2014-08-28 09:03pm
 
KOLUM
 
Tolonglah, jangan "1Malaysia" lagi!
 
Chang Teck Peng | Feb 09, 2011 05:27:56 pm
Kongsi |

Adalah menjadi kebiasaan Perdana Menteri Malaysia dari UMNO untuk mentadbir negara dengan slogan.  Bermula dengan "Bersih, Cekap dan Amanah" oleh Mahathir Mohamad, disusuli dengan "Work with me, not for me" oleh Abdullah Ahmad Badawi, dan kini "Satu Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan" oleh Najib Razak.  Slogan ini dilaungkan pada tempoh awal mereka mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan.

Tempoh pemerintahan Mahathir lebih panjang.  Selain "Bersih, Cekap dan Amanah", dekad kedua pemerintahan beliau menyajikan satu lagi slogan, iaitu "Wawasan 2020".  Oleh sebab wawasan ini melakar masa depan Malaysia yang bertunggakkan pembangunan ekonomi, ditambah pula situasi di mana kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia berada di atas paras 8% setiap tahun sebelum kemelut ekonomi tahun 1997, maka "Wawasan 2020" telah menjadi buah mulut media - sehingga mewujudkan satu suasana untuk maju ke depan - dan "Bersih, Cekap dan Amanah" dilupakan begitu sahaja.

Sebagaimana yang sedia maklum, slogan semestinya lebih sedap diperdengarkan - ia bukan slogan seandainya tidak bersifat demikian.  Slogan yang direka dengan halus biasanya sedap bunyinya - namun sering menerima tamparan sengit daripada realiti yang membingitkan.  Misalnya, sementara slogan "Bersih, Cekap dan Amanah" berkumandang di sisi telinga, skandal kewangan datang berpusu-pusu - skandal Bumiputra Malaysia Finance, MAMINCO, KWSP dan Makuwasa, Pan-Electric Industries, koperasi dan sebagainya.  Malah, berlakunya pembunuhan pegawai penyiasat di Hong Kong - mayatnya ditemui di pantai - ketika menyiasat skandal Bumiputra Malaysia Finance.

Saya tidak mengkaji sama ada slogan Mahathir dan Abdullah itu hasil kerja think-tank-nya selepas meneliti senario yang ada pada ketika itu, ataupun hasil kerja syarikat perunding yang dibayar dengan upah yang tinggi.  Seingat saya tiada laporan dan perbincangan dalam aspek ini.

Namun, "Satu Malaysia" oleh Najib telah diperlihatkan umum sebagai hasil daripada syarikat perunding.  Lebih malang, ia dikatakan meniru slogan "One Israel", produk daripada syarikat perunding.  Lantas kesesuaiannya dipertikaikan kerana ia adalah produk tiruan dari negara lain, malah slogan ini memperlihatkan kekosongan dalam maknanya, dan saling bertentangan.

Pertama, seandainya "1Malaysia "dikatakan sebagai wawasan untuk menyatu-padukan seluruh rakyat, persoalan yang timbul adalah, apakah kita berada dalam keadaan berpecah belah sejak mencapai kemerdekaan?  Keduanya, seandainya "1Malaysia" bertujuan untuk menghapuskan perbezaan antara kaum, apakah ia versi moden "Satu bangsa, Satu bahasa"?  Seterusnya, jikalau "1Malaysia" adalah untuk menghapuskan perbezaan layanan di antara kaum, maka apakah dasar yang telah digubal kerajaan untuk tujuan tersebut?

Najib gagal merungkaikan 1Malaysia

Prestasi Najib yang tidak terserlah dalam kerjaya politiknya menonjolkan lagi kekosongan "1Malaysia".  Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Utara Malaysia, Mohd Azizuddin Mohd Sani pernah menulis dalam kertas kerjanya pada tahun 2009:

"Apabila orang bertanyakan beliau (Najib) maksud konsep '1Malaysia', Najib gagal merungkaikannya dengan jelas.  Beliau tidak mampu untuk mengaitkan konsep '1Malaysia'-nya dengan matlamat partinya untuk kerajaan yang bersatu.  '1Malaysia' Najib tidak lain tidak bukan kelicinan pada bibir (slick concoction) mereka yang diupah dengan gaji yang tinggi." *1

Malah, dalam tulisan yang sama, Mohd Azizuddin Mohd Sani memetik artikel tulisan M.Bakri Musa - biarpun ditulis dengan berlapik, tetapi cukup untuk mendedahkan Najib yang sebenarnya.

"Ketika saya melayari laman Mahathir, Lim Kit Siang mahupun Anwar, saya tahu bahawa nada dan corak tulisan itu mencerminkan penulis sendiri.  Namun, laman 1Malaysia.com tidak membuatkan saya untuk rasa sedemikian.  Ia seolah-olah pandangan pihak ketiga, dan bukannya pandangan personal.  Tujuan utama blogging adalah untuk meluahkan pandangan personal.  Sesungguhnya, saya tidak mengharapkan Najib untuk menulis teks ucapannya sendiri.  Beliau mempunyai hal yang penting untuk diuruskan, misalnya mentadbir negara ini.  Namun, saya berharap beliau boleh memimpin penulis ucapannya, membaca teks muktamad-nya, dan menyunting jika perlu, supaya teks tersebut benar-benar mewakilinya, malah kelihatan seolah-olah tulisannya.  Beliau perlu memahat sesuatu untuk dirinya."

