2014-08-24 01:19am
 
EKSKLUSIF
 
Peruntukan Ad Hoc tanpa dasar adil cacatkan Belanjawan Najib-BN 2012 (II)
 
KPRU | Oct 10, 2011 06:24:35 pm
Kongsi |

MAKSUD TERSIRAT KONSEP KEBAJIKAN NAJIB: "YOU HELP ME, I HELP YOU!"

Sesungguhnya, perangkaan Belanjawan Najib-BN membawa kepada suatu konsep penting apabila kita membicarakan penggubalan dan pelaksanaan dasar yang adil – konsep kebajikan.
   
Belanjawan Najib-BN 2012 boleh dikatakan sebagai belanjawan satu kali (one-off), berdasarkan ’goodies’ kepada pelbagai lapisan masyarakat, daripada sekolah swasta, sekolah awam, pelbagai jenis sekolah rendah, keluarga yang mempunyai anak, wanita, sehingga  pesara dan kakitangan awam.  Najib berkata ini adalah konsep negara kebajikan. Nampaknya, beliau tidak tahu maksud sebenar negara kebajikan. Ia juga boleh dikatakan sebagai hiprokasi konsep negara kebajikan yang cuba dimanipulasikan oleh Kerajaan Najib-UMNO apabila berdepan konsep negara berkebajikan PAS.

Hakikatnya ialah, Malaysia masih jauh daripada memperlihatkan sebuah negara kebajikan/berkebajikan tetapi lebih mirip negara di bawah pemerintahan yang short-sighted dan hanya mementingkan kepentingan diri. Apakah dengan pembinaan prasarana, pemberian subsidi tertentu dan penyediaan projek oleh kerajaan, Najib cuba mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara berkebajikan? Jika dilihat dari kaca mata PAS, pemahaman seumpama menzahirkan kecetekkan minda Kerajaan Najib-UMNO. Sedangkan maksud tersirat masih adalah konsep "you help me, i help you", yang dipopularkan oleh Najib semasa Pilihan Raya Kecil Sibu, Sarawak.

Apa itu negara berkebajikan? Negara Berkebajikan<1> didefinisikan sebagai; "Sebuah Negara yang mengutamakan kebajikan dan keselesaan rakyat sebagai agenda utama pembangunan negara". Negara Berkebajikan mementingkan pembangunan, tetapi matlamatnya ialah kesejahteraan rakyat terbanyak.

Konsep negara berkebajikan menjangkaui pemahaman biasa terhadap konsep kebajikan yang sekadar melihat kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memberi bantuan material kepada rakyatnya tanpa mempersoalkan ketidakadilan dan ketidaksaksamaan dari segi dasar serta aspek kerohaniannya.

Negara Berkebajikan <2> dikatakan sebagai lebih berteraskan sistem pemerintahan kerajaan Islam sewaktu zaman pemerintahan Nabi Yusuf sehingga ke pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Negara Bekerbajikan bermakna kerajaan mambantu rakyat mencapai pembangunan insaniah yang sekata supaya semua golongan rakyat boleh mencapai pembangunan mengikut keperluan masing-masing.

Negara berkebajikan mengambil peranan kerajaan adalah "guardian" atau Penjaga (ibu-bapa) kepada rakyat dan juga penting dalam melindungi dan memajukan ekonomi dan kesejahteraan sosial rakyat."<3> Ia adalah berdasarkan prinsip-prinsip kesamarataan peluang, pengagihan kekayaan yang saksama,dan tanggungjawab awam bagi orang-orang yang tidak dapat memanfaatkan peruntukan minimum untuk kehidupan yang baik. istilah umum boleh meliputi pelbagai bentuk organisasi ekonomi dan sosial.

Dalam konsep Negara Kebajikan yang dirangsangkan oleh PAS, adalah melalui sprite agama Islam, merangsangkan moral dan nilai keinsanan kepada masyarakat, dan juga kekayaan negara dikembalikan kepada rakyat dan bukan dikaut untuk memperkayakan pemimpin, ahli keluarga dan kroni mereka.<4>

PERBEZAAN BELANJAWAN PAKATAN RAKYAT 2012 DENGAN BAJET NAJIB 2012

Pebezaan signifikan antara Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat 2012 dan Belanjawan Kerajaan Najib-BN 2012 ialah perbezaan dari segi pendekatan yakni titik permulaan merangka belanjawan masing-masing.

Titik permulaan bagi Pakatan Rakyat ialah reformasi dan pembaharuan pada peringkat dasar dan undang-undang sejajar dengan tuntutan zaman kini dan hukum negara, manakala titik permulaan bagi Barisan Nasional (BN) ialah peruntukan ad hoc tanpa perubahan dasar.

