2014-04-20 09:19pm
 
ANALISA
 
Dari perspektif ekonomi: Apabila kerajaan buka pintu untuk Lynas...
 
Neo Chee Hua | Mar 06, 2012 06:34:36 pm
Kongsi |

Isu pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas telah mencetus gelombang hijau di Kuantan (dan negeri-negeri lain).  Belasan ribu orang manusia turun ke jalan raya untuk menentang Lynas.  Pada masa yang sama, Perdana Menteri Najib Razak kelihatan acuh tak acuh, tetap mempertahankan bahawa kajian saintifik mendapati sisa buangan kilang pemprosesan Lynas adalah "selamat".

Apakah kerajaan Najib tidak mendengar suara rakyat yang bergema di jalan raya?  Atau rakyat terlebih bimbang sesuatu yang tidak semestinya berlaku?  Atau kerajaan kita tersangat yakin, sehingga memiliki 100% keyakinan terhadap keselamatan kilang pemprosesan nadir bumi?  Semuanya tidak.

Padahal ia hanya membuktikan fenomena yang semestinya berlaku di bawah teori public choice, iaitu sesuatu kesudahan dari dasar yang diputuskan politik selalunya bercanggah dengan hasil yang diidamkan khalayak ramai.  Mengapa wujud pertentangan yang begitu ketara antara dasar kerajaan dengan suara rakyat?  Ianya berkaitan dengan kegagalan kerajaan (Government Failure), politik naungan (Political Patronage) dan amalan merentir (Rent Seeking).

Secara tradisional, kegagalan pasaran (Market failure) adalah alasan terbaik untuk memberi laluan kepada campur tangan kerajaan (Government Intervention).  Kegagalan pasaran berpunca daripada tingkahlaku manusia, iaitu tingkahlaku pembekal dan pengguna.  Untuk memenuhi kepentingan diri, individu atau pengusaha akan menjurus kepada ketidakseimbangan atau ketidakberkesanan dalam pasaran, atau membawa kesan negatif untuk masyarakat, misalnya negative externalities.

Secara umumnya, pakar ekonomi bersetuju bahawa tiga faktor utama yang menjurus kepada kegagalan pasaran, iaitu wujudnya monopoli atau oligopoli (termasuk segelintir kecil orang menguasai sebahagian besar kuasa pasaran), wujudnya fenomena externality dan melibatkan public good.  Kerajaan melalui dasar yang digubal, atau strategi tindakannya mencampur tangan untuk memperbetulkan masalah kegagalan pasaran.

Tetapi, apakah campur tangan kerajaan adalah penawar yang mujarab untuk kegagalan pasaran?  Sebenarnya tidak.  Teori public choice telah menolak hujah ini.  Ini kerana kerajaan/politik dengan sendiri adalah sebahagian daripada tingkahlaku manusia dalam masyarakat bertamadun - dengan kata lain, ia juga berdepan dengan masalah "kegagalan kerajaan".

Seperti individu atau pengusaha yang lain dalam bidang ekonomi, politikus dan pegawai kerajaan juga mementingkan diri.  Walaupun bekerja atas nama "demi kepentingan umum", namun kebanyakan masanya mereka menghambat kepentingan diri.  Apabila "kepentingan peribadi" mengatasi "kepentingan awam", maka politikus dan pegawai kerajaan akan menggadaikan kepentingan orang awam.

Pakar ekonomi yang pernah berkhidmat di International Monetary Fund (IMF), Lim Ewe Ghee yang kini menetap di Pulau Pinang, telah menulis satu artikel untuk dimuatkan dalam The Edge.  Beliau menulis, pegawai kerajaan (birokrat) dan politikus yang bekerja dalam kerajaan tidak berbeza dengan orang lain.  Mereka tidak menjadi "eunuch ekonomi" hanya kerana bekerja dalam alam politik.  Mereka juga mempunyai kepentingan ekonomi dan politik yang perlu dipenuhi.

Birokrat ingin menaiki tangga dalam kementerian kerajaan, politikus pula ingin mendapat mandat daripada rakyat dalam pilihan raya.  Justeru itu, birokrat meluaskan pengaruh diri melalui penguasaan sumber yang lebih besar, sementara politikus pula melakukannya dengan aktiviti merentir - pengagihan projek kepada kroni atau pengubalan dasar yang memihak kepada kepentingan kroni.

