2014-07-29 10:33am
 
EKSKLUSIF
 
Antara GM Healthcare, Sunshine Fleet dengan Bank Rakyat...
 
Neo Chee Hua | Nov 24, 2010 05:10:56 pm
Kongsi |

Menurut dokumen yang diperolehi MerdekaReview, GM Healthcare telah membelanjakan sejumlah RM74.51 juta untuk projek Hospital Shah Alam sehingga kini.  Jikalau ditolak RM35 juta yang diperolehi daripada Jabatan Kerja Raya, ia bererti GM Healthcare telah membayar RM34.51 juta kepada Tengku Arafiah, penasihatnya dan Sunshine Fleet Sdn.Bhd.

Angka ini termasuklah hutang RM6 juta yang perlu dibayar Tengku Arafiah kepada kontraktor sebelum ini, Isyoda Sdn.Bhd; malah GM Healthcare pernah memulangkan up-front sejumlah RM10 juta kepada JKR.  Sebagaimana yang dimaklumkan, Sunshine Fleet telah menggunakan wang up-front ini, dan apabila wang ini perlu dibayar balik kepada JKR, GM Healthcare pula membantu untuk menjelaskan terlebih dahulu.

Selain itu, GM Healthcare juga membantu Sunshine Fleet untuk membayar RM5.05 juta kepada Isyoda sebagai pampasan kerana membatalkan kedudukan Isyoda sebagai sub-kontraktor.  Di samping itu, GM Healthcare turut membuat bayaran tunai sejumlah RM2.563 juta kepada "penasihat" Tengku Arafiah, wang tunai RM5.35 juta kepada Tengku Arafiah dan wang tunai RM4.90 juta kepada Sunshine Fleet (termasuk RM500 ribu kepada Sunshine Fleet selepas perjanjian dipersetujui).

Sementara itu, Tengku Arafiah telah mengeluarkan RM3.70juta dari akaun Maybank tanpa pengetahuan GM Healthcare, malah mendapat RM2 juta melalui kontraktor kelas F.

Maka, GM Healthcare memfailkan kes ke dalam mahkamah untuk wind-up Sunshine Fleet pada 23 April 2010.  GM Healthcare menuntut RM10 juta daripada Sunshine Fleet, dan mahkamah boleh "wind-up" syarikat ini seandainya bayaran gagal dilakukan.  Tetapi, Mahkamah Tinggi akhirnya menutup fail kes ini pada 23 September berikutan ketidakhadiran GM Healthcare setelah dua kali dipanggil untuk hadap ke mahkamah.

Sebagaimana yang diketahui, RM10 juta ini adalah wang up-front yang dipulangkan kepada JKR.  GM Healthcare membuat bayaran ini terlebih dahulu setelah diminta pihak Sunshine Fleet.

Ketika dihubungi MerdekaReview, Ketua Pegawai Eksekutif GM Healthcare Elvin Toh berkata RM10 juta ini adalah wang "up-front" yang dibekalkan JKR di bawah jaminan bank (Bank Guarantee) semasa Isyoda menjadi sub-kontraktor.  Namun, wang ini telah digunakan Sunshine Fleet, dan kini wang ini perlu dipulangkan kepada JKR.  Dalam perjanjian antara GM Healthcare dengan Sunshine Fleet, GM Healthcare membantu untuk memulangkan RM10 juta ini terlebih dahulu kepada JKR, namun Sunshine Fleet belum membayar balik wang ini sehingga sekarang.

Individu muflis dilantik sebagai COO

Di samping itu, menurut dokumen yang diperolehi MerdekaReview, Tengku Arafiah telah melantik individu yang muflis untuk menyandang jawatan tinggi dalam pengurusan Sunshine Fleet, dan tindakan ini agak meragukan.

Menurut satu dokumen yang ditandatangani Tengku Arafiah pada 1 November 2009, Tengku Arafiah selaku Pengerusi Eksekutif Sunshine Fleet telah melantik Abu Hassan Ibrahim untuk menyandang jawatan COO Sunshine Fleet.  Menurut surat tersebut, bidang kuasa Abu Hassan adalah membantu dan memantau Operating Committee, dan melaporkan kepada Collaboration Management Committee.

Collaboration Management Committee ini dibentuk bersama GM Healthcare dan Sunshine Fleet khas untuk projek Hospital Shah Alam, dan masing-masing mempunyai tiga orang wakil dalam jawatankuasa tersebut.  Operating Committee pula dibentuk Sunshine Fleet, dan bertanggungjawab untuk melaksanakan keputusan yang dibuat dalam Collaboration Management Committee.

Namun demikian, menurut maklumat yang didapati daripada Jabatan Insolvensi Malaysia, nama Abu Hassan Ibrahim tersenarai sebagai individu yang muflis pada Ogos 2007, dan pemohonnya (petitioner) adalah Bitumix Granite Sdn Bhd.  Apa yang meragukan, mengapa seorang individu yang muflis boleh dilantik untuk menyandang jawatan COO Sunshine Fleet?

RM8 juta dibekukan Bank Rakyat

Sebagaimana yang diketahui, JKR pada asalnya membayar wang kepada sub-kontraktor melalui Bank Rakyat, yang diamanahkan GM Healthcare.  Namun demikian, wang sejumlah RM8 juta telah dibekukan Bank Rakyat sehingga kini.

Selepas perselisihan berlaku antara Sunshine Fleet dengan GM Healthcare, Sunshine Fleet telah mendapatkan perintah mahkamah pada 20 Julai 2010 untuk menghalang JKR daripada terus membayar kepada GM Healthcare, malah wang tersebut dibekukan dalam akaun Bank Rakyat.

Hakim Mahkamah Tinggi, Lee Swee Seng meluluskan permohonan Sunshine Fleet, mengarahkan agar Bank Rakyat berhenti membayar kepada GM Healthcare sehingga perselisihan komersial antara Sunshine Fleet, GM Healthcare dan Bank Rakyat diberi kata dua.

Menurut pihak Sunshine Fleet, Bank Rakyat perlu menyalurkan wang dari JKR kepada Sunshine Fleet setelah menolak pinjaman kepada projek Hospital Shah Alam.  Namun, pihak GM Healthcare pula menuduh Sunshine Fleet mencampur-tangan dalam urusan antara syarikatnya dengan Bank Rakyat.

Setelah JKR menyalurkan wang kepada Bank Rakyat, wang tersebut harus digunakan GM Healthcare untuk menanggung upah buruh, pembelian bahan pembinaan dan membayar kepada kontraktor kecil - jikalau mengikut prosedur yang betul, kata Elvin Toh kepada MerdekaReview.  Namun demikian, Tengku Arafiah pula mengarahkan Bank Rakyat agar terus membayar kepada Sunshine Fleet, dan jangan disalurkan kepada GM Healthcare, menurut Elvin Toh. (Bahagian kedua)

Bahagian pertama: Tuntutan wang berterusan:  Sub-Kontraktor akhirnya adu kepada Sultan

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview.  Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>