2014-04-19 04:02pm
 
ANALISA
 
Perspektif KPRU: Program 6P bakal temui kegagalan
 
KPRU | Mar 05, 2012 04:09:20 pm
Kongsi |

Proses pemutihan Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) akan dilanjutkan sehingga 10 April tahun ini.  Program 6P telah dijalankan selama tujuh bulan.  Pada Jun 2011, Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat pengumuman buat pertama kali dan pelaksanaannya bermula pada bulan Ogos tahun yang sama.

Rasional KDN berhubung Program 6P adalah untuk memantapkan pengurusan warga asing di negara ini, membantu mengawal kemasukan baru pekerja asing ke negara ini, membantu pengurusan aktiviti ekonomi negara ini dan membantu mengawal perkembangan jenayah di negara ini.

Walau bagaimanapun, Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat, meskipun Program 6P telah dilanjutkan beberapa kali, program pemutihan tidak dapat mencapai kejayaan dan tidak berkesan dari segi pengawalan jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI).  Hal ini kerana program pemutihan tersebut bukan kali pertama tetapi sudah kali kelima dilaksanakan dan melibatkan pengampunan PATI.  Kerajaan Persekutuan pernah melakukan tindakan pengampunan PATI pada tahun 1989, 1991, 1996 dan 2004.

Secara am, tindakan kerajaan pada tahun-tahun tersebut bertujuan untuk mengurangkan jumlah PATI.  Tetapi hakikatnya, bilangan PATI meningkat setiap tahun.  KPRU juga berpendapat, bilangan PATI di negara ini tidak banyak berubah jika sekiranya masalah sedia ada seperti masalah penyelewengan, struktur serta bentuk ekonomi berorientasikan pekerja asing, dan butiran serta pelaksanaan dasar berkaitan yang mengelirukan tidak diselesaikan.

Pada ketika Perdana Menteri Najib Razak berbicara tentang program transformasi yang kononnya dapat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi, apa yang kita saksikan ialah, jumlah kiriman wang aliran keluar daripada Malaysia ke negara lain semakin meningkat.  Sumbangan pekerja asing dalam aspek ini cukup besar.

Sehingga 19 Ogos 2011, sejumlah 2,088,358 PATI dan pekerja asing sah telah direkodkan.  Daripada jumlah tersebut, 952,859 orang direkodkan melalui pendaftaran pekerja asing sah dan 1,135,499 orang direkodkan melalui pendaftaran PATI (*1).  Rekod tersebut jelas tidak memuaskan walaupun KDN sering mendakwa kononnya Program 6P telah mencapai kejayaan.  Merujuk kepada statistik The Migration and Factbook 2011 yang diterbitkan oleh Bank Dunia (*2), bilangan pekerja asing sah dalam negara ini dianggarkan berjumlah 2.4 juta orang.  Apabila dibandingkan statistik The Migration and Factbook 2011 dengan statistik Program 6P di atas, jurang perbezaan fakta ini bermaksud, masih terdapat kira-kira 1.4 juta pekerja asing sah yang belum didaftarkan di bawah Program 6P.  Ini belum lagi termasuk bilangan PATI yang sukar dianggarkan secara tepat atau lebih tepat kalau disifatkan sebagai "hilang kawalan".

Berdasarkan panduan Program 6P, PATI boleh membuat pilihan sama ada mahu terus bekerja di Malaysia atau balik ke negara asal setelah melalui proses pendaftaran.  Selepas itu, bagi PATI yang memilih untuk tidak kembali ke negara asal, semasa proses pemutihan, KDN menyaring kelayakan PATI dari segi sektor dan penawaran kekosongan kerja.  Kepada PATI yang tidak tersenarai untuk diputihkan (begitu juga yang memilih untuk balik ke negara asal), mereka akan diampun dan dibenarkan pulang atas kos sendiri tanpa dikenakan sebarang bentuk tindakan.

Dalam kenyataan KDN, sehingga 16 Disember 2011, sejumlah 53,682 PATI yang terlibat dalam proses pengampunan di bawah pelaksanaan Program 6P telah meninggalkan Malaysia.  Jumlah paling tinggi direkodkan ialah Indonesia dengan 35,142 orang; diikuti India (4,039); Myanmar (2,467); Kemboja (1,901); Nepal (2,766); Bangladesh (2,108); Vietnam (1,289); Filipina (1,167); Pakistan (1,123); Sri Lanka (786); dan China (493) (*3). KPRU mendapati angka 53,682 tidak sama dengan jumlah besar (iaitu 53,284) apabila angka setiap negara dijumlahkan.

