2014-04-17 06:42pm
 
KALEIDOSKOP
 
Satu Perhimpunan Agung UMNO, tafsiran berbeza?
 
Lim Hong Siang | Oct 26, 2010 06:25:30 pm
Kongsi |

"Henti persoal Melayu - PM", demikianlah tajuk yang terpampang nyata pada muka depan Mingguan Malaysia, setelah Perhimpunan Agong UMNO ke-61 melabuh tirai pada 23 Oktober 2010.  Ia mungkin "satu lagi perhimpunan yang agak sama sebagaimana perhimpunan yang lalu" untuk pembaca Utusan Malaysia, tetapi persepsi ini tidak dikongsi media cetak bahasa Cina.

Ia bermula dari ucapan Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin ketika merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, pada malam 19 Oktober 2010.  Sementara Utusan Malaysia menonjolkan tajuk "UMNO tetap pertahan hak Melayu"; akhbar bahasa Cina terbesar, Sin Chew Daily pula memilih tajuk "Muhyiddin: Pastikan kemakmuran dikongsi bersama - UMNO hormati hak kaum lain".

Mungkin bukan salah namanya, cuma "perspektif yang berbeza".  Kedua-duanya terkandung dalam teks ucapan Muhyiddin Yassin, tetapi fokus ditumpukan pada tempat berlainan - mengikut citarasa media yang berbeza.  Hak Melayu tetap dipertahankan, sementara UMNO tidak menzalimi kaum yang lain kerana bersifat "inklusif" - hujah sedemikian menjadi garis sempadan perbahasan perwakilan, yang kebanyakannya tampil bersama teks yang tersedia di depan mereka.

Isyarat dari UMNO

Maka, hujah-hujah ini ditafsir sebagai isyarat dari UMNO, bahawa parti itu sedang menuju ke arah transformasi.  Misalnya, Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zhong), Pheng Yin Huah berkata, UMNO sedang berusaha sepenuhnya untuk menggerakkan tranformasi fikrah bangsanya.

Peniaga Cina yang rapat dengan Najib ini berkata, mungkin ada yang menganggap perubahan ini sebagai strategi untuk berdepan dengan pilihan raya, tetapi perlu diakui bahawa pemikiran ini harus diterapkan di negara ini - dulu, kini dan masa depan.  Kenyataannya dalam satu majlis ini ditonjolkan pada muka surat ke-3, Sin Chew Daily, 24 Oktober.

Dalam satu kolum di China Press pada 23 Oktober 2010, penulisnya Yen Fong melihat "ada sikit berbeza Perhimpunan Agung UMNO tahun ini", berbanding tahun-tahun yang lalu.  Yen Fong mengimbas bagaimana perhimpunan UMNO yang lalu sarat dengan kenyataan yang ektrem dan tidak rasional, kemudian menggambarkan bagaimana ia berubah menjadi "rasional dan tenang" tahun ini - sesuatu yang dinanti-nantikan untuk lebih daripada setengah abad.

Yen Fong turut memuji bagaimana Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berucap dengan rasional, berbeza dengan kenyataan beliau yang "kebudak-budakan"-nya dahulu.  Malah, Yen Fong melihat Khairy telah bersedia untuk menjadi pemimpin untuk semua kaum, sebagaimana yang diperlihatkan daripada Presiden-nya, Najib Razak.

Mampukah Khairy menerajui perubahan?

"Keterbukaan" ini bagaimanapun dibaca sebagai tekad Ketua Pemuda dan Presiden UMNO, memandangkan masih ada perwakilan yang tidak menari mengikut rentak Najib.  Perlu diakui bahawa penampilan Khairy Jamaluddin pada kali ini menawan hati ramai penganalisa dalam akhbar Cina.

Dalam sebuah artikel kolum berjudul "Bilakah perubahan tiba?" yang disiarkan pada 22 Oktober, Editor Eksekutif Sin Chew Daily, Lim Mun Fah (gambar kiri) menyifatkan Khairy sedemikian, "Dari seorang nasionalis yang agresif, menjadi seorang Ketua Pemuda yang paling sederhana.  Perubahan Khairy bagaikan cahaya dalam kepulan awan yang kelabu, umpama matahari beberapa hari ini - kabur, kemerahan, cantik sungguh, romantik sangat, tetapi jauh".

