2014-07-30 06:52am
 
KHAS
 
Bapa Adam Adli tolak tawaran "mohon maaf kepada PM"
 
Lim Hong Siang | Jan 14, 2012 02:13:31 am
Kongsi |

Di sebalik ugutan "menampar dan meludah pada muka Adam", yang disampaikan melalui video di Youtube oleh sekumpulan anggota UMNO, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Reezal Merican Naina Merican telah menelefon bapa Adam Adli, menawarkan agar anaknya memohon maaf kepada Presiden UMNO, berikutan perbuatan Adam menurunkan bendera berwajah Najib Razak.

Reezal Merican (gambar kanan) cuba menjelaskan kepada bapa Adam Adli, tentang perbuatan "biadap" yang telah dilakukan Adam.  Namun, menurut Adam Adli, "Ayah saya jawab, 'saya ada facebook, saya pun ada internet.  Saya tahu'."  Reezal Merican dikatakan menyusul dengan tawaran pertolongan, agar Adam diaturkan untuk memohon maaf kepada Perdana Menteri, tetapi dibalas oleh bapa Adam, "Tak apa-lah, saya minta pertolongan Tuhan."

Demikianlah kisah yang dikongsikan Adam Adli, aktivis mahasiswa yang mencetuskan kontroversi setelah menurunkan bendera berwajah Najib di ibu pejabat UMNO, dan kemudian menaikkan panji kebebasan akademik.  Beliau digantung tiga semester oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) lantaran perbuatannya pada 17 Disember 2011 itu.

Ketika ditanya keadaan keluarganya, setelah insiden-insiden ini berlaku, Adam menjawab, "Family saya sangat okay.  Mereka juga berjuang."  Jawapannya disambut dengan tepukan, sebelum beliau meneruskan, "Mereka yang lahirkan saya.  Kerana mereka yang lahirkan saya, mereka lebih kenal saya, dan saya ikut mereka."

Adam Adli berucap dalam satu forum berjudul "Adam Adli, Kebebasan Akademik & Kebangkitan Mahasiswa", bersama Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS), Muhammad Safwan Anang dan aktivis seni Fahmi Reza.  Forum anjuran Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Selangor-KL di auditorim bangunannya itu, semalam, telah menarik kehadiran lebih 150 orang, yang kebanyakannya terdiri daripada siswa-siswa.

Ada tawaran dari parti politik

Adam Adli, 22, kini menjadi tumpuan setelah digantung tiga semester pelajarannya di UPSI.  Ketika ditanya oleh seorang hadirin sama ada beliau akan melibatkan diri dalam politik partisan, secara jujur beliau mengakui bahawa memang ada tawaran dari parti politik setelah dirinya terlibat dalam insiden tersebut.

Beliau mengisahkan pengalaman bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Abdul Aziz Bari yang sudah hampir pasti akan menyertai parti politik, meluahkan keresahan mereka terhadap pakar perlembagaan tersebut. 【Baca: Aziz Bari mungkin bertanding di Sabak Bernam

Adam (gambar kiri) berkata kepada Aziz Bari, "Kalau prof masuk politik, prof boleh berjasa kepada satu parlimen sahaja.  Prof tak boleh berjasa kepada satu negara.  Pandangan prof akan dikecilkan.  Prof tidak lagi stand untuk akademik.  Tidak lagi dipandang sebagai seorang akademia kerana apa-apa pun pandangan prof, orang akan anggap prof pro ke mana-mana parti politik."

Beliau menyatakan bahawa dirinya tidak berhasrat untuk mengambil pendirian partisan, dan kalau dirinya benar-benar berjuang untuk memenangkan satu parti politik sahaja sebagaimana yang didakwa, maka beliau tidak akan turun untuk terlibat dalam satu demonstrasi di Kolej Universiti Insaniah (KUIN), yang menyasarkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Kedah.

"Saya seorang mahasiswa, kalau saya berapat, memang saya ada kawan dalam parti politik.  Saya tak boleh buat macam tu, kerana itu akan menghina perjuangan rakan-rakan saya.  Itu pendirian saya," kata Adam, yang masih ditawarkan pentas parti politik sehingga hari ini.  Beliau tahu ramai yang akan kecewa seandainya beliau menyertai parti politik.

