2014-04-19 10:29pm
 
EKSKLUSIF
 
Guru pula dikategorikan kepada Putih, Kelabu, Hitam?
 
Ong Vic Kee | Mar 09, 2012 06:38:28 pm
Kongsi |

Menjelang pilihan raya umum yang akan datang, bukan sahaja kawasan parlimen yang bakal dikategorikan dengan warna "putih", "kelabu" dan "hitam", malah guru juga dikategorikan sebegitu mengikut kecenderungan politik masing-masing.

Dalam sepucuk surat rasmi dari Pejabat Pelajaran Daerah Tawau pada 1 Mac 2012 (gambar kanan), pengetua dan guru besar sekolah di daerah tersebut diarahkan untuk mengkategorikan kakitangan di bawah jagaannya mengikut kecenderungan politik dengan tafsiran warna seperti berikut.

Mereka yang jatuh ke kategori putih memiliki ciri-ciri seperti akur akan dasar-dasar kerajaan, kritis terhadap dasar kerajaan secara positif dan membina, bersyukur akan kelebihan yang diberikan kepada kakitangan kerajaan.  Sementara mereka yang disenaraikan di bawah warna kelabu, menunjukkan sifat "mula mengkritik secara negatif dan terbuka akan dasar-dasar kerajaan, mula berjinak-jinak dengan parti pembangkang".  Malah mereka yang jatuh dalam warna hitam pula, adalah "ahli berdaftar dan memegang jawatan dalam parti pembangkang, bergiat cergas dalam aktiviti berkempen menentang kerajaan, dan ada percubaan mempengaruhi rakan sejawat yang lain supaya turut serta dalam sebarang aktiviti untuk membenci kerajaan".

Malah, pegawai pelajaran daerah Tawau yang mengeluarkan surat rasmi ini, Darman Shah bin Haji Asakil menambah, "Oleh kerana maklumat sedemikian boleh menjejaskan mana-mana pihak yang terbabit, saya memohon agar borang ini diisi oleh tuan/puan/cik sendiri agar kerahsiaannya terkawal di bawah Akta Rahsia Rasmi Kerajaan".

Surat ini disebarkan di laman sosial Facebook baru-baru ini, dan MerdekaReview telah berjaya menghubungi Darman Shah untuk mendapatkan respon beliau.  Darman menafikan bahawa surat ini adalah arahan daripada kementerian pelajaran mahupun jabatan pelajaran, malah mengakui bahawa "Ini satu kesilapan.  Surat telah dibatalkan".

Dalam surat tersebut, Darman mendakwa dirinya diarah untuk mendapatkan maklumat berkenaan daripada semua ketua sekolah di daerah Tawau, merujuk kepada Mesyuarat Khas Jabatan Pelajaran Negeri Sabah bertarikh 29 Februari 2012.  Bagaimanapun, Darman berkata kepada wartawan bahawa mesyuarat tersebut tidak berlangsung, malah mengulangi bahawa surat ini adalah satu kesilapan, dan pihaknya bakal mengutus surat kepada jabatan, kementerian dan sekolah untuk memaklumkan bahawa surat ini telah dibatalkan.

*Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>