Sementara itu, dalam satu kolum yang tersiar di Sin Chew Daily pada 23 Oktober berjudul "Khairy berjuang bersendirian?", Hwn Yaul Len melihat ada perubahan yang berlaku dalam Khairy itu sendiri selepas tsunami politik tahun 2008.

Hwn Yaul Len menyifatkan Khairy sebagai "nothing to lose" (tiada apa-apa untuk kehilangan), menjelaskan mengapa Khairy boleh menyuarakan "kebenaran yang enggan diluahkan ramai orang", mengungkit kelemahan parti untuk muhasabah bersama, malah memberi amaran kepada pimpinan bahawa BN akan kehilangan 50 kerusi parlimen lagi seandainya kehilangan sokongan pengundi Cina.

Cuma, Hwn Yaul Len mempertikaikan, sejauh manakah pandangan Khairy (gambar kanan) mendapat restu daripada perwakilan?  Sejauh manakah keikhlasan mereka untuk melakukan perubahan, dan sanggup berkongsi kek ekonomi bersama kaum lain?  Malah, Hwn melontarkan satu soalan sebelum mengakhiri artikelnya, mampukah Khairy memainkan peranan untuk menerajui perubahan Pemuda UMNO?

Hwn memberi jawapannya, masih belum tentu lagi - kerana sama ada Khairy mampu menyandang jawatan Ketua Pemuda pada penggal yang akan datang masih menjadi tanda soal.

Najib mengorak langkah perubahan

Begitu juga dengan Najib Razak, apabila penganalisa dari media cetak bahasa Cina menilai beliau.  Hampir semua penganalisa politik dalam akhbar Cina yakin dengan tekad Najib untuk membawa transformasi kepada parti, tetapi usaha yang murni ini mungkin terhalang kerana "bukan semua pimpinan akar umbi ingin berubah".

Hwn Yaul Len cuba mengolah dengan mendakwa bahawa masih ramai orang Melayu yang tidak yakin dengan diri untuk bersaing dengan kaum lain di gelanggang yang sama rata.  Maka mereka yang bergantung kepada kerajaan khuatir dirinya akan tenggelam dalam lautan persaingan bebas, seandainya dasar afirmatif dimansuhkan.

Hwn Yaul Len menganggap Barisan Nasional tidak akan berubah, selagi UMNO tidak berubah.  Namun, untuk Hwn Yaul Len, agak sukar untuk UMNO berubah.  Maka, beliau menyimpulkan bahawa Najib telah mengolak langkah pertamanya, sebaliknya langkah UMNO agak berat untuk menuju ke arah tranformasi.

Cuma, satu Malaysia mungkin terpinga-pinga, jikalau menilai penampilan Najib Razak melalui Utusan Malaysia, yang menonjolkan tajuk "Henti persoal Melayu-PM".  Najib dipetik berkata, "Kita tak marah orang lain dapat keuntungan, kita tak marah orang lain kaya, malah yang kaya itu pun kerana UMNO.  Betul tak?  Siapa bagi lesen beras, lesen gula, lesen IPP, lesen satelit?  Tak ke UMNO yang bagi."

"Jadi kalau kita nak tolong bumiputera, jangan pula marah.  Ini baru adil.  Hak orang lain dapat dia senyap, hak kita nak bagi (bumiputera), dia komplen.  Tak bolehlah macam itu, adilkah semua ini?"

Ironinya, media bahasa "orang lain" ini tetap bersangka baik terhadap "tranformasi" beliau, sepenuhnya.

*Kaleidoskop adalah "digest" kandungan media cetak.  Akhbar yang dirujuk bertarikh dari 20 hingga 24 Oktober 2010, berkisar pada Perhimpunan Agong UMNO ke-61.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>