2014-07-30 12:59pm
 
EKSKLUSIF
 
Hubungan Malaysia-Indonesia:
MCMC tunjuk ajar kepada media
 
Chen Shaua Fui | Dec 08, 2010 05:27:46 pm
Kongsi |

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Khalid Ramli menggariskan beberapa panduan kepada media elektronik, supaya mengambil kira beberapa perkara ketika melaporkan berita yang melibatkan warga Indonesia.

Dalam satu surat rasmi yang bertarikh 8 Disember 2010, pemegang lesen media disaran untuk lebih berhati-hati ketika melaporkan kes-kes yang melibatkan warga Indonesia, sama ada penglibatan warga Indonesia dalam kes jenayah atau sebagai mangsa dalam kes-kes penganiayaan yang mungkin mendatangkan pelbagai implikasi terhadap hubungan dua-hala antara Malaysia dan Indonesia.

Selain itu, Khalid Ramli juga menggesa agar media tidak mensensasikan kes-kes jenayah seperti rogol, penderaan dan penganiayaan dari segi kewarganegaraan mangsa-mangsa.

MCMC menggariskan beberapa panduan kepada stesen televisyen dan radio yang berada dalam bidang kuasanya, hari ini.  Syarikat media yang menerima surat "peringatan" ini termasuklah Media Prima, ASTRO, Bernama TV; stesen radio yang diberi panduan ini termasuklah BFM, STAR RFM Sdn Bhd dan sebagainya.

Beberapa insiden yang berlaku sebelum ini telah mencetuskan ketegangan hubungan antara Malaysia dengan negara jirannya Indonesia, termasuklah penderaan pekerja rumah tangga Indonesia.  Lebih-lebih lagi, Pasukan Gerakan Marin Malaysia telah menahan tiga orang pegawai Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia pada Ogos 2010, mencungkil ketidakpuasan pihak Indonesia, sehingga Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia dilempar najis.

Yang berikut adalah teks asal surat yang dihantar kepada syarikat media:

Y. Bhg Dato' Sri/Dato'/Tuan/Puan,

PELAPORAN MEDIA MENGENAI KES-KES MELIBATKAN RAKYAT INDONESIA YANG ADA IMPLIKASI TERHADAP HUBUNGAN DUA-HALA MALAYSIA DAN INDONESIA

Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

2. Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ingin menyarankan pihak pemegang lesen untuk lebih prihatin dan berhati-hati dalam melaporkan kes-kes yang melibatkan warga Indonesia, sama ada penglibatan warga Indonesia dalam kes jenayah atau sebagai mangsa dalam kes-kes penganiayaan yang mungkin mendatangkan pelbagai implikasi terhadap hubungan dua-hala antara Malaysia dan Indonesia.

3. Sehubungan itu, pihak Y. Bhg Dato' Sri/Dato'/Tuan/Puan adalah diminta untuk mengambil kira perkara-perkara berikut dalam membuat liputan dan pelaporan yang melibatkan warga Indonesia:

3.1 kes-kes jenayah seperti rogol, penderaan dan penganiayaan perlu dilaporkan   sebagaimana kes yang pernah berlaku dan tidak disensasikan oleh media cetak dan  elektronik dari segi kewarganegaraan mangsa-mangsa;

3.2 bahawa kes-kes jenayah sebegini bukanlah satu kes yang terpencil dan tidak hanya terjadi kepada warganegara Indonesia sebaliknya turut berlaku kepada warganegara Malaysia;

3.3 agar pelaporan yang dibuat tidak menimbulkan persepsi bahawa jenayah seumpama ini sering berlaku ke atas warganegara Indonesia;

3.4 memberi penekanan bahawa pihak berkuasa sentiasa mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang setimpal; dan

3.5 bahawa Kerajaan Malaysia tidak akan bertolak ansur dari segi tindakan undang-undang dan hukuman bagi jenayah sebegini.

5. Justeru, kerjasama dan perhatian pihak Y. Bhg Dato' Sri/Dato'/Tuan/Puan adalah diminta untuk melaksanakan permintaan tersebut di atas dengan seberapa segera.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
TAN SRI KHALID RAMLI


SENARAI EDARAN TV

MEDIA PRIMA BERHAD
MEASAT BROADCAST NETWORK SYSTEMS SDN BHD (ASTRO)
BERNAMA TV SYNERGY SDN BHD
TM NET SDN BHD
MOL MEDIA SDN BHD
ASIASPACES DIGITAL NETWORK SDN BHD
DE MULTIMEDIA SDN BHD
FINE TV NETWORKS SDN BHD
ASIA MEDIA SDN BHD
GREENLINE COMMUNICATION SDN BHD
AL HIJRAH MEDIA CORPORATION

SENARAI EDARAN RADIO

BFM MEDIA SDN BHD (89.9 FM)
STAR RFM SDN BHD (988 & RED FM)
KRISTAL HARTA SDN BHD (CATS FM)
HUSA NETWORK SDN BHD (MANIS FM)
SUARA JOHOR SDN BHD (BEST 104)
INSTITUT KEFAHAMAN ISLAMA MALAYSIA (IKIM)
MEDIA PRIMA RADIO NETWORK
AIRTIME MANAGEMENT & PROGRAMMING SDN BHD
ISY HOLDINGS SDN BHD (CAPITAL FM)
RIMAKMUR SDN BHD (SURIA FM)

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor, MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>