2014-07-24 06:32am
 
ANALISA
 
Program SAVE yang tidak "Menjimatkan"
 
Piarapakaran S | Apr 23, 2012 12:14:44 pm
Kongsi |

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menjalankan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkepentingan iaitu agensi-agensi kerajaan, industri dan orang ramai untuk menilai Program Rebat SAVE (SAVE) yang dilaksanakan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).  Kajian ini adalah sebahagian daripada Projek Pembuatan dan Penggunaan Lestari (Sustainable Production and Consumption) yang ditaja oleh Suruhanjaya Tinggi British (British High Commission), Kuala Lumpur.

Dengan projek SAVE, kerajaan melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) telah melabur RM50 juta untuk menjana anggaran Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM5.1 bilion menjelang tahun 2020 dan ia mensasarkan untuk mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 127.3 GWj dalam tempoh masa yang sama.  Menjelang akhir tahun 2011, projek SAVE telah diletakkan di bawah penyeliaan Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (Sustainable Energy Development Authority - SEDA) yang tidak mempunyai sebarang bidang kuasa ke atas pelaksanaan kecekapan tenaga.

Apa kata pihak-pihak berkepentingan?

AWER telah menjalankan satu siri perundingan dengan beberapa jenama yang telah mengambil bahagian dalam projek SAVE, dua pasaraya besar utama dan beberapa kedai-kedai elektrik (yang meminta untuk merahsiakan nama mereka).  Beberapa input yang terpilih dari jenama dan peniaga yang mengambil bahagian dalam projek SAVE adalah seperti berikut:

(i) Perancangan projek SAVE adalah dengan notis yang singkat dan mekanisme pelaksanaan juga rumit.

(ii) Pelaksanaan projek SAVE mempunyai isu-isu penyelarasan seperti laman web tidak berfungsi selepas pelancaran, panduan kepada peniaga adalah tidak memuaskan dan kadar respon yang lemah.

(iii) Pengguna tidak sedar mengenai prosedur projek SAVE dan terus berurusan dengan peniaga.  Peniaga juga berasa tiada jaminan untuk mendapatkan wang semula daripada kerajaan disebabkan oleh kelewatan dalam kelulusan dan pembayaran.

AWER juga telah bertemu dengan ST (Suruhanjaya Tenaga) dan KeTTHA untuk mendapatkan pandangan mereka tentang projek SAVE.  ST telah memaklumkan kepada AWER bahawa projek SAVE sepatutnya dilaksanakan oleh mereka.  Walau bagaimanapun, penggubal dasar (KeTTHA) telah mengambil pelaksanaan projek ini di bawah kementerian dan akhirnya menyerahkan pelaksanaan projek ini kepada SEDA.  SEDA merupakan entiti yang tidak mempunyai bidang kuasa dalam pelaksanaan Kecekapan Tenaga. Pelaksanaan Kecekapan Tenaga telah menjadi rebutan kuasa di antara seorang ketua sektor di KeTTHA dan ST.  Sejak pegawai kanan dari KeTTHA ini telah dinaikkan pangkat untuk menerajui SEDA, perebutan kuasa dalam melaksanakan Kecekapan Tenaga juga telah mengubah kedudukannya ke antara SEDA dan ST.  Antara isu-isu yang dibangkitkan oleh KeTTHA semasa proses perundingan adalah seperti berikut:

(i) Respon daripada orang ramai adalah rendah di peringkat awal dan laman web mengambil masa untuk menyesuaikan diri dan stabil;

(ii) Peniaga yang tidak menghadiri latihan (roadshow) mungkin menghadapi lebih banyak masalah semasa pelaksanaan kerana mereka tidak memahami prosedur;

(iii) Mengakui bahawa harga maksimum (ceiling price) tidak ditetapkan untuk produk dan jenama yang mengambil bahagian dalam projek SAVE; dan

(iv) Mengakui bahawa tiada kajian dan perbandingan harga dilakukan sepanjang pelaksanaan projek SAVE untuk mencegah pencatutan (profiteering) melalui penyalahgunaan mekanisme rebat.