Political Reform Secara Dasar Pakatan Rakyat dan Pengumuman Najib


Perdana Menteri Najib Razak ketika menyampaikan perutusan khas sempena Hari Malaysia pada 15 Sept 2011 hanya mengumumkan pemansuhan permohonan permit penerbitan setiap tahun tetapi dikekalkan permohonan permit penerbitan dan kuasa mutlak Menteri menggantung atau memberhentikan permit sesebuah penerbitan. Pakatan Rakyat dalam Belanjawan Alternatif Pakatan 2012 menyatakan secara jelas pendirian untuk membubarkan sama sekali keperluan memohon lesen penerbitan dan digantikan dengan pendaftaran secara administratif.

Begitu juga, Kerajaan BN telah mendominasi penubuhan Majlis Media dan cuba mengetepikan portal berita atas talian seperti Malaysiakini daripada penyertaan mereka dalam Majlis Media lantas berdepan dengan bantahan wartawan. Pakatan Rakyat dalam Belanjawan Alternatif Pakatan 2012 juga menyatakan secara jelas pendirian untuk membiarkan dunia kewartawanan yang mengendalikan penubuhan Majlis Media tanpa didominasi dengan kuasa Kerajaan Persekutuan.  

Maka bermulalah perbezaan secara dasar antara pentadbiran dan mentaliti Kerajaan BN berbanding dengan pimpinan ke depan dan harapan baharu yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.

Perbezaan seumpaman terserlah dalam pelbagai aspek hukum negara khususnya yang berkait rapat dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang darurat. Najib yang terdesak untuk membuat pengumuman pemansuhan ISA terus menyatakan pendirian jelas Kerajaan BN bahawa dua akta baharu akan digubal berlandaskan semangat Artikel 14 Perlembagaan Persekutuan.  Pakatan Rakyat secara jelas menyatakan bahawa pembaharuan institusi yang dibawa oleh Kerajaan Pakatan Rakyat kelak tidak akan meneruskan aspek perundangan yang bercanggah dengan hukum negara (rule of law) seperti tahanan tanpa bicara sama ada 60 hari atau 30 hari. Sejarah Malaysia menunjukkan secara jelas peruntukan seumpama sering disalah guna oleh sesetengah pemimpin negara atas bubi cara dan ketamakan kuasa individu (rule by law).

Pelaksanaan Dasar Kebajikan Sistemik Jangka Panjang Berbanding Preskripsi Penawar Sakit Jangka Pendek


Belanjawan 2012 Barisan Nasional (BN) dibintangi pemberian insentif berbentuk ‘handout’ seperti pemberian wang tunai, baucar, diskaun dan sebagainya, serta penyuntikan wang ke dalam macam-macam dana atau program yang canggih namanya. Contoh-contoh ‘handout’ yang dikatakan bersifat kebajikan dalam belanjawan BN 2012 termasuk pemberian RM500 kepada isirumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah secara ‘one-off’, bantuan kepada kanak-kanak miskin sebanyak RM100 sebulan dalam program KAR1SMA, dan diskaun 50% tambang LRT dan monorel bagi warga emas.

Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat pula dicirikan oleh pelaksanaan dan hala tuju dasar yang mengutamakan keperluan (needs). Sebagai contoh, pelaksanaan dasar gaji minima RM1,100 merentas semua sektor adalah antara inisiatif yang paling menonjol dalam Belanjawan Pakatan Rakyat. Pemindaan Akta Persaingan dan penghapusan subsidi korporat juga merupakan tindakan-tindakan di peringkat dasar yang bertujuan menurunkan harga barangan dan perkhidmatan asas.

Selain itu, pemberian RM1,000 secara ‘one-off’ kepada suri rumah yang layak, bayaran tambahan kepada isi rumah miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah sekurang-kurangnya RM550, dan bayaran bonus warga emas sebanyak RM1,000 setahun kepada warga emas berpendapatan rendah merupakan beberapa langkah ‘handout’ yang dicadang.

Pemberian wang tunai dan pinjaman wang sering dilihat sebagai penawar sakit jangka pendek yang tidak dapat menjamin kesejahteraan masa depan rakyat jikalau dasar dan undang-undang yang sedia ada tidak dapat membela nasib golongan pekerja dan golongan yang memerlukan.

Inisiatif-inisiatif kebajikan yang terdapat di dalam Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat lebih menekankan penghasilan kesan jangka panjang dan penciptaan suasana kebajikan yang berkekalan berlandaskan kesinambungan dasar yang dicadangkan dalam Agenda Ekonomi Malaysia dan Buku Jingga manakala tawaran-tawaran yang diberi dalam Belanjawan 2012 BN adalah umpama preskripsi penawar sakit yang memberi kelegaan jangka pendek.

