2014-07-25 09:45pm
 
KHAS
 
BERSIH mohon mengadap Agong, sedia terima nasihat batal perhimpunan
 
Leong Khong | Jul 04, 2011 02:04:33 pm
Kongsi |

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) Ambiga Sreenevasan memohon mengadap Yang di-Pertuan Agong, untuk mendapatkan nasihat baginda berhubung perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011.  Ketika ditanya sama ada BERSIH 2.0 akan membatalkan perhimpunan seandainya dinasihat Agong untuk berbuat demikian, sambil mengangguk Ambiga menjawab, "Ya."

Dalam satu sidang media yang diadakan di pejabat di Petaling Jaya pada pagi tadi, Ambiga (gambar kanan) berkata BERSIH 2.0 akan memutuskan sama ada untuk meneruskan perhimpunan pada 9 Julai 2011 atau tidak, setelah mengadap Yang di-Pertuan Agong. Beliau dihujani pertanyaan wartawan, sama ada BERSIH akan membatalkan perhimpunan berikutan Titah Khas daripada Yang di-Pertuan Agong semalam, beliau berkata, "Tunggu sehingga kami mengadap YDPA, barulah kami buat pengumuman."

Ambiga menambah, seandainya BERSIH 2.0 tidak berjaya mengadap Yang Dipertuan Agong, mereka akan membuat keputusan juga sebelum 9 Julai.  Menurut Ambiga, BERSIH 2.0 memanggil mesyuarat selepas Istana Negara mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, semalam.  Dalam mesyuarat itu, mereka memutuskan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Ambiga membacakan kenyataan BERSIH, berbunyi:

1.BERSIH 2.0 mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong atas sokongan baginda terhadap aspirasi rakyat jelata untuk reformasi sistem pilihan raya.

2.BERSIH 2.0 akan patuh kepada titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk berdialog ke arah mewujudkan satu konsensus nasional bagi reformasi sistem pilihan raya dan proses pembangunan demokrasi di Malaysia.

3. BERSIH 2.0 memohon mengadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk mempersembahkan isu-isu yang diambil berat oleh rakyat jelata serta aspirasi bagi reformasi pilihanraya dan proses pembangunan demokrasi untuk dilaksanakan dengan segera selaras dengan kehendak Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk rekonsiliasi nasional.

Selain itu, Ambiga enggan mengulas cadangan Perdana Menteri Najib Razak pada pagi ini, untuk mengadakan perhimpunan dalam stadium.  Ini kerana mereka baru sahaja menerima berita tersebut.  Bagaimanapun, Ambiga menggesa agar kerajaan membebaskan kesemua enam orang tahanan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM).  Beliau berkata, Ordinan Darurat tidak berbeza dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dan kerajaan diminta supaya tidak memperbodohkan rakyat.

Pertemuan dengan Abdullah

Di samping itu, Ambiga yang telah menemui bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi pada pagi ini enggan mendedahkan kandungan perbincangan mereka, cuma menyatakan bahawa Abdullah Ahmad Badawi bersetuju dengan Titah Khas YDPA.

Antara aktivis yang hadir dalam sidang media ini termasuklah Subramaniam Pillay dari Aliran, Maria Chin Abdullah dari EMPOWER, Wong Chin Huat dari WAMI, dan Toh Kin Woon dari LLG. Selain daripada itu, Ivy Josiah dari Women's Aid Organisation, Zainah Anwar dan Marina Mahathir dari SIS, Tan Jo Haan dari PERMAS, Irene Xavier dari Sahabat Wanita, Fadiah Nadwa dari Lawyers For Liberty dan lain-lain lagi.

Marina Mahathir (gambar kanan) ditanya wartawan bahawa Operasi Lalang juga berlaku ketika zaman bapanya Mahathir Mohamad memerintah, Marina menjawab bahawa dirinya mewakili "SIS", sebelum melontarkan soalan "Adakah orang yang berpakaian kuning ditangkap ketika itu?"

Marina membidas bahawa hanya mereka yang tidak berkeyakinan akan menangkap orang yang berpakaian kuning.  "Seandainya kita tidak berkeyakinan, tidak dapat bertoleransi dengan satu istilah 'Bersih', kita sebenarnya betul-betul sebuah negara dunia ketiga, atau lebih mundur..."

Baca: Najib: Abdullah kedua atau Mahathir kedua?

*Leong Khong ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>