2014-09-02 07:32pm
 
EKSKLUSIF
 
Jamal nafi orang rapat Najib melabur di Durian FM
 
Chen Shaua Fui | Feb 29, 2012 09:44:59 pm
Kongsi |

Radio internet, Durian FM bakal menyambut ulangtahunnya yang pertama pada 8 Mac yang akan datang.  Namun demikian, desas-desus kini tersebar, bahawa orang rapat Najib Razak, iaitu Siew Ka Wei berminat untuk melabur di Durian FM.  Bagaimanapun, Jamaluddin Ibrahim, pengasas Durian FM menafikan khabar ini, berkata "tak pernah saya dengar tentang hal ini."

Namun demikian, Jamaluddin Ibrahim menambah, selagi pelabur sudi menerima Durian FM sebagai platform untuk kebebasan bersuara, maka beliau tidak kisah sama ada pelabur itu memiliki latar belakang parti politik atau tidak.

Sebagaimana yang dimaklumkan kepada  MerdekaReview, Siew Ka Wei, pemilik Kumpulan Redberry yang dilihat sebagai orang rapat Najib, bakal melabur di Durian FM.  Ketika dihubungi MerdekaReview untuk dikesahkan khabar ini, Jamaluddin Ibrahim sebaliknya mempersoalkan wartawan, "Dari mana anda mendengar khabar ini?... Saya tidak pernah dengar hal ini."

Apabila wartawan menyusul dengan soalan, "Maksudnya hal ini tidak berlaku?"  Jamaluddin Ibrahim menjawab, "Hal ini tidak berlaku."

Tetapi apabila ditanya apakah beliau tidak pernah bertemu dan berbincang dengan Siew Ka Wei mengenai hal pelaburan, Jamaluddin Ibrahim (gambar kiri) berkata,"Saya pernah bertemu dengan tidak kurang daripada 10 orang pelabur, untuk mendapatkan sebahagian dana pelaburan.  Tetapi tiada kes yang berjaya setakat ini."

Wartawan cuba mendapat pengesahan daripada Jamaluddin, "Anda tidak pernah bertemu dengan Siew Ka Wei?"

"Saya pernah berjumpa dengan ramai orang, ramai orang atasan yang pernah saya temui.  Hal ini (pelaburan) jugalah yang dibincangkan.  Sebagaimana yang anda tahu, kami yang terlibat dalam media, sukar untuk melanjutkan kelangsungan tanpa sumber.  Jadi saya terus mencari dana.  Jika ada peluang, saya akan mempertimbangkan seandainya sesuai.  Jikalau berjaya, dan berakhir dengan sesuatu yang berhasil, maka saya akan umumkan.  Dan orang ramai akan mengetahuinya."

Siew Ka Wei ialah salah seorang pemilik Kumpulan Redberry, dilihat sebagai orang yang rapat dengan Najib.  Syarikat itu memiliki Malay Mail, Malaysian Reserve, dan juga pengendali Bernama TV. Selain itu, Siew Ka Wei ialah pemegang saham besar Ancom, 4758, AncomLB,0048,dan Nylex,4944.

Ketika dihubungi, Jamaluddin mendakwa Durian FM adalah saluran radio internet yang diasaskan dan dimiliki oleh dirinya.  Durian FM adalah saluran radio di bawah Durian Fm Sdn. Bhd.  Syarikat ini didaftarkan di bawah nama Jamaluddin (80% saham) dan anak perempuannya Jamaliah (20% saham).  Dengan kata lain, Jamaluddin mempunyai kuasa mutlak untuk menjual sahamnya kepada sesiapa, atau menerima pelaburan mana-mana pihak.

Durian FM ditubuhkan pada 8 Mac 2011, selepas Jamaluddin Ibrahim digugurkan dari rancangan call-in "Say Hi to Malaysia" di FM98.9 milikan MCA pada tahun 2010.  Rancangan tersebut didakwa "mengutarakan hujah yang tidak sesuai dan bias", sehingga disiasat Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (MCMC).  Susulan daripada kejadian tersebut, Star Rfm Sdn. Bhd milikan MCA mengambil langkah untuk menggantung jawatan (suspend) Ketua Pegawai Eksekutif (CEO 98.8) Wong Lai Ngo, dan Pengarah Program (Director of Programming 98.8) Tan Chia Yong, sebelum memecat mereka kemudiannya.