Isi rumah Berpendapatan Rendah

Pakatan Rakyat Barisan Nasional
  • Gaji minima sebanyak RM1,100 dikuatkuasa serta merta.
  • Elaun penjagaan anak sebanyak RM1,000 setahun kepada ibu-ibu yang layak.
  • Pemberian RM1,000 secara one-off kepada suri rumah yang layak.
  • Bayaran tambahan (top up payment) kepada isi rumah di dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah sekurang-kurangnya RM550.
  • Bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat akan diselaraskan kepada RM550 sebulan, dari kadar sedia ada sebanyak RM300 sebulan.
  • Pemberian RM500 kepada isirumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah secara one-off.
  • Bantuan kepada warga emas miskin sebanyak RM300 sebulan bagi 2012.
  • Bantuan kepada kanak-kanak miskin sebanyak RM100 sebulan bagi 2012.

 Warga Emas

Pakatan Rakyat
Barisan Nasional
  • Bayaran bonus warga emas sebanyak RM1,000 setahun kepada warga emas yang layak.
  • Warga emas dikecualikan caj pendaftaran pesakit luar di semua hospital dan klinik kerajaan mulai 2012.
  • Warga emas diberi diskaun 50% tambang LRT dan monorel.

Penjawat Awam

Pakatan Rakyat
Barisan Nasional
  • Kenaikkan gaji ekoran dasar gaji minima
  • Inisiatif Kecemerlangan Perkhidmatan Awam (CSEI) yang bertujuan menambah baik kepuasan kerja dan melaksanakan skim saraan, ganjaran dan kenaikan pangkat bagi pekerja yang cemerlang.
  • Tambahan bonus setengah bulan gaji diberi pada Disember 2011 dengan bayaran minimum RM500 dan bayaran bantuan RM500 kepada pesara.
  • Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.
  • 600,000 pesara kerajaan akan dapat kenaikan pencen pesara sebanyak 2% setahun.
  • Umur persaraan wajib sektor awam dilanjutkan kepada 60 tahun daripada 58 tahun.

Subsidi Barangan Asas

Pakatan Rakyat Barisan Nasional
  • Peruntukan subsidi bagi barangan aras sebanyak RM22 bilion.
  • Peruntukan subsidi bagi barangan aras sebanyak RM33.2 bilion.

 Lain-Lain

Pakatan Rakyat

Barisan Nasional
  • Subsidi pertanian yang disalurkan terus kepada pengusaha kecil.
  • Elaun kepada orang kurang upaya (OKU) dari RM150 hingga RM300 sebulan bagi 2012.

Transformasi Projek Mega: Projek Mega Berwajah Boros

Walaupun Kerajaan BN dalam pengumuman Belanjawan 2012 cuba mengelakkan diri daripada tuduhan bahawa ia sering mengutamakan projek mega, anggapan bahawa Belanjawan 2012 BN adalah bebas daripada projek mega adalah salah sama sekali. Dua perkembangan dapat dikesan dalam Belanjawan 2012 BN, iaitu:

i. Menurut Laporan Ekonomi 2011/2012 Kementerian Kewangan Malaysia, Permodalan Nasional Berhad (PNB) sedang menyiapkan reka bentuk projek Warisan Merdeka. Projek bernilai RM5 bilion ini akan bermula tahun depan meskipun terdapat bantahan kuat.

ii. Projek KLIFD bernilai RM26 bilion, projek pembangunan lima wilayah koridor bernilai hampir RM1 bilion (RM978 juta), dan projek Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-10 bernilai RM98.4 bilion. Projek-projek yang terlibat termasuk, pembinaan lebuh raya persisiran pantai Johor Bahru-Nusa Jaya, projek pelancongan warisan Taiping, projek landasan kereta api berkembar Gemas – Johor Bahru, projek Lebuhraya Pantai Timur Jabor – Kuala Terengganu, Lebuh Raya Pantai Barat Banting - Taiping, Lebuhraya Segamat - Tangkak, Lebuhraya Central Spine, pembinaan jalan Kota Marudu – Ranau, dan pembangunan semula Pangkalan Udara Sungai Besi.

iii. Projek mega telah "ditransformasikan" daripada projek infrastruktur di kawasan bandar yang amat menarik perhatian kepada projek infrastruktur di kawasan luar bandar yang tidak begitu menonjol. Antaranya, satu Pakej Rangsangan Khas RM6 bilion yang dibiayai melalui Privat Financing Initiative (PFI) diwujud bagi pembaikan dan penyelenggaraan sekolah, menaik taraf hospital, rancangan tebatan banjir, menaik taraf infrastruktur khas luar bandar, dan pembinaan perumahan rakyat. Peruntukan RM5 bilion juga disediakan bagi pembangunan infrastruktur asas luar bandar. Satu Program Lonjakan Mega Luar Bandar juga akan dilaksanakan dengan peruntukan RM110 juta.

