2014-07-24 12:01am
 
KHAS
 
JAKOA Perak: Kekangan bajet antara sebab proses pewartaan tanah perlahan
 
SUHAKAM | May 10, 2012 03:18:11 pm
Kongsi |

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak hadir bagi memberi penjelasan kepada 12 kes keseluruhan melibatkan Negeri Perak dalam sesi Pendengaran Awam hari ini.  Pengarahnya, Mohd Zamri Mustajab memberi penerangan awal kepada ahli panel Pendengaran Awam berdasarkan enam skop atau peranan JAKOA iaitu profil penduduk Orang Asli, Projek Pembangunan Ekonomi, Program Pembangunan Prasarana dan Infrastruktur, Kesihatan dan Perubatan, Minda dan Pendidikan dan Isu Tanah.

Negeri Perak terbahagi kepada 10 daerah, walaupun begitu hanya enam daerah sahaja yang menjadi penempatan masyarakat Orang Asli.  Enam daerah tersebut adalah Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Batang Padang dan Hilir Perak dengan jumlah keseluruhan melibatkan 52 787 orang penduduk sehingga 31 Disember 2011.  Daerah Batang Padang merupakan daerah paling ramai penduduk iaitu 19,043 orang manakala daerah Hilir Perak dengan bilangan penduduk paling kecil iaitu sebanyak 1,863 orang.  Perak merupakan negeri kedua tertinggi mempunyai bilangan masyarakat Orang Asli selepas Pahang.  JAKOA Perak juga turut bertanggungjawab bersama Negeri Kedah terhadap satu-satunya perkampungan Orang Asli di Kedah iaitu Kampung Orang Asli Lubok Legong, Baling.  Berdasarkan pembahagian mengikut suku kaum, Semai mendominasi Negeri Perak dengan bilangan hampir 29 ribu orang, diikuti suku Temiar lebih kurang 20 ribu orang, seterusnya suku Jehai, Lanuh dan Kinta.

Pembentangan Mohd Zamri juga menjurus kepada usaha-usaha yang telah dilaksanakan merangkumi pelbagai aspek pembangunan fizikal, ekonomi, pendidikan dan kesihatan masyarakat Orang Asli.

Melalui projek pembangunan ekonomi yang dijalankan oleh FELCRA atau FELDA iaitu sebanyak 40 projek melibatkan kawasan seluas 7,887.89 hektar.  Selain itu melalui program bantuan perumahan kepada Orang Asli sebanyak 1,579 buah rumah telah dibina dalam masa lima tahun yang lepas dengan kos RM 43 juta.

Berkenaan pembangunan prasarana termasuklah jalan raya, pembinaan jambatan dan bekalan air tidak termasuk bekalan elektrik kerana pelaksanaan berkenaan dilakukan terus oleh pihak kementerian dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan peruntukkan keseluruhan sebanyak RM 60 juta untuk jangka masa lima tahun yang lepas.

Aspek kemudahan kesihatan dan pusat transit pula dibangunkan sebagai "one stop centre" disediakan untuk menempatkan masyarakat Orang Asli dari pedalaman sebelum mendapatkan rawatan di hospital misalnya pesakit yang perlu mendapatkan rawatan berterusan dan wanita yang ingin melahirkan anak.  Kos setahun adalah sebanyak RM 270 ribu.

Selain itu kebajikan kanak-kanak Orang Asli melibatkan aspek pengangkutan untuk ke sekolah sebanyak RM 1.6 juta, wang saku sebanyak RM 2 seorang diberi setiap hari untuk menggalakkan anak-anak Orang Asli pergi sekolah dengan jumlah keseluruhan RM 1.4 juta, bantuan makanan juga disediakan kerana kanak-kanak berulang alik ke sekolah serta untuk menggalakkan mereka ke sekolah, bantuan peralatan diri untuk anak-anak Orang Asli yang menetap di asrama sebanyak RM 500 ribu.  Jumlah keseluruhan untuk bantuan kebajikan adalah sebanyak RM 4.7 juta.

Merujuk kepada isu tanah, arahan daripada pihak Berkuasa Negeri agar mewujudkan kerjasama dengan masyarakat Orang Asli telah mewujudkan Jawatankuasa Kerja Penyelesaian Isu-isu Tanah Berkaitan Pewartaan atau Pemberimilikan Tanah kepada Orang Asli.  Setakat ini sebanyak tiga mesyuarat telah diadakan yang dipengerusikan oleh JAKOA dan dianggotai oleh Yayasan Orang Asli, cendiakawan Orang Asli, wakil Koperasi Orang Asli, Pegawai Khas Orang Asli kepada Menteri Besar, Persatuan Orang Asli dan Pegawai-pegawai JAKOA peringkat daerah.  Dalam mesyuarat yang telah diadakan, keputusan mesyuarat akan diangkat kepada agensi-agensi berkenaan secara berperingkat melibatkan pewartaan atau perizaban tanah sama ada melalui permohonan baru atau permohonan semula kes-kes terdahulu.