Apa yang lebih penting ialah, jumlah besar tersebut hanya mencakupi 4.69 peratus daripada keseluruhan jumlah PATI yang berdaftar.  Setelah diambil kira bilangan PATI yang meninggalkan Malaysia melalui proses pengampunan, jumlah PATI dianggarkan menurun kepada 940,495 orang.

Semenjak proses pemutihan di bawah Program 6P bermula pada 10 Oktober 2011, sejumlah 67,665 PATI iaitu 5.96 peratus daripada keseluruhan PATI yang berdaftar telah diputihkan.  Berdasarkan statistik tersebut, pecahan mengikut negara merekodkan Indonesia dengan jumlah paling tinggi iaitu 42,544; diikuti Bangladesh (13,838); Myanmar (6,527); Nepal (2,107); India (903); Vietnam (612); Kemboja (447); Pakistan (362); Filipina (126); Sri Lanka (112); dan Thailand (87).

Selepas pemutihan, didapati jumlah pekerja asing sah mengikut negara merekodkan Indonesia dengan jumlah yang paling tinggi iaitu 404,006; diikuti Nepal (201,523); Bangladesh (133,798); Myanmar (106,948); India (49,086); Filipina (43,913); Vietnam (37,719); Pakistan (11,024); Kemboja (5,679); China (4,391); Thailand, (4,266) dan Sri Lanka (2,595).

Selepas pengampunan dan pemutihan PATI, KPRU mendapati jumlah pekerja asing sah meningkat kepada 1,000,557.  Namun, selepas proses pengampunan dan pemutihan, masih terdapat sejumlah 872,830 PATI yang membuat pendaftaran di bawah Program 6P yang belum diketahui status mereka.

Merujuk kepada kenyataan media Menteri Dalam Negeri bertarikh 13 April 2011, bilangan pekerja asing mungkin dihadkan kepada 1.5 juta orang.(*4)

Walau bagaimanapun, Program 6P tidak mencapai kejayaan, justeru matlamat menghadkan bilangan pekerja asing kepada 1.5 juta lebih merupakan khayalan.  KPRU khuatir, Program 6P tidak dapat mengurangkan bilangan pekerja asing dalam erti kata yang sebenarnya dan bilangan PATI terus kekal dalam keadaan "hilang kawalan", sementara pungutan dana melalui Program 6P tidak dimanfaatkan untuk pembangunan negara tetapi digunakan untuk tujuan politik.

Pengampunan - Bukan Kali Pertama

Pengampunan PATI pernah berlaku pada tahun 1989, 1991, 1996 dan 2004.  Apabila ditinjau kembali sejarah, tindakan pengampunan PATI lazimnya berlaku semasa ekonomi berada dalam keadaan tidak menentu.  Apabila ekonomi menjadi lemah, kerajaan terpaksa memberhentikan projek pembangunan, seterusnya pengawalan kemasukan pekerja asing baru (*5) dan pengurangan bilangan PATI.

Kerajaan Persekutuan telah meminda Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) pada tahun 2002 dan memberatkan hukuman terhadap majikan yang mengupah PATI.  Pesalah berdepan dengan denda sebanyak RM10 ribu, 5 tahun penjara, 6 kali sebatan (*6) dalam usaha kerajaan untuk mengurangkan bilangan PATI.  Pada 1 Mac 2005, kira-kira 3 ribu orang anggota polis serta 5.6 ribu anggota RELA mula mengambil tindakan terhadap pekerja asing yang masih berada dalam negara selepas pengampunan sekitar tahun itu.  RELA boleh mendapat emolumen RM100 bagi setiap penangkapan PATI. (*7)

Walaupun kerajaan sering menyatakan kemahuan untuk mengurangkan pergantungan kepada tenaga pekerja asing, tetapi fakta menunjukkan hakikat yang sebaliknya.  Apabila dibandingkan 7.3 juta pekerja asing sah pada tahun 1996 dengan 20 juta pekerja asing sah pada tahun 2008, bilangan perkerja asing sebenarnya tidak menurun, tetapi meningkat secara besar-besaran. (Sila Lihat Jadual di bawah)