Pada hakikatnya, politikus akan menggubal dasar atau perkara yang boleh memastikan kemenangan diri, dan bukannya keluar bertanding dan menggubal dasar selepas menang.  Dengan kata lain, hasil dasar politikus kebanyakannya untuk kepentingan peribadi dan bukan untuk kepentingan umum.

Oleh itu, kita menyaksikan bagaimana kerajaan mengambil langkah campur tangan untuk perbetulkan kegagalan pasaran, termasuk pencukaian, subsidi, bailout, kawalan harga, pemantauan, dasar perlindungan dan sebagainya, malah secara langsung menyertai dan mendominasi perkara pembangunan ekonomi tertentu - yang akhirnya menyebabkan pengagihan sumber yang tidak efisien, atau terletak pada tempat yang salah, sehingga menjurus kepada ketidakseimbangan pembangunan ekonomi masyarakat keseluruhannya - digelar sebagai "kegagalan kerajaan".

Terlalu banyak kes sedemikian berlaku di Malaysia.  Misalnya, kerajaan menggerakkan dasar penswastaan atas nama "kepentingan awam", memberi kuasa monopoli kepada individu atau institusi tertentu, misalnya lebuh raya, kuasa elektrik, bekalan air, beras import; kerajaan melalui dasar otomotif nasional telah melindungi kepentingan perusahaan kereta nasional dan sesetengah pihak; kerajaan memperuntukkan subsidi atau pinjaman kepada perusahaan tertentu untuk kroni, malah kerajaan terus terlibat dan mendominasi bidang ekonomi.

Namun, dasar yang ditentukan politik ini kebiasaannya adalah matlamat segelintir mereka yang berkepentingan, bercanggah dengan kesudahan yang diidamkan khalayak umum.  Namun, politikus memiliki alasan untuk menyokong dasar ini, kerana politikus dan perentir mahu mencapai kepentingan diri.  Soal sama ada kepentingan awam dijejaskan sepanjang proses ini - tidak terangkum dalam pertimbangan mereka.

Politikus dan birokrat mencipta "rental" dengan dasar yang digubal, kemudian dijadikan modal untuk bertukar dengan mereka yang mempunyai kuasa politik dan kepentingan ekonomi.  Kroni dan perentir pula melobi politikus dan birokrat dengan undi, dana politik mahupun rasuah.  Akhirnya semua memperolehi kepentingan yang dimahukan.  Inilah yang dikatakan sebagai rent-seeking atau politik naungan.

Pasaran yang diwujudkan dengan kuasa politik dengan sendirinya bukan satu pasaran untuk persaingan.  Ini kerana hanya beberapa king-maker (kerajaan dan perentir) yang menguasai peraturan permainan ini.  Mereka dengan sewenang-wenangnya menentukan harga dan bekalan.  Pada kebanyakan masanya khalayak umum hanya disembelih sesuka hati.  Namun, ramai nampaknya masih tidak sedar - kerana informasi yang tidak telus atau tidak seimbang - telah memutar belit wajah sebenar pasaran ini.

Pasaran sedemikian telah mencerminkan sepenuhnya tingkahlaku manusia yang mementingkan diri, yang wujud di mana-mana pasaran.  Untuk politikus, mereka langsung tidak perlu membayar apa-apa harga untuk menikmati kepentingan politik dan ekonomi, kerana wang yang digunakan itu adalah wang rakyat.  Untuk mereka yang berkepentingan, mereka hanya membayar harga yang sedikit untuk mendapat kepentingan ekonomi yang berbilion ringgit dari kerajaan.  Rakyat pula ingat dirinya hanya membayar beberapa ringgit kepada kerajaan - tanpa mengetahui bahawa hasil yang akhirnya ditanggung mereka mungkin beberapa kali ganda, malah beratus kali ganda daripada itu.