MerdekaReview sempat menghubungi seorang pengacara di Durian FM, yang enggan didedahkan namanya.  Beliau berkata, Durian FM ditubuhkan dengan sumber dari masyarakat, misalnya kos pengubahsuaian pejabat Durian FM, perabot dan sebagainya - diderma oleh masyarakat awam.  Malah, kesemua yang melibatkan diri dalam saluran radio ini bekerja secara sukarela, demi menyumbang ke arah pendemokrasian dan kebebasan negara.  Apa yang menarik, Durian FM juga menerima derma dari orang umum.

Jamaluddin Ibrahim memberitahu MerdekaReview, pada peringkat awal Durian FM diasaskan, mereka yang terlibat semuanya bekerja secara sukarela.  Justeru itu, kos operasi tidak tinggi, dan beliau menampungnya sendiri.  Kemudiannya, setelah memperolehi pendapatan komersial, maka kos operasi stesennya dapat disokong.  Malah secara berseloroh beliau berkata, mereka terpaksa gulung tikar seandainya benar ketandusan sumber di penghujungnya.

Beliau berkata, ketika Durian FM diasaskan, mereka tidak mempunyai wang.  Maka beliau terpaksa mencari pelabur sebermulanya.  "Jikalau pelabur ada niat, maka saya sangat mengalu-alukan pelaburan mereka.  Ia (Durian FM) gagal berkekalan tanpa sumber."

Ketika ditanya, Jamaluddin (gambar kanan) berkata pihaknya tidak menolak mana-mana pihak pelabur selagi pelabur itu merestui idealisme saluran radionya, iaitu menawarkan satu platform untuk kebebasan bersuara.  Malah, Jamaluddin mengakui dirinya tidak kisah sama ada pelabur itu berlatarbelakangkan parti politik, asalkan pelabur itu sanggup menyuntik dana dan tidak mengawal suara pihaknya.  Beliau menambah, sama ada parti politik mahupun NGO, selagi ia tidak bercanggah dengan idealisme pengasasan radio tersebut, beliau bersedia menerimanya.

Rancangan bahasa Inggeris dan Malaysia ditamatkan

Durian FM bermula sebagai stesen radio yang mempunyai tiga bahasa pengantar, iaitu bahasa Cina, Inggeris dan Malaysia, dengan slogan "Tiada Tapisan, Tiada Sekatan".  Namun, dua rancangan yang membincangkan isu semasa dalam bahasa Inggeris, Tell it as it is dan dalam bahasa Malaysia, Tanda Tanya, telah dihentikan.

Menurut Jamaluddin, saluran radio berbilang bahasa ini terpaksa berdepan komuniti yang berlainan, dan akhirnya masalah timbul dengan prestasi yang tidak begitu memberangsangkan untuk rancangan bahasa Malaysia dan Inggeris.  Ditambah pula pengacaranya melibatkan diri secara sukarela, menyebabkan rancangan itu tidak stabil - kejap ada, kejap tidak ada.  Jamaluddin berkata, Durian FM akan tumpu untuk rancangan bahasa Cina selepas ini.

Meskipun Jamaluddin mendakwa rancangan bahasa Malaysia dan Inggerisnya dihentikan lantaran ketandusan sumber, namun desas-desus tersebar di internet bahawa pengacara rancangan tinggalkan Durian FM kerana tidak puas hati dengan cara Jamaluddin mengendalikan saluran radio itu.

Sebagaimana yang dimaklumkan, Durian FM memperolehi sejumlah wang untuk iklan Kampar Westcity.  Namun, pengacara dalam Durian FM tidak pasti jumlah yang sebenarnya, kerana ia tidak dimaklumkan dengan jelas kepada mereka, menurut seorang daripada mereka.  Malah, wang tersebut belum digunakan untuk perkembangan masa depan Durian FM.  Justeru itu, mereka yang bekerja secara sukarela, menganggap dirinya dipergunakan.  Bagaimanapun, Jamaluddin enggan mengulas apa yang dikatakan itu.

Baca: DJ "terpancung" kembali dengan Durian FM

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina.  Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>