Komen-komen daripada AWER mengenai Projek SAVE


(i) Skop projek SAVE - KeTTHA telah gagal untuk memberitahu atau justifikasi bagaimana spesifikasi kumpulan sasaran telah diperolehi.  Di samping itu, perubahan dalam syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan untuk penghawa dingin hanya menunjukkan bahawa projek ini adalah satu cubaan ad-hoc.  Oleh itu, skop projek dan output sasaran adalah samar-samar.

(ii) Pemilihan produk - Penghawa dingin bukan merupakan satu kemestian dalam kehidupan seharian bagi kebanyakan orang.  Tambahan pula, menggunakan penghawa dingin jenis "inverter" dengan cara yang tidak betul boleh menyebabkan kenaikan bil elektrik.  Penghawa dingin jenis "inverter" boleh mendapatkan label penarafan 5 bintang dengan mudah kerana nilai Nisbah Kecekapan Tenaga (Energy Efficiency Ratio - EER) yang tinggi.  Walau bagaimanapun, produk-produk ini perlu dipasang di kawasan tertutup dan sesuai untuk mencapai penjimatan maksimum dalam penggunaan elektrik.  Pemasangan di kawasan terbuka seperti ruang tamu atau kurang daripada saiz yang ditetapkan (berdasarkan kuasa kuda penghawa dingin) akan menyebabkan penggunaan elektrik yang lebih tinggi disebabkan fungsi "inverter" Ini.  Berdasarkan perundingan dengan orang ramai dan peniaga, kebanyakan kakitangan jualan tidak berkongsi maklumat ini dengan pengguna kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenainya juga.

(iii) Peluang pasaran yang adil - Kajian lapangan AWER menunjukkan bahawa keperluan pelabelan tidak diikuti.  Sesetengah jenama menggunakan label kecekapan tenaga yang dicetak di atas kertas A4 biasa dan melekat menggunakan pita pelekat di atas produk yang dipaparkan.  Kod warna label adalah jauh berbeza daripada kod warna yang ditetapkan dalam peraturan.  Di samping itu, sesetengah jenama mencetak label kecekapan tenaga yang lebih besar daripada saiz yang ditetapkan dalam peraturan untuk menarik perhatian pembeli.  Ini menjadi satu kekurangan dan tidak adil kepada jenama lain yang mematuhi peraturan.  Aduan yang dibuat juga telah dibiarkan begitu sahaja sehingga kini.

(iv) Harga produk tidak dipantau - Salah satu objektif utama projek ini adalah untuk mengurangkan kos membeli produk cekap tenaga.  Malangnya, pelaksanaan projek SAVE tidak memantau harga sebenar yang ditetapkan di pasaran.  Ini telah diakui oleh KeTTHA semasa rundingan dengan pegawai-pegawai mereka.  Bagaimana seseorang itu mengetahui sama ada harga yang ditawarkan adalah harga yang terbaik?  Apakah yang akan berlaku jika peniaga menaikkan harga dan memberikan rebat berdasarkan rebat projek SAVE?  Ini bukan rebat, tetapi mencatut (profiteering). AWER tidak berniat menuding jari kepada tingkahlaku peniaga-peniaga tetapi dalam dunia perniagaan, keuntungan sentiasa diutamakan.  Oleh itu, ini adalah faktor utama yang menyebabkan projek SAVE satu pelaksanaan yang boleh dipersoalkan kerana ia tidak mencegah pencatutan.

(v) Projek SAVE menggalakkan peningkatan penggunaan tenaga elektrik - Apabila projek ini dilancarkan, ia mensasarkan pembeli dengan penggunaan elektrik dalam lingkungan 200 hingga 400 kWj.  Pengguna yang termasuk di dalam lingkungan penggunaan elektrik ini mungkin adalah sebuah keluarga yang sudah mempunyai 1 penghawa dingin, peti sejuk dan alat-alat elektrik asas lain di rumah.  Jika penghawa dingin yang baru dibeli, penggunaan elektrik keseluruhan keluarga ini akan meningkat.  Bagi keluarga yang tidak mempunyai penghawa dingin, penggunaan elektrik mereka adalah sentiasa lebih rendah.  Sekarang, penggunaan elektrik mereka pasti akan meningkat jika mereka membeli penghawa dingin baru.