Pengkaji ekonomi Muzaffar Ali Isani berkata, tatkala campur tangan politik dilihat sebagai langkah alternatif setelah kegagalan pasaran "ekonomi", seandainya kita meneliti ketidaksempurnaan yang sebenarnya - kita akan mendapati bukan sahaja kegagalan pasaran tidak diperbetulkan, malah ekonomi menjadi lebih parah berikutan campur tangan politik ini.

Berbalik kepada isu Lynas...

Berbalik kepada isu kilang pemprosesan nadir bumi Lynas, kerajaan Najib cuba menggunakan campur tangan untuk menyelesaikan masalah kegagalan pasaran, iaitu pelaburan swasta yang merudum sepanjang lebih 10 tahun kebelakangan ini.  Selepas kemelut ekonomi Asia pada tahun 1997, pelaburan swasta tidak menyaksikan perkembangan yang memberangsangkan, mencatat hanya 1% dalam Compound Annual Growth Rate of Domestic Direct Investment and FDI.  Adalah menjadi satu hakikat yang tidak boleh dinafikan bahawa kerajaan bergantung kepada pelaburan awam dan perbelanjaan kerajaan untuk menjana pembangunan.

Apabila Lynas Corp datang ke Malaysia untuk membangunkan projek yang kononnya kilang pemprosesan nadir bumi terbesar di dunia, ia seolah-olah seketul emas yang jatuh dari langit.  Sampai hatikah kerajaan Najib untuk melepaskan peluang ini?  Oleh itu, Najib tidak menyelindung kedahagaannya agar Lynas datang membina kilangnya di sini, meskipun berdepan dengan "tsunami Hijau".

Najib mendakwa bahawa kerajaan akan mencari satu penyelesaian yang boleh diterima rakyat, dan pada masa yang sama tidak menjejaskan pelaburan di negara kita.  Bahagian depan ayat ini seolah-olah menipu orang membohongi diri - kerana rakyat telah menyatakan bantahan terhadap kilang Lynas.  Oleh itu, apa yang ingin dikatakan kerajaan Najib adalah bahagian akhirnya - kerajaan memerlukan pelabur asing, malah sangguh menerima pelaburan ini tanpa mengira apa pun harga yang perlu dibayar.

Menurut anggaran, kilang pemprosesan nadir bumi ini bernilai RM700 juta, bakal memproses 3000 ton bahan mentah nadir bumi dari Australia setiap tahun, menghasilkan nadir bumi yang bernilai RM5 bilion.  Eksport nadir bumi akan mencakupi 1% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kerajaan Najib hanya menggunakan sebidang tanah untuk mendapatkan pulangan dalam bentuk cukai (dari kilang pemprosesan nadir bumi), peluang pekerjaan, hasil ekonomi, eksport dan pelbagai pulangan dari segi pelaburan.  Ia satu urus-niaga yang sangat memadai untuk kerajaan.  Untuk Lynas pula, pelaburan RM700 juta (mungkin ditambah dengan kos lobi yang tidak terdedah) dapat ditukar dengan penghasilan nadir bumi RM5 bilion setahun, malah satu tapak pembuangan sisa radioaktif yang percuma - sememangnya memadai!

Di bawah public choice, hanya tinggal satu suara yang dimonopoli - dalam pasaran "politik" nadir bumi yang dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan dan golongan berkepentingan (Lynas).  Kerajaan telah membuat keputusan untuk menerima Lynas "demi kepentingan awam", walaupun keputusan ini bercanggah dengan hasrat rakyat secara umumnya.

Apakah campur tangan kerajaan Najib akan menyelesaikan kegagalan pasaran?  Mungkin benar campur tangan kerajaan membawa lebih pelaburan swasta.  Namun, pelaburan Lynas telah merendahkan "threshold" kualiti pelaburan swasta, membuka pintu untuk "pelaburan yang merbahaya (mengikut piawaian negara lain)" ke negara kita.

Menjelang tahun 2020, mungkin kerajaan Najib benar mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi, namun pada masa yang sama membawa fenomena Negative Externality - alam persekitaran yang tercemar dengan dahsyat.  Rakyat kita mungkin perlu hidup dalam alam sekitar di mana nyawa dan kesihatan kita diancam setiap hati.  Apakah ini kehidupan yang dimahukan rakyat?  Mungkin ia satu lagi persoalan public choice.

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 1 Mac 2012.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>