2014-09-03 05:12am
 
KHAS
 
Husam Musa: Politik tetap berubah jikapun Melayu tidak berubah
 
Lim Hong Siang | Jun 18, 2011 02:59:19 pm
Kongsi |

"Nasihat saya kepada orang Melayu, kalau mereka tak berubah, politik tetap akan berubah.  Trend yang ada sekarang, adalah sukar bagi Barisan Nasional muncul sebagai satu parti yang kuat dalam kerajaan yang akan datang... Maka adalah penting, orang Melayu berubah sekali dengan perubahan politik yang telah berlaku di seluruh negara, iaitu berpindah daripada menjadi pengundi tegar Barisan Nasional semata-mata, memberi satu undi kepada PAS."

Demikianlah seruan Naib Presiden PAS, Husam Musa (gambar kiri) kepada orang Melayu, sebelum menambah, "Dan jika sekiranya PAS boleh mempunyai 60 kerusi parlimen, PAS boleh jadi satu ganti untuk UMNO untuk menubuhkan satu kerajaan yang memberi kestabilan politik kepada negara."

Beliau berkata sedemikian dalam satu forum berjudul "Cabaran Transformasi Parti Politik: Ke arah Pertengahan dalam Kemajmukan", semalam.  Forum anjuran Jawatankuasa Hak Civil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (CRC-SCAH) ini membariskan panelis Pengarah Eksekutif Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) Ooi Heng, dan Lee Ban Chen, pemerhati politik, selain Husam Musa.

Berucap di depan kira-kira 80 orang hadirin dari kaum Melayu dan Cina, Husam Musa mengakui bahawa orang Melayu masih terperangkap dalam dilema ketika berdepan dengan senario politik terkini.

"Masalah dengan orang Melayu ialah, kerana mereka bimbang, hasil daripada mainan media mainstream, (bahawa) kalau berlaku perubahan politik, kedudukan orang Melayu sebagai teraju utama politik negara akan terjejas ataupun tidak.  Mereka rasa dengan perubahan baru, ada kesangsian, kerana orang Melayu lazimnya, mereka akan berhati-hati memasuki territory baru, memasuki sempadan perairan yang baru.  Mereka lebih meletakkan rasa bimbang lebih tinggi daripada rasional berfikir yang biasa," jelasnya.

Husam Musa mengingatkan, kebimbangan Melayu semakin ketara seandainya diapi-apikan, ataupun dibuat kenyataan yang kurang bijaksana.  Beliau meneruskan, seandainya kebimbangan Melayu gagal dileraikan, maka PRU akan datang mungkin berakhir dengan ketidakseimbangan dalam Pakatan Rakyat, iaitu kerusi bukan Melayu yang terlalu banyak.

Beliau mengambil contoh pilihan raya negeri Sarawak yang berakhir pada April 2011 sebagai indikator terbaru untuk politik negara kita.  Keputusan PRN Sarawak memperlihatkan peningkatan sokongan Cina terhadap Pakatan Rakyat sebanyak 15.8% kepada 75.4%, sementara penurunan 4.6% dari kalangan Melayu dan peningkatan 6.3% daripada Bidayuh dan Kadazan.  Seandainya pola ini menular kepada negeri-negeri seperti Sabah, Johor, Negeri Sembilan dan sebagainya, maka PR mampu meraih lebihan 27 kerusi, selain 82 yang dimenangi ketika PRU ke-12 - membawa jumlah kepada 109 kerusi, tiga kerusi lagi diperlukan untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Untuk beliau, PAS kini memikul tugas untuk mendapatkan semaksimum kerusi Melayu yang mungkin, supaya membentuk sebuah kerajaan Pakatan Rakyat yang stabil dan seimbang, untuk perubahan politik yang mantap.

Politik pertengahan sinonim kepada Islam yang sebenar

Sebelum ini, Husam Musa menyatakan dalam ucapan beliau bahawa politik pertengahan adalah sesuatu yang sudah sinonim dengan Islam yang sebenar.

"Islam yang sebenar sinonim dengan pertengahan," katanya, sambil memetik ayat Quran, "Kami, kata Allah, telah menciptakan kamu umat Islam sebagai umat yang pertengahan."  Husam meneruskan, "Pertengahan adalah sinonim dengan gerakan Islam yang sebenar.  UMNO ektrem kerana ia tak mengikut Islam.  Dan kerana itu PAS lawan UMNO."

Beliau berkata dirinya tidak boleh menerima dasar yang diskriminatif, misalnya apabila kaum lain seperti Cina dan India yang miskin dinafikan scholarship (biasiswa).  Beliau menjelaskan bahawa beliau tidak dapat menerimanya bukan kerana dasar itu menentang Cina, tetapi menentang keadilan.

Beliau menjelaskan, implikasinya terhadap jiwa seseorang anak itu mungkin menjadikan anak tersebut berasa dendam dan marah, dan ia adalah tidak bagus untuk pembentukan masyarakat yang bersatu-padu; dan beliau menganggap dasar tersebut adalah menentang Islam, untuk dirinya.

Beliau menjelaskan bahawa konsep Islam adalah mudah, "Kalau kamu berlaku adil, kamu akan sejahtera dan aman."  EXCO Kerajaan Negeri Kelantan juga membangkitkan isu loyalti minyak, dengan dakwaan bahawa diskriminasi yang diamalkan UMNO-BN bukan sahaja berdasarkan kaum, tetapi Melayu di Kelantan turut menjadi mangsa.

Ulamak dan Profesional yang benar

Pengarah Eksekutif KPRU, Ooi Heng ketika mengulas Muktamar PAS ke-57 yang baru melabuh tirai ini berkata, "PAS bukan lagi cuma berbicara tentang Melayu Islam, tetapi berbicara tentang Islam Malaysia."

Untuk Ooi Heng (gambar kanan), adalah tidak bermakna untuk mengkategorikan pemimpin dalam PAS mengikut ulamak dan profesional.  "Saya rasa untuk move (bergerak) ke depan, perbincangan itu tidak sepatutnya berkisar kepada ulamak, profesional ke, aktivis ke apa...sepatutnya kalau kita nak bincang, kita bincang, dalam kalangan ulamak, siapa yang berpengetahuan dan siapa yang kurang berpengetahuan.  Siapa yang nama ulamak, benar-benar ulamak; siapa yang nama ulamak, sebenarnya bukan ulamak.  Dalam profesional, siapa yang benar-benar profesional, siapa sebenarnya yang bukan profesional sangat.  Siapa yang namanya profesional, dia benar-benar profesional; dan siapa yang namanya profesional, sebenarnya dia langsung tidak profesional..."

Baca: Perwakilan PAS berdiri teguh atas "lumpur ekstremisme"

Baca: Sokongan bukan Islam terhadap PAS diselubungi keraguan...

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>