2014-07-23 01:25am
 
EKSKLUSIF
 
Chua Soi Lek "nasihat" Anwar:
Akuilah saja kalau benar lelaki dalam video
 
Chang Teck Peng | Mar 24, 2011 12:28:54 pm
Kongsi |

Presiden MCA Chua Soi Lek "menasihati" Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim supaya jangan bersilat lidah lagi, sebaliknya memberanikan diri untuk mengakui, jikalau benar dirinya lelaki dalam klip video seks yang ditayangkan kepada media pada 21 Mac 2011.

"Saya juga letak jawatan kerana benda ini satu ketika dahulu... Jadi saya rasa, kalau benar itu beliau (Anwar), beliau seharusnya mempunyai keberanian dan moral untuk mengakui, dan bukan bersilat lidah sebaliknya," kata Chua Soi Lek (gambar kiri) yang mengakui bahawa dirinya masih belum menonton klip video seks tersebut, malah tidak tahu sejauh mana benar kandungan klip video tersebut.

Demikianlah jawapan yang ringkas daripada Chua Soi Lek kepada soalan yang diajukan MerdekaReview, dalam satu majlis dialog bersama pelajar Malaysia di Taipei, Taiwan, semalam.  Soalan yang dilontarkan MerdekaReview sebenarnya berbunyi, apakah pendirian MCA terhadap penggunaan taktik sedemikian (video seks) untuk menumpaskan musuh politik.

Pada Januari 2008, Chua Soi Lek membuat pengumuman untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Kesihatan, ahli parlimen Labis dan semua jawatan partinya dalam MCA, termasuk Naib Presiden, Pengerusi MCA Johor dan Ketua Bahagian MCA Batu Pahat, lantaran pendedahan vcd skandal seks yang melibatkan dirinya.  Bagaimanapun, perletakan jawatan ahli parlimen beliau tidak "berkesan", didakwanya ekoran kesilapan teknikal.  Pada tahun 2010, Chua Soi Lek kembali sebagai Presiden MCA, dalam pemilihan semula partinya, setelah menewaskan Ong Tee Keat dan Ong Ka Ting.

Satu klip video seks ditayangkan kepada media di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur, pada 21 Mac.  Orang yang menggelar dirinya "Datuk T" menyasarkan Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim sebagai lelaki dalam klip video tersebut, malah mendesak agar Anwar dan isterinya Wan Azizah Wan Ismail berundur dari pentas politik selepas identiti lelaki tersebut dikenalpasti.

Bagaimanapun, Anwar Ibrahim menafikan bahawa dirinya lelaki dalam klip video pada hari itu juga, malah membuat laporan polis pada keesokannya.  Semalam, bekas Ketua Menteri Melaka, Rahim Thamby Chik, yang pernah dituduh merogol gadis bawah umur mengakui bahawa dirinya salah seorang daripada Datuk T, dalam satu sidang media.  Kebetulan, Rahim Thamby Chik turut menyeru agar Anwar mencontohi dirinya, yang meletak jawatan selepas terpalit dengan skandal seks.

Chua: BN akan menang Sarawak

Isu sama ada Chua Soi Lek akan bertanding, dan di mana beliau bertanding pada PRU akan datang turut menjadi buah mulut mereka yang mengambil berat perkembangan politik tanahair.  Chua Soi Lek sekadar menjawab, "belum tahu lagi" ketika ditanya hala tujunya dalam PRU akan datang.

"Jangan cemas, belum pun diketahui bilakah PRU berlangsung.  Mengapa cemas sangat?"

Chua Soi Lek bagaimanapun menganggap tiada kaitan antara pilihan raya negeri Sarawak dengan pilihan raya umum.  Malah, beliau menjangka Barisan Nasional tetap akan menang dalam pilihan raya negeri Sarawak, sungguhpun mungkin kehilangan undi Cina kerana faktor-faktor tertentu.

DUN Sarawak telah dibubarkan pada 21 Mac, dan penamaan calon pilihan raya akan berlangsung pada 6 April, dengan hari pengundian pada 16 April.

Turut menghadiri majlis dialog tersebut termasuklah Naib Presiden MCA merangkap Timbalan Menteri Belia dan Sukan Gan Ping Shou, ahli parlimen Alor Gajah Foong Chan Onn, ADUN Pulai Sebatang Tee Siew Kiong dan lain-lain lagi.

*Chang Teck Peng ialah Ketua Pengarang MerdekaReview, yang kini berada di Taiwan untuk melanjutkan pelajaran.  Diterjemah dan disunting dari teks asal.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>