Jadual: Jumlah Pekerja Asing Sah Mengikut Negara, 1999-2008
Tahun
1999
2000
2001
2002
2003
Negara
Jumlah
%
Jumlah
%
Jumlah
%
Jumlah
%
Jumlah
%
Indonesia
269,194
65.7
603,453
74.8
634,744
74.7
788,221
73.8
988,165
73.9
Bangladesh
110,788
27
158,149
19.6
114,308
13.5
82,642
7.7
94,541
7.1
Thailand
2,130
0.5
2,335
0.3
2,508
0.3
20,599
1.9
10,158
0.8
Filipina
7,299
1.8
14,651
1.8
11,944
1.4
21,234
2
17,400
1.3
Pakistan
2,605
0.6
3,101
0.4
2,392
0.3
2,000
0.2
2,141
0.2
Lain-lain
17,644
4.3
25,407
3.1
83,933
9.9
152,833
14.3
224,575
16.8
Jumlah
409,660
100
807,096
100
849,829
100
1,067,529
100
1,336,980
100


Tahun
2004
2005
2006
2007
 
2008
Negara
Jumlah
%
Jumlah
%
Jumlah
%
Jumlah
%
Jumlah
%
Indonesia
1,024,363
69.7
1,211,584
66.7
1,174,013
62.8
1,148,050
56.1
1,085,658
52.6
Bangladesh
54,929
3.7
55,364
3
62,669
3.4
217,238
10.6
316,401
15.3
Thailand
5,463
0.4
5,751
0.3
14
0.7
18,456
0.9
21,065
1
Filipina
16,663
1.1
21,735
1.2
24,088
1.3
23,283
1.1
26,713
1.3
Pakistan
1,156
0.1
13,297
0.7
11,551
0.6
16,511
0.8
21,278
1
Lain-lain
367,516
25
507,507
28
583,077
31.2
621,267
30.4
591,481
28.7
Jumlah
1,470,090
100
1,815,238
100
1,869,209
100
2,044,805
100
2,062,596
100

Sumber: Kementerian Dalam Negeri, disusun oleh Cheong. (*8)

Pekerja Asing Sah Memberi Keuntungan

Pekerja asing sah bukan sahaja menyumbangkan sumber tenaga untuk membangunkan negara, bahkan aspek pembekalan, pengurusan dan pengawasan pekerja asing telah menjadikannya satu industri yang boleh membawa keuntungan kepada pelbagai sektor termasuk ejen dan kroni, malahan kepentingannya diberi perhatian khusus oleh pihak penguatkuasa.

Lantaran itu, kita sering kedengaran dakwaan berhubung penyelewengan kuasa dan seumpamanya.  Contohnya, Tenaganita, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak dan kebajikan pekerja mendakwa tujuan KDN memungut dana melalui program pemutihan berkait rapat dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU Ke-13).(*9)

Apabila ditinjau kembali kes pengampunan PATI sekitar tahun 2004, sebanyak 309,248 PATI (*10) menukar status mereka kepada pekerja asing sah, tetapi atas syarat bahawa mereka harus balik ke negara asal dahulu, kemudian datang semula ke Malaysia.  Dalam proses tersebut, pekerja-pekerja berkenaan diwajibkan membayar levi dan membuat pemeriksaan fizikal dalam pusat kesihatan yang ditetapkan - FOMEMA (The Foreign Workers Medical Examination Monitoring Agency).  Dasar ini membekalkan hasil pendapatan kepada hosipital dan kerajaan.(*11) Ini kerana FOMEMA merupakan sebuah syarikat swasta yang dipegang oleh Khazanah Nasional Bhd, syarikat pemegangan pelaburan milik kerajaan yang diberi kuasa sebagai pelabur strategik kerajaan dalam industri dan pasaran baru.

Pada tahun 1993-2004, FOMEMA menjalankan 27 juta pemeriksaan terhadap pekerja asing.  Pada tahun 2002, FOMEMA mendapat kos bayaran daripada pekerja asing sebanyak RM17 juta.  Sementara itu, kerajaan juga mewajibkan majikan membeli insuran untuk pekerja asing dalam 10 syarikat insuran yang dilantik oleh kerajaan.  Sumbangan tahunan sebanyak RM72.00 hingga RM86.00. (*12)

Kerajaan mengenakan caj levi pada majikan ke atas setiap pekerja asing yang diambil untuk bekerja, dan membenarkan majikan memotong gaji bulanan pekerja asing untuk menbayar levi.  Walaupun Kementerian Sumber Manusia pernah memberi kenyataan bahawa majikan harus menanggung bayaran levi pekerja asing tetapi masih terdapat banyak majikan yang memotong gaji pekerja asing untuk bayaran levi.

Daripada hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2011 berjumlah 183,375 juta, anggaran hasil daripada pekerja asing seperti permit dan levi berjumlah 2,223 juta, iaitu 1 peratus pada tahun 2011.  Walaupun, peratusan ini dianggap kecil dalam keseluruhan hasil Kerajaan Persekutuan, tetapi angka berkaitan tidak termasuk manfaat ekonomi yang lain.