Walau bagaimanapun, tiada pertikaian bahawa "1Malaysia" adalah ideologi dominan yang cuba diwujudkan Najib.  Hubungan "hegemoni" yang diutarakan ahli falsafah Itali, Antonio Gramsci adalah hubungan pedagogic.  Selain sekolah, sebagai medan penting untuk pedagogic (mengasuh), media, persatuan agama, malah nama bangunan dan lorong turut dipergunakan golongan pemerintah untuk bukan sahaja membuktikan, malah mengekalkan pendominasiannya.

Jika dilihat kepada slogan 1Malaysia, semua media tradisional tidak jemu-jemu untuk mengulangi propaganda, malah "Klinik 1Malaysia", "Kem 1Malaysia", "Pertandingan Lumba Kereta 1Malaysia" dan aktiviti yang pelbagai, dianjurkan untuk memahat "1Malaysia" ke dalam ingatan.  Malah, pertubuhan sosial dan parti politik akan cuba sedaya upaya untuk menyelitkan slogan ini ke dalam kenyataan media mereka.  Ia seolah-olah doktrin - cukup jelas cubaan untuk menjadikan "1Malaysia" sebagai wacana hegemoni.

PR menyumbang untuk kejayaan Najib

Sungguhpun kosong dan cetek, namun cubaan Najib untuk menjadikan "1Malaysia" sebagai hegemoninya telah berjaya separuhnya.  Walaupun retorik yang tidak bermakna, tetapi berjaya memberi ilusi bahawa senario politik kesamarataan kaum akan menjelma dengan kemunculan Najib.  Selain penguasaan jentera negara dan alat propaganda oleh kerajaan BN/Najib untuk menjayakan 1Malaysia, Pakatan Rakyat turut menyumbang tanpa disedari.

PR gagal mengetengahkan wacana alternatif untuk menangkis "1Malaysia", sehingga "1Malaysia" tidak tertanding.  Pembentukan hegemoni tidak berjaya hanya dalam tempoh sehari dua, tetapi "revolusi yang berlanjutan".  Wacana alternatif perlu wujud untuk mencabar hegemoni dalam medan pergelutan ideologi, supaya wacana hegemoni boleh dileraikan.  Ketiadaan pesaing memberi kemenangan percuma kepada "1Malaysia".

Namun, apa yang harus menjadi muhasabah pemimpin PR adalah, mereka sering menyumbang untuk kejayaan Najib tanpa disedari.  Sejak "1Malaysia" diketengahkan, ramai ahli politik PR, dari pemimpin akar umbi yang tidak berjawatan hinggalah ADUN mahupun ahli parlimen - malah Lim Kit Siang yang sudah puluhan tahun berkecimpung dalam politik - sering menyebut ayat "mengingkari semangat 1Malaysia", dalam kenyataannya yang mengkritik penyelewangan dan kelemahan kerajaan BN.

Misalnya, pada 12 Mei 2010, ketika Lim Kit Siang (gambar kiri) menyelar perhimpunan "Melayu Bangkit" yang dijadualkan berlangsung pada keesokannya; ketika Lim Kit Siang mengkritik dasar kerajaan untuk menghalang penubuhan persatuan agama selain Islam di sekolah pada 26 Julai; ketika Lim Kit Siang mengecam Utusan Malaysia pada 20 Ogos, yang melaporkan bahawa nama Yang Dipertuan Agong telah digantikan dengan nama Ketua Menteri Pulau Pinang ketika doa khutbah Jumaat dibacakan - semuanya menyelitkan ayat "membelakangi prinsip 1Malaysia" dalam kenyataannya.

Mereka menganggap itu sindiran terhadap Najib ketika berkata sedemikian.  Pada hakikatnya, ia sebaliknya mengiktiraf keabsahan "1Malaysia" dan integriti Najib.  Ketika ahli politik PR menyelar kesilapan kerajaan BN dengan "mengingkari semangat/dasar/prinsip 1Malaysia", mereka sebaliknya mengasingkan kesilapan ini daripada Najib.  Ia menyampaikan mesej bahawa, Najib/"1Malaysia" adalah sesuatu yang betul/baik, cuma menteri kabinet, dan pegawai kerajaan tidak mematuhi/melaksanakan dasar Najib yang baik.

Dengan kata lain, segala-gala kesilapan ini bukan kesalahan Najib - walaupun sebagai ketua kerajaan, Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Najib sebenarnya harus memikul tanggungjawab terhadap segala kesilapan kerajaan.

Bagaimana wacana hegemoni ini boleh gagal, apabila ahli politik veteran seperti Lim Kit Siang pun mendukung "1Malaysia" oleh Najib?  Jadi, tolonglah, PR dan NGO yang sedar, jangan "1Malaysia" di sana sini lagi!

*1: Mohd Sani, M. A. (2009). The Emergence of New Politics in Malaysia: From Consociational to Deliberative Democracy. Taiwan Journal of Democracy, 5 (2): 97-125.

*Chang Teck Peng ialah Ketua Pengarang MerdekaReview.  Diterjemah dari teks asal yang disiarkan pada 28 Januari 2011.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>