2014-08-22 01:58am
 
KHAS
 
Sindiran banjiri laman Facebook Najib versi bahasa Cina
 
MerdekaReview | Jan 18, 2012 07:07:07 pm
Kongsi |

Mungkin di luar jangkaan dirinya, cubaan Perdana Menteri Najib Razak untuk mendampingi komuniti Cina melalui Facebook telah mengundang kesan sebaliknya, apabila warga internet membanjiri laman rasmi Facebook versi bahasa Cina ini dengan sindiran dan kritikan yang tajam.

Tidak kurang komen yang menyasarkan isteri Najib Razak, iaitu Rosmah Mansor, misalnya mengajukan soalan nakal seperti "Nak shopping kat mana hari ini bersama isterimu?  Apa jenama baru yang boleh kamu perkenalkan?", malah ada yang mengungkit semula nama "Altantuya Shaariibuu", wanita Mongolia yang diletupkan dengan C4 di Malaysia pada tahun 2006.

Laman Facebook ini menggunakan Ah Jib Gor (makna: abang Jib) sebagai namanya, membuatkan tidak kurang yang menganggap laman itu direka oleh warga internet yang sengaja menyindir Najib.  Ini kerana "Ah Jib Gor" adalah nama yang digelar oleh pembangkang dalam ceramah, ketika merujuk kepada Najib Razak.  Gelaran ini dipopularkan di ruang internet, sedikit sebanyak berunsur "sindiran" ketika digunakan.  Bagaimanapun, laman ini akhirnya dikesahkan sebagai laman rasmi oleh Setiausaha Politiknya, Wong Nai Chee.

Ketika ditanya MerdekaReview mengapa laman itu dinamakan "Ah Jib Gor", sedangkan gelaran ini selalu digunakan untuk tujuan menyindir, Wong Nai Chee berkata ramai yang memberitahu Najib bahawa beliau digelar sebegitu.  Malah, Najib sendiri menganggap panggilan sebegitu agak mesra, maka tidak mengapa jikalau digunakan, menurut Wong Nai Chee.

Tiada perbincangan politik

Bagaimanapun, laman "Ah Jib Gor" mengundang kritikan sebermulanya apabila menyatakan bahawa "tiada perbincangan politik" di situ.  Admin menyatakan, "Sekali lagi anda diperingatkan, bahawa tiada perbincangan politik di sini, 'mengacau' tidak dialu-alukan.  Anda boleh masuk dan melihat apa yang ada di sini, tetapi anda diharapkan berniat baik dan neutral, dan bukannya berniat jahat atau sengaja sabotaj.  Kami sangat mengalu-alukan seandainya perbincangan berdasarkan fakta, juga perkongsian pengalaman hidup.  Terima kasih!"

Kenyataan "tiada perbincangan politik" terus mengundang kritikan warga internet, mempertikaikan "Takkan rakyat bersembang soal cinta dan kasih dengan seseorang Perdana Menteri, jika bukan politik?"  Kemudian ada pula yang mengalih topik ke shopping, beg tangan, Altantuya Shaariibuu, kapal selam dan sebagainya, memenuhi kehendak PM yang enggan membincang soal politik di laman ini.

Hampir semua soalan yang diajukan berlapik, misalnya ada yang memohon untuk membela lembu, ada pula ingin mengambil alih kontrak mengendali laman Facebook ini, menyindir peruntukan RM1.8 juta untuk Facebook Kementerian Pelancongan sebelum ini.

Terdapat juga warga internet yang cuba mengaitkan sikap "tiada perbincangan politik" ini dengan MCA pada zaman Ong Ka Ting menyandang jawatan Presiden.  Pada ketika itu Ong Ka Ting cuba elak untuk menyentuh agenda besar politik, sebaliknya menumpu kepada soal kebajikan, sehingga mencungkil kritikan.  Wong Nai Chee adalah ahli jawatankuasa pusat pergerakan belia MCA, dilihat berada dalam sekta Ong Ka Ting sebelum ini.

Bagaimanapun, Wong Nai Chee (gambar kiri) berkata kepada MerdekaReview bahawa ia bukan bermaksud tiada langsung perbincangan politik.  PM akan respon kepada perkara yang mempengaruhi kehidupan orang ramai.  Wong Nai Chee menjelaskan, Najib telah memiliki satu laman yang khas dalam bahasa Inggeris, maka laman versi bahasa Cina-nya tidak berniat untuk menjadi tiruan kepada laman tersebut.  Lebih-lebih lagi, laman ini tidak berniat menampilkan imej Najib yang serius sebagai PM, tetapi sebaliknya.

Menurut pengamatan wartawan, respon rasmi laman ini terbahagi kepada dua, iaitu jawapan daripada Admin, dan kedua, jawapan daripada Najib setelah soalan diterjemahkan kepadanya.  Sesetengah warga internet mengadu komen mereka telah dipadamkan admin, menyindir bahawa tidak usah menubuhkan laman Facebook seandainya tidak berani berdepan dengan kritikan.

Najib baru-baru ini hadir dalam majlis penayangan filem Cina tempatan, Ah Beng The Movie: Three Wishes.  Ketika ditanya sama ada beliau faham apa yang dikisahkan filem tersebut, Najib menjawab dirinya cuba memahami jalan ceritanya melalui subtitle, dan adegan yang paling disukainya adalah apabila bapa Ah Beng mengambil keputusan untuk berhenti merokok, dan berjaya mengelak dari kebakaran rumahnya.

Jawapan Najib sedemikian lantas mengundang pertikaian warga internet, "Bagaimana pula pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas yang bakal menghancurkan rumah orang?"

"Ah Jib Soh"

Tidak lama selepas laman "Ah Jib Gor" ditubuhkan, satu laman dengan wajah Rosmah Mansor ditubuhkan, bernama "Ah Jib Soh" (makna: makcik Ah Jib).  Laman itu secara terang-terang menyatakan bahawa ia "perwatakan rekaan", kini menarik lebih 3,000 peminat.

Status yang diperbarui dengan memilih topik-topik tertentu, menyasarkan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor, misalnya rambutnya, berat badannya, malah amalan menabung sejak zaman kanak-kanak - untuk membeli cincin intan, yang menjadi bahan sindiran warga internet sebelum ini.

Baca: Ah Wah Gor memintas Ah Jib Gor dalam 24 jam!



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>