Merujuk kepada statistik The Migration and Factbook 2011, kiriman wang aliran keluar daripada pekerja asing yang bekerja di Malaysia semakin meningkat, daripada USD3,462 juta pada tahun 2003 kepada USD6,800 juta pada tahun 2009.  Pengarah Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia, Baslian Krisnayoza dalam kenyataannya menyatakan bahawa, sekitar Januari hingga November tahun 2011, kiriman aliran keluar dari Malaysia ke Indonesia adalah sebanyak USD2,100 juta. (*13) Malaysia merupakan negara pengirim wang ke luar negara terbanyak di Asia Pasifik.

Sementara itu, kiriman wang aliran masuk ke Malaysia daripada warga Malaysia yang bekerja di luar negara adalah sebanyak USD1,110 juta pada tahun 2009, dan meningkat kepada USD1,576 pada tahun 2010.  Angka ini hanya mencakupi 16 peratus daripada kiriman wang aliran keluar pada tahun 2011.  Ini juga menunjukkan ketidakseimbangan antara aliran keluar dan masuk mata wang, menyebabkan kerugian kewangan negara ini.

Sebagai rumusan, Malaysia masih bergantung kepada tenaga pekerja asing untuk pembangunan negara dalam jangka masa pendek.  Soal sama ada Malaysia dapat membebaskan diri daripada pergantungan kepada pekerja asing dalam jangka masa panjang masih tidak jelas apabila diteliti dasar dan program kerajaan sehingga hari ini.  KPRU tidak mempunyai keyakinan terhadap program transformasi dalam isu pekerja asing.

Rujukan

1. http://portal.ikdn.gov.my/2011/08/siaran-media-timbalan-ketua-setiausaha-kanan-kemeneterian-dalam-negeri/
2. http://siteresources.worldbank.org/INTPROSPECTS/Resources/334934-1199807908806/Malaysia.pdf
3. http://portal.ikdn.gov.my/page/20/
4. http://www.bharian.com.my/articles/Bilanganpekerjaasingmungkindihadkepada1_5jutaorang/Article/
5. http://www.eadn.org/Migrant%20Labour%20in%20Malaysia%20Impact%20and%20Implications%20of%20the.pdf
6. http://www.imi.gov.my/index.php/bm/penguatkuasaan/370-maksud-pendatang-asing-tanpa-izin-pati-menurut-seksyen-55e7-akta-imigresen-195963-akta-155
7. http://migration.ucdavis.edu/mn/more.php?id=3103_0_3_0
8.Wey-Jin Cheong (2010) Malaysia Migrant Worker Policy and the Dual Logic of Nation-State: Developmentalism and Nationalism, Nasional Taiwan University Master Thesis.
9. http://www.malaysiakini.com/news/173074
10. Wey-Jin Cheong (2010) Malaysia Migrant Worker Policy and the Dual Logic of Nation-State: Developmentalism and Nationalism, Nasional Taiwan University Master Thesis.
11. http://migration.ucdavis.edu/mn/more.php?id=3103_0_3_0
12.http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pekerjaasingwajibadainsuranskesihatanmulaitahundepan/Article/index_html
13 http://beritaharian.org/as2-1-bilion-dikirim-pulang-pekerja-indonesia-dari-malaysia-4.html

**Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU - Political Studies for Change) merupakan sebuah pusat kajian yang baru dan kritikal.  KPRU ditubuhkan pada era pasca 8 Mac dengan tujuan membawa idea perubahan kepada rakyat Malaysia melalui kajian dan sesi dialog.

KPRU memberikan fokus kepada kajian terhadap bidang ekonomi politik dan sektor strategik yang dapat membawa impak jangka masa panjang kepada masyarakat.  Dengan penerapan idea baru dan interaksi dengan pelbagai pihak berkepentingan, kajian KPRU diyakini akan membawa pemikiran dan wacana segar untuk menghadapi cabaran negara dalam dekad yang akan datang.

KPRU merupakan institusi pertama yang melibatkan diri dalam kajian parlimen dan menyokong reformasi parlimen.  KPRU mengutamakan isu belanjawan tahunan negara, rancangan jangka panjang, demokrasi parlimen dan lain-lain. Untuk mencapai matlamat tersebut, KPRU bekerjasama secara rapat dengan agensi kerajaan, parti politik, pertubuhan antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberikan khidmat nasihat strategik, program pengunjungan spesifik dan menghasilkan dasar yang berasaskan fakta.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>