Sebelum ini, beliau menjelaskan, "Saya tertanya-tanya, siapa musuh saya?  Adakah saya bermusuh dengan UMNO, atau bermusuh dengan kerajaan?  Adakah saya cari lawan parti politik, atau saya lawan sang penguasa?  Orang menganggap saya melawan UMNO, kerana itu adalah Presiden UMNO, itu adalah bangunan UMNO."

"Tapi aku boleh buat apa dengan acedemic freedomNo, aku tak boleh buat apa-apa.  Yang boleh adalah kerajaan.  The government.  Sebab itu saya anggap lawan saya bukannya UMNO.  Lawan saya adalah kerajaan.  Kerana saya adalah rakyat, bukan parti politik.  Lawan UMNO adalah parti politik lain.  Saya rakyat, saya lawan dengan penguasa.  Itu saja."

Sungguhpun UPSI menyediakan beliau untuk menjadi seorang guru setelah tamat pengajiannya, namun beliau mempersoalkan, "Tapi siapa kata saya hanya boleh jadi seorang guru?  Saya boleh jadi sesiapa saja saya mahu, asalkan ada iltizam, saya mahu, saya boleh jadi!"  Malah beliau berkongsi impian dirinya, jikapun beliau menjadi seorang guru akhirnya, beliau akan memilih untuk bertugas di kampung orang asli yang tidak bersekolah.

Fahmi: Aku sibuk sebab kau tak sibuk!


Aktivis seni dan pengarah filem, Fahmi Reza pula mengkritik sikap khalayak ramai yang tidak mengambil berat isu mahasiswa.  "Isu wanita ada NGO wanita, isu kanak-kanak, ada NGO kanak-kanak.  Isu orang asli, ada NGO orang asli.  Ada tak NGO untuk mahasiswa?  Tak ada, kan?"

"Ke mana kita?  Kenapa kita (sebagai) rakyat, tak sokong dia orang ni?"  Sambil menyindir diri sebagai "penyibuk", Fahmi (gambar kiri) berkata dirinya bukan mahasiswa tetapi sibuk nak pertahankan mahasiswa, "Mengapa saya sibuk?  Sebab kau orang (hadirin) tak sibuk!"

Bagaimanapun, Fahmi mengingatkan bahawa mahasiswa hanya memerlukan sokongan kita, tetapi bukan "pimpinan" kita.  Fahmi menambah, sering kali parti politik menganggap mahasiswa perlu dipimpin, namun untuk Fahmi, "Biar mereka (siswa) pimpin dia orang sendiri, kita support dia dari belakang."  Malah beliau berkata, siswa mudah terlibat dalam parti politik kerana parti politik memberi sokongan kepada mereka, sesungguhnya dengan harapan untuk menarik mahasiswa ke dalam parti mereka.

Safwan: Kita tak nak tumpang populariti

Sementara itu, Muhammad Safwan Anang turut mencuit sesetengah pemimpin parti politik yang cuba mengambil kesempatan ke atas gerakan yang telah dibina siswa.  Mengambil contoh insiden pada awal pagi 1 Januari 2012, sesetengah ahli politik "menghulurkan bantuan tanpa diminta", namun apabila siswa memperjuangkan isu yang beri kepentingan kepada rakyat dan bukan kepada parti tertentu, "di mana mereka?", Safwan mempersoalkan.

"Kita tak nak pun menumpang populariti-populariti yang hanya mencari di awal waktu, yang kemudian ditinggalkan, bayang-bayang pun tak nampak."  Safwan (gambar kanan) berkata, beliau tidak menafikan peranan pemimpin politik, "tapi jangan ambil kesempatan, jangan ambil peluang di atas gerakan yang kita bina!"

Baca: Siswa dipuji Tengku selepas patahkan tiang bendera Filipina, tahun 1968

Baca: Adam: Berbaloilah tiga sem kena gantung sebab pelajar UPSI telah bangkit!

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>