2014-08-01 11:53pm
 
ANALISA
 
Apakah kebenaran akan ditemui, sebelum dilupai?
 
Chen Shaua Fui | Jan 05, 2011 08:00:33 pm
Kongsi |

Inkues kematian Teoh Beng Hock selama 17 bulan berakhir dengan tanda soal dalam "keputusan terbuka" (open verdict)-nya.  Apapun tuntutan keluarga Teoh atau perkembangan selanjutnya, keputusan ini sekurang-kurangnya memberi ruang untuk kerajaan Najib Razak menarik nafas, melanjutkan masa agar isu ini menjadi dingin.

Tragedi kematian Teoh Beng Hock berlaku pada 16 Julai 2009, hari ke-105 Najib Razak menerajui tampuk kerajaan.  Najib sempat bertemu dengan anggota keluarga Teoh, menjanjikan penubuhan inkues untuk menyiasat punca kematian Beng Hock, pada masa yang sama ditubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk meneliti sama ada proses siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut prosedur yang betul.

Sesungguhnya, keputusan inkues hari ini mungkin mencungkil ketidakpuasan, malah kemarahan sesetengah rakyat, tetapi setidak-tidaknya ia menolak teori bahawa Teoh Beng Hock membunuh diri - satu kenyataan yang tidak akan diterima sama sekali oleh keluarga Teoh, dan kebanyakan rakyat.  Pada masa yang sama, keputusan terbuka ini menolak teori bahawa Teoh Beng Hock dibunuh SPRM - membersihkan nama institusi yang sedang berusaha memperbaiki reputasinya.

Memberi masa kepada Najib

Paling penting, keputusan ini memberi masa untuk Najib untuk meredakan ketidakpuasan rakyat, khususnya pengundi Cina yang lebih tersentuh dengan tragedi ini.  Tuntutan penubuhan Suruhanjaya Diraja mungkin dipenuhi, tetapi semestinya mengambil masa untuk menentukan terma siasatan, mempertikaikan kelayakan calon anggota panelnya dan sebagainya.  Maka perbicaraan/pendengaran mungkin berlangsung/berulang untuk 17 bulan lagi, sebelum anggota mengambil masa untuk menulis laporan mereka.

Lebih-lebih lagi, seandainya hasil siasatan mendapati Teoh Beng Hock dibunuh, apakah kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat?  Kes VK. Lingam Tape menjadi rujukan terbaik.  Kerajaan akhirnya tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap nama-nama yang dicadangkan Suruhanjaya Diraja kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.  Sebaliknya, VK. Lingam pula kemudiannya berjaya memohon untuk mencabar penemuan Suruhanjaya Diraja.

Proses ini memakan masa beberapa tahun.  Persoalannya, sekiranya proses yang sama berulang dalam kes Teoh Beng Hock, apakah tidak mungkin ia berakhir selepas PRU ke-13?

Populariti Najib di kalangan Cina

Najib semestinya sedar bahawa popularitinya paling rendah dalam komuniti Cina.  Selepas tragedi kematian Teoh Beng Hock, kepuasan rakyat keturunan Cina terhadap Najib merudum dari 48% kepada 36%.  Malah, dalam beberapa PRK selepas mendiang Teoh Beng Hock meninggal dunia, isu ini tetap menjadi senjata Pakatan Rakyat untuk menyerang BN.

Bagaimanapun, soal selidik baru-baru ini menunjukkan bahawa kepuasan rakyat Cina terhadap prestasi Najib mencatat 54%, dan hanya 31% rakyat Cina tidak berpuas hati dengan Najib.  Fenomena ini mungkin disebabkan penyejukan bahang isu ini, kerana telah lama berlalu.  Kemungkinan juga program transformasi ekonomi Najib telah menawan hati sesetengah komuniti Cina.

Jadi, "keputusan terbuka" ini mampu melanjutkan lebih masa, supaya kerajaan Najib menarik nafas, dan menunggu masa isu ini menyejuk.  Bukan sahaja Melayu yang mudah lupa, tetapi Cina dan kaum lain juga.  Ia menjadi cabaran kepada penyokong keluarga Teoh, dan pembangkang sama ada masih bersemangat untuk memperjuangkan isu ini untuk jangka panjang.

Ini belum termasuk suara-suara yang mempertikaikan pembangkang, kerana dituduh menggunakan isu ini untuk mengaut kepentingan politik.  Persoalannya, apakah kebenaran akan ditemui, sebelum dilupai?

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor, MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>