2014-07-30 04:52am
 
KHAS
 
Pak Samad, Aziz Bari dan Hishamuddin Rais membela Adam Adli
 
Lim Hong Siang | Dec 20, 2011 01:50:58 pm
Kongsi |

Meskipun dibanjiri tohmahan dan ugutan lantaran daripada tindakan menurunkan bendera berwajah Presiden UMNO Najib Razak, namun tindakan kontrovesi Adam Adli ini dibela oleh Sasterawan Negara A.Samad Said, pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari dan aktivis sosial Hishamuddin Rais, hari ini.

Abdul Aziz Bari, Profesor Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ketika ditemuramah melalui email oleh MerdekaReview, mengajak orang awam untuk lihat isu ini dalam konteks dan kerangka di mana kita hidup dalam sebuah negara demokrasi.

"Jawabnya, dalam konteks itu, apa salahnya tindakan mahasiswa itu?  Apalagi flip-flop yang Perdana Menteri tunjukkan dalam isu kebebasan akademik, khususnya hak mahasiswa dan lain-lain?" persoalnya.

Beliau menyambung, "Kita kena banding dengan negara demokrasi; jangan bandingkan kita dengan Korea Utara atau Zimbabwe.  Mereka yang mengugut dan lain-lain itu mungkin mereka ingat Malaysia sama dengan negara-negara itu."

Semalam, Adam Adli, penyelaras Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) membuat laporan polis di Bukit Aman, mengadu bahawa dirinya menerima ugutan maut melalui perkhidmatan pesanan ringkas (sms), setelah dirinya menurunkan bendera berwajah Najib di ibu pejabat UMNO pada Sabtu lalu.  Malah, sidang media siswa semalam di depan balai nyaris menyaksikan pertembungan fizikal, apabila seorang lelaki bernama Roslan Mokthar (gambar kanan), mendakwa dirinya ahli UMNO, cuba "mengajar" budak yang "kurang ajar" itu.

"Mereka kena ingat apa yang PM dan UMNO buat selama ini kepada demokrasi umumnya dan mahasiswa khususnya.  Kalau kita ingat ini apa yang mahasiswa buat itu tak ada benda.  Ugutan dan lain-lain itu menunjukkan betapa UMNO masih dilanda pemikiran feudal yang kolot; mereka fikir mereka saja yang betul dan berhak untuk memerintah.  Orang lain kena dengar apa kata mereka," ulas Abdul Aziz Bari.

Adakah PM beradab?

Ketika diajukan soalan bahawa sesetengah menyifatkan bahawa tindakan Adam itu "biadap", Abdul Aziz Bari sebaliknya mempersoalkan, "Adakah selama ini PM dan kerajaan yang dipimpinnya beradab?"

Beliau memetik contoh, "Misalnya sikap biadab mereka kepada Agong yang mahukan himpunan BERSIH diselesaikan dengan cara baik.  Najib sembur air gatal, malah hospital pun ditembaknya," sebelum beliau mengingatkan, "Dan jangan lupa sikapnya kepada mahasiswa.  Kononnya nak beri kelonggaran supaya mahasiswa boleh berpolitik tapi tetap buat rayuan ke atas keputusan Mahkamah Rayuan."

Malah Abdul Aziz Bari (gambar kiri) menyimpulkan, "Jadi sebelum juak-juak PM minta orang lain beradab dan berbudi bahasa PM kena tunjuk contoh.  Jangan jadi ketam yang mahu anaknya jalan betul!"

Beliau merujuk kepada kes rayuan yang dikemukakan kerajaan setelah Mahkamah Rayuan membuat penghakiman bahawa Seksyen 15 (5) (a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bercanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.  Rayuan ini dibuat tatkala kerajaan yang sama menjanjikan pindaan AUKU untuk membenarkan siswa yang berumur 21 tahun ke atas terlibat dalam parti politik.

A.Samad: Anak muda bukan bodoh

Ketika ditemuramah MerdekaReview, A.Samad Said menyanggah tuduhan bahawa tindakan Adam Adli itu biadap, sebaliknya beliau menganggap ia harus dilihat sebagai protes untuk menyatakan ketidaksenangan golongan siswa dalam isu kebebasan akademik.

Malah, Sasterawan Negara ini mengingatkan bahawa bendera yang diturunkan adalah bendera berwajah Najib, bukan bendera negara.  "Sesiapa pun boleh bikin bendera wajahnya," kata A.Samad Said (gambar kanan), sempat untuk mengimbas ingatannya bagaimana seorang wartawan Utusan Melayu pernah memijak-mijak bendera Indonesia, ketika zaman konfrontasi Indonesia.  Untuk beliau, tindakan memijak bendera negara yang sedang kita konfrontasi adalah tindakan yang tidak wajar.

Beliau ketika diminta mengulas kenyataan Puteri UMNO yang menyifatkan tindakan Adam sebagai "tidak matang", A. Samad Said dengan nada menyindir mencadangkan mereka mengulas isu lembu dan kondominium.  Bagaimanapun, berbalik kepada isu, A. Samad Said menganggap isu ini harus diambil sebagai bayangan keresahan yang tulen di kalangan anak muda.  "Anak muda kita bukan bodoh, tetapi pandai," tegasnya.

Hishamuddin Rais:

Hishamuddin Rais (ganbar bawah) pula dengan sinisnya, menyindir bahawa "matang pun tak ada gunanya kalau bodoh macam langau di buntut gajah - apa kata pemimpin semua mengangguk kepala?".  Beliau memuji tindakan mahasiswa sebagai "tindakan yang radikal dan cool".

"Ini mencerminkan langkah anak muda.  Inilah seharusnya menjadi contoh keberanian anak muda, bukan memakai baju batik lengan panjang," kata bekas pemimpin gerakan siswa pada zaman 1970-an ini.

Tindakan Adam Adli menurunkan bendera berwajah Najib Razak di PWTC ketika sekumpulan siswa-siswi berarak untuk menyerah memorandum kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Saifuddin Abdullah, telah mencetus kontroversi.  Memorandum tersebut menuntut kebebasan akademik dan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Satu klip video telah dimuat naik dalam youtube, menyaksikan sekumpulan lelaki dengan bendera UMNO mengugut untuk menampar dan meludah pada muka Adam.  Sementara itu, satu laman facebook ditubuhkan menuntut Adam memohon maaf kepada Perdana Menteri, disertai lebih 1,000 orang sehingga kini.

Bagaimanapun, satu laman facebook yang menyokong tindakan Adam telah menghampiri 10 ribu peminatnya, dalam masa 24 jam ditubuhkan.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>