2014-09-02 12:16pm
 
EKSKLUSIF
 
Langkah penyenaraian FELDA Global Venture dipercepat untuk mengejar langkah PRU 13?
 
Neo Chee Hua | Oct 18, 2011 12:08:18 am
Kongsi |

"Apa yang mustahak, setiap peneroka akan menerima 'durian runtuh' yang mana jumlahnya akan diumumkan nanti, sebelum penyenaraian dilakukan."  Demikianlah janji kerajaan Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2012, selepas mengumumkan cadangan untuk menyenaraikan FELDA Global Venture Holdings (FGVH) sebelum pertengahan tahun 2012.

Pihak atasan FGVH telah memberi arahan agar langkah penyenaraian FGVH dipercepatkan, dengan harapan ia dijayakan sebelum akhir Mac 2012, kata sumber kepada MerdekaReview.  Lantas keputusan ini dikaitkan dengan PRU ke-13, yang juga semakin hampir langkahnya.

Menurut sumber, segala maklumat mengenai rancangan terperinci penyenaraian FGVH hanya dikuasai beberapa orang atasan dalam pengurusan.  Persoalan tentang bagaimana perusahaan di bawah syarikat itu distruktur, bagaimana masalah tanah FELDA diselesaikan, terutamanya peneroka FELDA dan status peneroka FELDA... segala-gala ini hanya diketahui pihak atasan dalam syarikat.

Ketika Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Najib Razak membentangkan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober, beliau berkata penyenaraian FGVH bertujuan menghasilkan dana untuk menjadikan FGVH sebuah syarikat berstatus konglomerat global.  "Penyenaraian FGVH akan mewujudkan sebuah lagi syarikat blue chip perladangan di samping meningkatkan minat pelabur antarabangsa terhadap Bursa Malaysia," kata Najib.

Pada masa yang sama, sumber mengesahkan kepada MerdekaReview bahawa pelaburan FGVH di luar negeri masih menanggung kerugian, dan FGVH tetap menyuntik dana untuk perusahaan yang dilaburnya di Amerika Utara.

Langkah penyenaraian mengejar langkah PRU

Menurut sumber, pihak atasan tidak memaklumkan kepada pihak pengurusan dalam syarikat, tentang bagaimana peneroka FELDA menerima "durian runtuh" dari rancangan penyenaraian FGVH.

"Banyak benda yang tidak difahami pengurusan dalaman dan orang awam.  Misalnya, FGVH secara terbuka mendakwa bahawa mereka mempunyai tanah dengan keluasan lebih 800 ribu hektar.  Tetapi, selain tanah FELDA, ia termasuk tanah peneroka FELDA.  Apakah tanah peneroka FELDA ini diuruskan dengan cara sewa, iaitu membayar sewa kepada peneroka, ataupun dengan cara menukar tanah dengan saham?  Malah, bagaimana peneroka FELDA dimanfaatkan melalui rancangan ini?  Mereka yang tidak berkuasa untuk terlibat dalam mesyuarat pihak atasan, tidak tahu apa-apa mengenainya."

Seandainya langkah penyenaraian dipercepatkan sehingga menyasarkan tempoh sebelum akhir Mac 2012, maka ia boleh dikaitkan dengan PRU 13 yang bakal diadakan.  Ini kerana selama ini peneroka FELDA adalah gedung undi untuk Barisan Nasional, dan ia dapat diperlihatkan melalui penaburan "gula-gula" kepada peneroka FELDA ketika pilihan raya berlangsung.

Peneroka FELDA Melayu menerima bantuan dan sokongan daripada kerajaan di bawah rancangan FELDA sejak ia ditubuhkan, lantas kawasan FELDA menjadi kubu tradisional kepada UMNO-BN.  Menurut anggaran, terdapat kira-kira satu juta orang pengundi di kawasan FELDA.  Oleh yang demikian, meskipun BN kehilangan sokongan undi di kawasan bandar dalam PRU ke-12 pada tahun 2008, namun BN tetap berjaya mengekalkan kuasa kerajaan persekutuan melalui undi di kawasan kampung, termasuk kawasan FELDA.

Pelaburan di luar negeri masih rugi...

Selain itu, sumber mengesahkan bahawa pelaburan FGVH di luar negeri masih menanggung kerugian.  Seandainya FELDA tidak menempatkan syarikat yang paling untung di bawahnya, iaitu Felda Holdings Berhad ke dalam FGVH untuk mengimbangi kerugiannya, maka FGVH masih dalam keadaan "rugi", dan tidak berkelayakan untuk disenaraikan.

"FGVH masih menyuntik dana untuk perusahaannya yang rugi di Amerika Utara.  Keuntungan FGVH bergantung kepada sumbangan Felda Holdings Berhad.  Tanpa keuntungan Felda Holdings Berhad untuk mengimbangi kerugian FGVH, syarikat ini adalah syarikat yang rugi, dari segi 'book value'-nya," kata sumber.

Perusahaan yang dilabur FGVH termasuklah Syarikat Twin River Technologies di Amerika Syarikat.  Syarikat Amerika ini memiliki kilang kimia pemprosesan minyak di Amerika Syarikat, dan memiliki kilang pemprosesan minyak tumbuh-tumbuhan di Kanada.

FGVH telah ditubuhkan pada Disember 2007, dipertanggungjawab untuk menguruskan pelaburan Felda di luar negeri.  Namun demikian, syarikat ini berada dalam keadaan separa-lelap, sehingga Najib Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri secara rasminya. 

Baca: Hutang FELDA melambak setelah Najib pegang kuasa

Baca: Anwar: Najib perlu bertanggungjawab terhadap kerugian pelaburan FELDA

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 17 Oktober 2011.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>