2014-07-25 09:39pm
 
KALEIDOSKOP
 
Wawancara Anwar bersama Sin Chew:
"Kit Siang jadi Timbalan kalau saya jadi PM"
 
Lim Hong Siang | Nov 30, 2010 04:10:18 pm
Kongsi |

"Kit Siang jadi Timbalan kalau saya jadi PM", demikianlah tajuk laporan wawancara bersama Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim, disiarkan Sin Chew Daily pada 27 November 2010.  Wawancara bersama Ketua Pembangkang Parlimen ini dijalankan sebelum Kongres Nasional PKR membuka tirai, mengisi ruang kira-kira 1/4 daripada muka surat ke-17 akhbar terlaris di masyarakat Cina ini.

Laporan Sin Chew bermula sebegini, "*Penasihat PKR Anwar Ibrahim yakin bahawa Pakatan Rakyat akan menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.  Pada masa yang sama, (beliau yakin) bukan sahaja empat kerajaan negeri yang sedia ada mampu dipertahankan, malah PR boleh merampas semula kerajaan negeri Perak, dan mengambil-alih kuasa kerajaan negeri Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak."

Beliau berkata, seandainya PR menawan Putrajaya, beliau akan menyandang jawatan Perdana Menteri, dan orang yang bakal menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah **Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Pakatan Rakyat mengamalkan sistem demokrasi.  Tiada percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan seandainya orang Cina menjawat Timbalan Perdana Menteri, dan ini juga bukan satu penentangan terhadap orang Melayu."

PRU 13 sebelum Jun 2011

Laporan wawancara Sin Chew ini kemudiannya menumpu kepada persiapan Pakatan Rakyat ketika berdepan dengan PRU ke-13.  Anwar meramalkan bahawa PRU ke-13 akan diadakan sebelum Jun 2011, atau dijalankan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.

Menurut laporan Sin Chew, Anwar Ibrahim berkata PR telah menghampiri penghujung dalam rundingan pembahagian kawasan pengundian, malah di Sarawak, PR telah mencapai muafakat untuk 95% kerusi.

Laporan wawancara tersebut kemudian terbahagi kepada lima bahagian, dengan tajuk kecil seperti "Kuasa ketiga pro-Barisan Nasional", "Aktiviti PR di Johor mendapat sambutan yang hangat", "Pemilihan langsung PKR bukan sandiwara", "PR terus kukuh biarpun tanpa Anwar" dan "Azmin bukan bermaksud untuk mencantas mereka yang berbeza pendapat".

"Penjara? Anwar ada percaturan"

Sehari sebelum Sin Chew Daily, Oriental Daily juga sempat menemuramah Anwar Ibrahim.  Wawancara ini disiarkan pada 26 November di muka surat depan, bertajuk "Penjara? Anwar ada percaturan", dengan kandungannya dimuatkan dalam muka surat A6 dan A7 dalam akhbar berbentuk tabloid tersebut.

Tumpuan laporan wawancara Oriental Daily ini diberikan kepada persiapan PR untuk berdepan dengan PRU akan datang, dan Anwar Ibrahim mengulas dilema UMNO sama ada untuk menyabit atau tidak kesalahan liwat terhadap dirinya.  Beliau dilaporkan berkata, UMNO agak bimbang terhadap penentangan yang bakal tercetus seandainya Anwar dijatuhkan hukuman.  Pada masa yang sama, UMNO juga khuatir ancaman yang dibawa Anwar jikalau beliau tidak dipenjarakan.

Anwar berkata, BN kehilangan undi Melayu pada PRU tahun 1999 apabila melontarkan tuduhan liwat terhadap dirinya, dan beliau berkata peristiwa ini mungkin berulang dan PR mungkin memperolehi lebih undi Melayu.

Dalam wawancara bersama Oriental Daily, Anwar Ibrahim yakin bahawa PR mampu merampas semula kerajaan negeri Perak, yang dimenangi pada PRU ke-12, tetapi digulingkan kerana lompat parti tiga orang ADUN PR pada tahun 2009.  Beliau juga mengulas kerjasama antara DAP dan PAS, yang sudah banyak diperbaiki berbanding zaman dahulu.

Membeli baju di Reject Shop

Dalam wawancara tersebut, Anwar juga menyentuh keluarganya, termasuk isterinya Wan Azizah Ismail dan anak sulungnya Nurul Izzah.  Beliau merakamkan penghargaan terhadap Wan Azizah - isterinya yang dipandang serong, disindir dan dihina ketika beliau berada dalam penjara.

Anwar juga menceritakan kisah lama apabila ahli keluarga melawatnya di penjara.  Mereka bersembahyang, bernyanyi bersama - waktu bersama disarat dengan kegembiraan tanpa tangisan atau bermuka muram.

Beliau berasa bangga terhadap anaknya, yang sanggup mengamalkan cara hidup yang berjimat-cermat, malah mendedahkan bahawa keluarganya sering pergi membeli baju bersama di Reject Shop.

Bahagian kedua wawancara Oriental Daily dengan Anwar disiarkan pada 27 November, di muka surat A10.  Dalam laporan wawancara tersebut, Oriental Daily memetik pengakuan Anwar bahawa dirinya seorang yang berlembut hati dan mudah mempercayai orang lain.  Beliau juga menyanggah tuduhan bahawa PKR sama dengan UMNO, di samping mengimbas perbualannya dengan Lim Kit Siang ketika Lim Guan Eng dipenjarakan.

*Anwar Ibrahim menyandang jawatan Ketua Umum PKR mengikut laman rasmi PKR.

**Lim Kit Siang menyandang jawatan Ketua Parlimen DAP mengikut laman rasmi DAP.

****Kaleidoskop adalah "digest" kandungan media cetak.  Akhbar yang dirujuk adalah Sin Chew Daily pada 27 November 2010 dan Oriental Daily pada 26 dan 27 November 2010.  Kedua-dua akhbar bahasa Cina ini menemuramah Anwar Ibrahim, baru-baru ini.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>