2014-04-24 05:16am
 
PANDANGAN
 
SPF USM desak pilihan raya kampus segera
 
SPF USM | Mar 25, 2012 03:49:27 pm
Kongsi |

Kami membantah keputusan Universiti Malaya (UM) untuk menangguhkan pilihanraya kampus ke bulan September.  Tindakan pihak UM ini ialah tindakan yang menghapus demokrasi kampus.  Masalah ini seterusnya akan berlaku juga di kampus-kampus lain tidak lama lagi.

Pihak UM telah bertindak secara kuku besi atas isu pilihan raya kampus dengan melantik "Executive Caretaker" secara terus tanpa berunding dengan para mahasiswa, satu tindakan yang menunjukkan bahawa pihak UM tidak menghormati suara mahasiswa.  Kini, kuasa MPP bukan sahaja dirampas oleh AUKU, yang telah lama wujud, tetapi juga dirampas oleh pihak universiti.

Universiti yang lain termasuk USM dijangka akan mengikut jejak UM.  Iaitu pilihanraya kampus akan ditangguh sehingga bulan September, semester depan.  USM belum mengumumkan perkara ini, menyebabkan mahasiswa kini berada dalam situasi kekeliruan.  Hak mahasiswa untuk mendapatkan maklumat tidak diambil berat.  Hal ini merupakan kegagalan besar dalam pendidikan demokrasi, menunjukkan satu contoh demokrasi yang negatif kepada para mahasiswa.

Jika anak muda telah membiasakan diri dengan sistem yang tidak demokrasi, maka mereka tidak terdedah dengan prinsip berdemokrasi yang sebenar, dan akhirnya tidak berupaya mengambil bahagian dalam pembentukan negara yang demokrasi.

Selain itu, pilihanraya kampus yang akan ditangguh satu semester akan mengakibatkan seluruh mahasiswa kehilangan hak mengundi untuk satu tahun.  Bagi mahasiswa/i yang berada dalam tahun terakhir di kampus, pilihanraya kampus pada semester hadapan bermaksud mereka tidak dapat mengundi lagi kerana telah tamat pengajian.

Penangguhan pilihanraya kampus bukan sesuatu yang baru di negara kita, dan kali ini ialah penangguhan kali kedua.  Kali pertama adalah selepas tsunami politik 308; manakala kali ini juga sangat dekat dengan pilihanraya umum.  Kerajaan persekutuan sedang menghadapi krisis dalam kedudukan politiknya, akibat daripada gerakan STOP LYNAS yang meluas, serta tuntutan rakyat terhadap pilihanraya yang bersih dan adil.  Kuasa rakyat telah bangkit dan semakin matang.  Kerajaan persekutuan risau akan situasi kampus dan negara akan saling mempengaruhi, yang mungkin mencetuskan tsunami politik sekali lagi yang mampu menjejaskan kedudukan politik mereka.

Mahasiswa tidak mempunyai autonomi di dalam kampus, maka hak berdemokrasi akan dirampas sama sekali.  Perkara ini disebabkan oleh AUKU yang memberi kuasa pentadbiran mutlak kepada universiti dan hal-ehwal mahasiswa.  Akta zalim ini tidak patut wujud.  USM, sebagai universiti APEX, kami merasakan keperluan baginya untuk memulangkan kuasa autonomi mahasiswa supaya USM menjadi teladan kepada kampus lain, yang turut bersama-sama menolak AUKU.

Kami berhak untuk menikmati pilihanraya kampus yang bebas, berhak untuk meluahkan pandangan kami di peringkat kampus, dan juga di peringkat negara, dengan undi kami.  Student Progressive Front menyeru seluruh mahasiswa untuk memberikan solidariti kepada tuntutan Pro-Mahasiswa Nasional, mendesak supaya demokrasi diutamakan, pilihanraya kampus diadakan dengan segera!

*Kenyataan media daripada USM Student Progressive Front (SPF USM).



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>