (harga semasa)  918,322

Sumber: Laporan Ekonomi Kementerian Kewangan <3>

Memandangkan kerajaan memohon peruntukan tambahan yang berjumlah setinggi RM15,295,345,000 - suatu angka yang lebih tinggi daripada bajat tambahan sebanyak RM10,290,243,800 bagi menampung perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan untuk beberapa kementerian dan jabatan bagi perkhidmatan tahun 2011. Lantas, perbelanjaan kerajaan memecut dan memberi tekanan kepada defisit belanjawan Negara.

Dengan mengguna pakai data yang dibekalkan oleh Kementerian Kewangan dalam pengiraan defisit terbaru dengan menambah perbekalan tambahan yang baru dibentangkan dan mengekalkan faktor lain termasuk jumlah hasil pendapatan, adalah nyata bahawa defisit fiskal Negara kini telah mencecah 6.4 peratus daripada KDNK seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 3.



Secara amnya, perkembangan ekonomi Negara adalah senantiasa dalam arus yang dinamik, ada kalanya dilandai kemelesatan dan ada kala pula meraikan peningkatan; data dan maklumat berkenaan turut akan mengalami perubahan dari semasa ke semasa.  Maka, pengiraan tersebut sekadar suatu anggaran dan dikemukakan sebagai rujukan.  Faktor lain seperti hasil pendapatan kerajaan mungkin berubah.  Misalnya, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya meningkatkan kutipan hasil tahun 2011 hampir 27 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, iaitu mencatat jumlah kutipan RM109.7 billion.<4>

Secara teori, peningkatan hasil Negara sememangnya dapat mengurangkan atau sekurang-kurangnya menstabilkan defisit fiskal Negara, atas premis perbelanjaan yang berhemat.  Permasalahannya, pengurusan kewangan oleh pihak kerajaan Malaysia yang menampakkan defisit fiscal berlarutan telah menimbulkan keraguan tentang kemampuan kerajaan semasa dalam menangani hutang Negara yang kian memuncak dan dalam merangka perbelanjaan Negara secara berhemat.

*Rujukan
<1> http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=statistic_nsdp
<2> http://kpru2010.wordpress.com/2011/10/25/the-auditor-general%E2%80%99s-report-and-debt-management-anwar-vs-najib/;http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=12612
<3> http://www.treasury.gov.my/pdf/ekonomi/dataekonomi/2012/forecast/FGFP2012.pdf
<4> http://1malaysia.com.my/my/news_archive/peningkatan-kutipan-lhdn-tahun-lepas-pencapaian-luar-biasa-najib/

**Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU – Political Studies for Change) merupakan sebuah pusat kajian yang baru dan kritikal.  KPRU ditubuhkan pada era pasca 8 Mac dengan tujuan membawa idea perubahan kepada rakyat Malaysia melalui kajian dan sesi dialog.

KPRU memberikan fokus kepada kajian terhadap bidang ekonomi politik dan sektor strategik yang dapat membawa impak jangka masa panjang kepada masyarakat. Dengan penerapan idea baru dan interaksi dengan pelbagai pihak berkepentingan, kajian KPRU diyakini akan membawa pemikiran dan wacana segar untuk menghadapi cabaran negara dalam dekad yang akan datang.

KPRU merupakan institusi pertama yang melibatkan diri dalam kajian parlimen dan menyokong reformasi parlimen.  KPRU mengutamakan isu belanjawan tahunan negara, rancangan jangka panjang, demokrasi parlimen dan lain-lain. Untuk mencapai matlamat tersebut, KPRU bekerjasama secara rapat dengan agensi kerajaan, parti politik, pertubuhan antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberikan khidmat nasihat strategik, program pengunjungan spesifik dan menghasilkan dasar yang berasaskan fakta.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>