Selain itu, pembangunan semula Pulau Langkawi yang melibatkan peruntukan RM 420 juta ringgit juga boleh dikatakan sebagai projek mega.

Projek Mega yang Diteruskan Projek Mega Baru Berwajah Boros
  • Warisan Merdeka
  • Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD)
  • Pembangunan lima wilayah koridor
  • Projek infrastruktur dalam Rancangan Malaysia Ke-10
  • Pembangunan infrastruktur luar bandar
  • Pakej Rangsangan Khas bagi menaik taraf infrastruktur khas luar bandar
  • Program Lonjakan Mega Luar Bandar

Yang Miskin Diberi Gula-Gula, Yang Maha Kaya Diberi Mesin Gula-Gula

Seperti mana yang disebut sebelum ini, Belanjawan 2012 BN adalah penuh dengan pemberian ‘handout’, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah, tetapi seperti apa yang telah dibangkitkan, inisiatif sebegini hanya memberi kesan jangka pendek. Selain penawar sakit, satu lagi analogi bagi inisiatif sebegini adalah gula-gula yang berperisa manis dan menyenorokkan tetapi dihabiskan dengan cepat.

Pemberian gula-gula memang akan dialu-alukan, tetapi persoalannya, bukan haruskah mereka menerima lebih banyak daripada setakat gula-gula sahaja, sedangkan syarikat-syarikat besar dan pelabur-pelabur yang kaya modal diberi mesin gula-gula?

Para pelabur diberi insentif dari segi pengecualian cukai dan duti setem selama sekurang-kurangnya beberapa tahun. Sebagai contoh, pemaju hartanah di KLIFD akan menikmati pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun, pengusaha francais akan menikmati potongan cukai ke atas fi francais, dan pengusaha hotel baru empat dan lima bintang (hotel mewah) akan diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus serta elaun cukai pelaburan sebanyak 60 peratus bagi tempoh lima tahun.

Selain itu, syarikat-syarikat besar seperti pengeluar tenaga bebas (IPP) diberi subsidi bernilai berjuta-juta sehingga berbilion-bilion ringgit <5>.

Perbezaan antara insentif yang diberi kepada golongan berpendapatan rendah dan insentif yang diberi kepada golongan pelabur dan pengusaha adalah, insentif bagi pelabur dan pengusaha adalah lebih sistemik kerana ia melibatkan sistem cukai yang memang akan wujud selalu.

Syarikat-syarikat besar, para pelabur dan pengusaha kaya modal ini umpamanya diberi mesin gula-gula yang membolehkan mereka menghasilkan gula-gula sendiri berkali-kali, manakala golongan miskin diberi beberapa biji gula-gula untuk sekali sahaja. Golongan yang kaya modal diperkasakan tetapi golongan miskin hanya setakat ditenangkan. Justeru, Belanjawan 2012 BN kayakan lagi orang yang kaya raya dan sebenarnya melemahkan orang yang miskin. (Bahagian kedua, tamat)

1. http://presiden.pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=37:negara-berkebajikan--tawaran-pas-kepada-rakyat-malaysia-&catid=14:kenyataan-rasmi&Itemid=56

2. http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/negara-berkebajikan-different-from-welfare-state-says-hadi/

3. http://www.britannica.com/EBchecked/topic/639266/welfare-state

4. http://www.malaysiakini.com/news/166316

5. http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/ipp-subsidies-under-review/

Baca: Bahagian pertama

*Tulisan ini ditulis khas untuk MerdekaReview atas permintaan.

**Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) merupakan sebuah pusat kajian yang baru dan kritikal. KPRU ditubuhkan pada era pasca 8 Mac dengan tujuan membawa idea perubahan kepada warga Malaysia melalui kajian dan sesi dialog.

KPRU memberikan fokus kepada kajian terhadap bidang ekonomi politik dan sektor strategik yang dapat membawa impak jangka masa panjang kepada masyarakat. Dengan penerapan idea baru dan interaksi dengan pelbagai pihak berkepentingan, kajian KPRU diyakini akan membawa pemikiran dan wacana segar untuk menghadapi cabaran negara dalam dekad yang akan datang.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>