2014-04-20 11:45am
 
KOLUM
 
Harapan baru dalam struktur politik lama
 
Ng Eng Kiat | Dec 02, 2011 04:32:13 pm
Kongsi |

"Hari ini, melalui kertas undi, anda telah mendengar suara hati anda dengan sepenuh tekad bahawa masa untuk perubahan sudah tiba.

Rakyat Malaysia telah bersuara.  Ini adalah detik bersejarah, yang luar biasa dalam sejarah negara kita.

Hari ini lebaran baru telah dibuka.  Rakyat telah mengundi dengan berani dan terbuka untuk melangkah ke satu era di mana kerajaan yang dibentuk mestilah bersifat terbuka dan mengiktiraf semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa, dan budaya adalah satu rakyat yang bersatu....

Inilah harapan baru untuk Malaysia
!"

Demikianlah perutusan Anwar Ibrahim, (gambar kanan) pemimpin Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat, pada 9 Mac 2008, sehari selepas rakyat menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional di Parlimen dan menghilangkan kuasa memerintah di empat lagi negeri di Semenanjung Malaysia.

Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 sememangnya memberi harapan baru kerana munculnya sebuah gabungan baru yang diketuai Anwar sendiri.  Kemampuan Anwar menyatukan semula PAS dan DAP mewakili penentangan yang bersepadu melawan kekuasaan UMNO-Barisan Nasional.

Kalau dahulu taktik pecah dan perintah sudah cukup untuk menghilangkan kepercayaan pengundi bukan-Islam terhadap PAS dan menyebabkan pengundi Melayu sangsi terhadap DAP, keputusan PRU pada tahun 2008 menunjukkan bahawa politik perkauman boleh dilawan dengan politik baru yang berasaskan keadilan sosial, demokrasi, dan hak asasi manusia.

PKR dianggap sebagai parti yang memperlihatkan lebih majmuk dan pelbagai, berbanding parti-parti politik berasaskan kaum dalam Barisan Nasional.  Ditambah kebolehan PKR memujuk kedua-dua kelompok pengundi yang terasing daripada PAS dan DAP, harapan baru supaya kekuasaan mutlak Barisan Nasional dihentikan kelihatan muncul.

Bagi UMNO, penyebaran harapan untuk masyarakat Malaysia yang bebas daripada kongkongan pemikiran perkauman adalah ancaman terbesar kepada formula pecah dan perintah yang diwarisi zaman kolonial British.  Berpuluh-piluh tahun formula ini diterima pakai sebagai suatu kelumrahan yang semulajadi dan tidak boleh dipersoalkan, kini dicabar kesedaran baru yang semakin berkembang.

Nasionalisme etnik hanya alasan untuk segolongan elit kekal berkuasa mutlak buat selama-lamanya.  Maka, jelas bahawa harapan baru yang datang bersama politik baru pasca 2008 membentuk antitesis kepada ideologi "Melayu untuk Melayu, Cina untuk Cina, dan India untuk India" dalam kontrak sosial Barisan Nasional.

Namun, menjelang Pilihan Raya ke-13, adakah rakyat masih mengingati harapan ini?  Lebih penting lagi, adakah PKR, PAS dan DAP masih melanggani pendekatan ini?

Dakwaan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO Muhyiddin Yassin (gambar kanan) di Perhimpunan Agung UMNO hari kelmarin walaupun nampak lucu dan tidak logik sesungguhnya perlu diambil serius.  Katanya, ada pihak yang 100 kali ganda lebih rasis daripada UMNO.  Kenyataan yang bodoh sebodoh-bodohnya pun kadang-kala boleh mencetuskan peluang untuk kita merenung semula keadaan gerakan anti-Barisan Nasional.

Di Kongres PKR baru-baru ini, Ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin mencabar UMNO untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menjamin jawatan Perdana Menteri hanya boleh disandang seseorang berbangsa Melayu.  Anwar Ibrahim terpaksa menjelaskan bahawa cabaran itu sekadar cabaran kepada UMNO dan Pakatan Rakyat tidak akan menyokong sebarang pindaan dan mahu supaya kekal peruntukan Perlembagaan sedia ada.  Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula memberi pendapat bahawa jawatan PM disandang orang Melayu adalah realitik politik dan tidak dipersoalkan.

Buat sejenak, saya terkilan dengan "cabaran" yang dilontar Shamsul (gambar kiri), tetapi saya terpaksa menerima hakikat bahawa setelah 48 tahun negara Malaysia dibentuk, rakyatnya masih terpisah oleh wacana politik yang terikat dengan struktur-struktur kuasa lama.  Kejayaan British dan kemudiannya UMNO-Barisan Nasional memisahkan rakyat melalui identiti etnik masing-masing telah menghasilkan "realiti
politik" hari ini pada tahun 2011, iaitu orang Malaysia tidak mungkin menerima seorang Perdana Menteri bukan berbangsa Melayu.

Realiti ini adalah hasil projek bina negara UMNO-Barisan Nasional.  Pembinaan bangsa Malaysia tidak pernah bermula dan gagal begitu sahaja.  Merenung kembali perutusan Anwar 9 Mac 2008, di manakah harapan baru kita?  Adakah cabaran Shamsul Iskandar kepada UMNO itu mewakili harapan baru rakyat?  Kalau UMNO bicara pasal Melayu, Melayu dan Melayu, Shamsul dan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain perlu bicara pasal Malaysia, Malaysia, dan Malaysia.  Bukankah demikian harapan rakyat yang mahukan perubahan?

Sekiranya perubahan datang, realiti politik tanahair turut akan berubah.  Pemimpin Pakatan Rakyat perlu beranikan diri untuk memimpin perubahan ini secara progresif dan bukan lagi terjerumus dalam realiti politik perkauman UMNO yang kolot.

Struktur kuasa lama yang berasaskan kaum, kabel kroni, dan kezaliman perlu digantikan dengan identiti bangsa Malaysia yang baru, iaitu tiada lagi orang Malaysia yang perlu dipinggirkan kerana identiti etniknya bukan majoriti.  Perubahan ini boleh direalisasikan dan Malaysia baru boleh dibina sekiranya kita membebaskan rantai yang mengikat wacana kita kepada struktur kuasa lama dan percaya realiti politik yang baru boleh dilakarkan.

*Ng Eng Kiat, aktivis sosial dan hak asasi manusia, kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>