Di samping itu, projek SAVE bukan merupakan satu program penggantian untuk produk lama yang tidak cekap tenaga yang sedang digunakan.  Ia adalah projek yang berorientasikan jualan.  Oleh itu, projek ini telah meningkatkan penggunaan elektrik keseluruhan untuk sektor domestik di Malaysia secara tidak langsung dan bercanggahan dengan objektif projek untuk mengurangkan penggunaan elektrik.

Cadangan dan Kesimpulan

Secara keseluruhannya, projek ini boleh dilaksanakan dengan mencapai impak yang tinggi serta memanfaatkan orang ramai dan perniagaan jika dirancang secara terperinci.  Malangnya, politik pejabat di dalam KeTTHA dan agensi-agensinya serta pelaksanaan secara ad-hoc telah menyebabkan projek SAVE gagal dan pada dasarnya, tidak membawa banyak perubahan dalam meningkatkan pemahaman tentang kecekapan tenaga.

AWER mencadangkan perkara-perkara berikut untuk dilaksanakan:

(i) Ketua Audit Negara perlu mengaudit keseluruhan projek dan pencapaian sebenar.  Analisis keberkesanan projek (cost benefit analysis) dan kos keseluruhan projek termasuk kos sumber manusia, laman web, pameran bergerak (roadshow) serta perbelanjaan "promosi" lain perlu dibandingkan dengan hasil sebenar projek.  Pengukuran yang jelas bagi pencapaian perlu wujud dan laporan ini hendaklah disiarkan untuk pengetahuan umum.

(ii) Pelaksanaan Kecekapan Tenaga mesti dilaksanakan oleh ST seperti termaktub di dalam Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 dalam seksyen 14 (1) (a), (b), (d), (e), (g), (i) dan Akta Bekalan Elektrik di seksyen14 (l), 14 (la), 23A, 23B dan 23C.  Penggubal dasar (KeTTHA) atau agensi yang tidak berkuasa (seperti SEDA atau agensi lain) tidak perlu campur tangan dalam pelaksanaan kecekapan tenaga.  Menteri KeTTHA perlu campur tangan bagi mencegah kegagalan pelaksanaan kecekapan tenaga di Malaysia. Bertindak sekarang sebelum nila setitik merosakkan susu sebelanga.

(iii) Melaksanakan Piawaian Prestasi Tenaga Minimum (Minimum Energy Performance Standards - MEPS) untuk kedua-dua peti sejuk dan penghawa dingin dengan serta-merta.  ST mempunyai kuasa untuk melaksanakan MEPS pada bila-bila masa.  MEPS adalah cara yang paling berkesan untuk mengeluarkan produk-produk yang tidak cekap tenaga dari pasaran dan ia adalah lebih mudah untuk dilaksanakan untuk pelbagai produk dalam tempoh masa yang singkat.  Banyak negara di Asia Pasifik telah melaksanakan MEPS.  Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding dengan Thailand dan Singapura dalam pelaksanaan MEPS.

(iv) Penguatkuasaan pelabelan adalah penting.  Kerajaan perlu menyediakan persaingan yang adil kepada semua pengeluar, pemborong dan peniaga produk cekap tenaga untuk memastikan pasaran produk cekap tenaga berkembang.  Layanan yang tidak adil hanya akan menghalang pertumbuhan pasaran produk cekap tenaga.

Kegagalan untuk melaksanakan langkah-langkah ini akan menyebabkan Malaysia mempunyai prestasi yang teruk dalam kecekapan tenaga.  Tugas yang paling penting bagi Menteri KeTTHA adalah untuk memastikan tiada penggubal dasar atau entiti-entiti lain yang tidak berkuasa mengganggu fungsi ST.  Kami menggesa juga ST, PEMANDU dan Kementerian Kewangan (MoF) untuk menerima cadangan-cadangan dalam kajian ini untuk meningkatkan prestasi dan potensi impak kepada rakyat dan negara melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP).  Projek SAVE merupakan satu inisiatif yang baik tetapi pelaksanaan kini adalah satu kegagalan.

*Piarapakaran S. (gambar kiri) ialah Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>