2014-07-28 10:22pm
 
KHAS
 
JPN nafi keluarkan IC kepada warga asing
 
MerdekaReview | Apr 24, 2012 01:32:02 pm
Kongsi |

Satu gambar "kad pengenalan (IC) bertarikh luput" tersebar di laman sosial baru-baru ini, mencungkil kecurigaan bahawa warga negara asing diberi IC untuk mengundi pada pilihan raya umum akan datang.  Menurut pihak yang menyebarkan gambar ini, IC ini dimiliki seorang warga asing dari Burma.

Bagaimanapun, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan bahawa gambar tersebut merupakan gambar Kad Pengenalan Pemastautin Sementara yang lama yang dikeluarkan pada tahun 2001, pada masa yang sama menafikan bahawa kewarganegaraan diberikan kepada warga negara asing.

"Walaupun seseorang itu memiliki Kad Pengenalan Sementara, dia bukanlah berstatus warganegara Malaysia." Demikianlah jawapan daripada Jainisah binti Mohd Noor, Pegawai Perhubungan Awam JPN ketika membalas beberapa soalan yang diajukan dalam emel oleh MerdekaReview.

Menurut Jainisah, pada tahun 2001, semua kad pengenalan untuk warganegara, pemastautin tetap dan pemastautin sementara adalah menggunakan kad yang sama dengan hanya dibezakan berdasarkan indicator tertentu pada atas kad.

"Bagi kad pengenalan Pemastautin Sementara, ianya mempunyai lima segitiga berwarna hijau di atas kad serta mempunyai tarikh luput.  Kad pengenalan Pemastautin Sementara dikeluarkan berdasarkan Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) dan Peraturan-peraturan, di bawah Peraturan 5(3)(c)(ii) Peraturan - Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2001) kepada seseorang yang dilahirkan di Malaysia namun status kewarganegaraannya tidak dapat ditentukan."

"Pada tahun 2008, kad pengenalan Pemastautin Sementara yang dikenali sebagai MyKAS telah dikeluarkan dan adalah berwarna hijau sepenuhnya serta terdapat catatan 'Pemastautin Sementara' pada kad tersebut.  Untuk rujukan lanjut bolehlah melayari portal kami di http://www.jpn.gov.my/informasi/mykas ."

Ketika ditanya apakah tujuan IC seperti ini dikeluarkan, Jainisah menjawab, "Berdasarkan Peraturan 5(3)(c)(ii) Kad Pengenalan tersebut dikeluarkan kepada seseorang yang dilahirkan di Malaysia tetapi taraf kewarganegaraannya tidak dapat ditentukan."

Ketika ditanya lagi dakwaan bahawa IC paling banyak diberikan kepada warga asing di Selangor, Jainisah sekali lagi menekankan, "JPN tidak pernah mengeluarkan Kad Pengenalan bertaraf warganegara kepada warganegara asing tidak kira di mana mereka berada."

Wartawan MerdekaReview menelefon Jainisah pada pagi ini, dan beliau mengesahkan bahawa Pemastautin Sementara tidak berstatus warga negara Malaysia, dan tidak mempunyai hak mengundi, lantas tidak boleh mendaftarkan diri sebagai pengundi.

Menurut Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim, sehingga Disember 2011, daripada kira-kira 500 ribu pengundi baru di Selangor, lebih 398,300 orang adalah pengundi yang baru mendaftarkan diri, 91,000 orang dipindah ke Selangor, membawa kepada jumlah 489,405 orang.

Pakatan Rakyat telah mencadangkan kepada Menteri Besar Selangor supaya tidak membubarkan DUN Selangor serentak dengan pembubaran parlimen, jika diumumkan PM Najib Razak dalam masa terdekat - selagi senarai daftar pemilih tidak dibersihkan.

*Diterjemah dan disunting dari teks asal.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>