Secara rumusan, Mohd Zamri menjelaskan bahawa status terkini tanah Orang Asli yang telahpun diwartakan iaitu sebanyak 5,375.6 hektar, 2,400 hektar melibatkan kawasan kubur, 5,726 hektar telah diluluskan tetapi belum diwartakan manakala 16 ribu hektar tanah masih dalam permohonan.  Jumlah keseluruhan tanah Orang Asli sebanyak 34 ribu hektar.

Pengerusi panel Hasmy Agam (gambar kiri) mengulas, penerangan ringkas daripada Pengarah JAKOA jelas menunjukkan peranan JAKOA sememangnya amat penting dan menyentuh pelbagai aspek dalam membangunkan masyarakat Orang Asli.  Walau bagaimanapun, Pendengaran Awam ini adalah satu saluran bagi pihak SUHAKAM untuk mendapatkan maklumat dengan lebih mendalam mengenai permasalahan tanah masyarakat Orang Asli bukan sahaja berdasarkan aduan rasmi kepada SUHAKAM tetapi menyentuh soal ketidakpuasan hati masyarakat Orang Asli terhadap JAKOA melibatkan isu-isu tanah.  Hasmy turut menyatakan terdapatnya tuduhan-tuduhan mengatakan JAKOA tidak prihatin kepada masalah-masalah Orang Asli terutamanya isu-isu pencerobohan tanah, pembalakan dan pewartaan tanah.

Menjawab soalan, Mohd Zamri menjelaskan sememangnya kebergantungan masyarakat Orang Asli adalah sepenuhnya kepada JAKOA. Peranan JAKOA masih terhad walaupun begitu aduan-aduan berterusan melibatkan pembalakan haram di kawasan perkampungan mereka sehingga menjejaskan kehidupan harian dan isu-isu lain terutamanya mengenai tanah.  JAKOA sedia maklum bahawa isu tanah adalah aspek paling penting buat masyarakat Orang Asli.  Apabila Orang Asli membawa aduan dan meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap apa yang berlaku atas tanah mereka kepada JAKOA, Mohd Zamri memberitahu panel, "Apa yang pihak kami boleh lakukan adalah merayu kepada pihak-pihak yang berkaitan, kami tiada kuasa, jika ada kuasa dah lama kami wartakan tanah tersebut".

Menurut Mohd Zamri lagi JAKOA hanya boleh memohon tanah, seterusnya adalah tindakan pihak agensi-agensi berkenaan untuk meluluskan.  Beliau juga menyatakan untuk mengemukakan dokumen-dokumen untuk menunjukkan bahawa terdapatnya usaha-usaha proaktif dilakukan oleh JAKOA dalam permasalahan tanah Orang Asli.  Mohd Zamri turut menambah Orang Asli di Perak boleh dibahagikan kepada dua iaitu kawasan pedalaman dan kawasan pinggir bandar.  "Masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman kampung masih bergantung sepenuhnya kepada JAKOA tetapi Orang Asli di pinggir bandar mereka dah boleh uruskan kehidupan sendiri", jelasnya lagi.

Ahli panel, Dr. Khaw Lake Tee (gambar kanan) mengutarakan isu berkenaan rizab tanah Orang Asli. Menurutnya jika dirujuk kepada pembentangan Mohd Zamri, aspek pembangunan infrastruktur dan prasana memperuntukkan sebanyak RM 60 juta dan adakah peruntukkan tertentu untuk pewartaan tanah diberikan kepada JAKOA Perak.

"Ya, peruntukan ada untuk JAKOA Perak tetapi peruntukkan itu jumlahnya dikongsi oleh Negeri-negeri lain dan dikawalselia oleh JAKOA Ibu Pejabat.  Untuk makluman ahli panel juga, dalam mesyuarat penyelarasan bajet dua minggu lepas saya dah kemukakan peruntukkan untuk kerja-kerja mengukur di Perak, cuma saya tak pasti boleh diluluskan atau tidak," jelas Mohd Zamri.

"Kita juga menghadapi kekangan dari segi bajet.  Cuba bayangkan jika kita dapat wartakan 34 ribu hektar tanah Orang Asli ini, berapa ratus juta kita perlu sediakan (untuk kerja-kerja mengukur) tetapi yang paling penting bagi saya ialah apabila permohonan tanah dah diluluskan (walaupun belum diwartakan) itu dah menjadi jaminan.  Maknanya dah terdapat perubahan dalam proses permohonan.  Berkenaan peruntukan, sememangnya di peringkat negeri, kita akan memohon dari JAKOA Ibu Pejabat," kata Mohd Zamri.

Jelas Mohd Zamri lagi, pewartaan melibatkan pengukuran sempadan kawasan dan kos mengukur adalah tinggi.  "Kita bukannya tak buat kerja-kerja mengukur, kita ada buat tetapi kerana kekangan peruntukan, kerja-kerja pengukuran ada, tapi perlahan," tegas Mohd Zamri.

*Rencana daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>