2014-04-23 05:11pm
 
ANALISA
 
Belanjawan 2011 tanpa istilah "Rasuah"
 
Lim Hong Siang | Oct 15, 2010 10:43:15 pm
Kongsi |

Sesungguhnya ia Belanjawan yang mempersiap-sediakan Barisan Nasional untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.  Malah, mungkin sesetengah ahli Dewan Rakyat yang sarkastik akan menyindir bahawa ianya satu belanjawan yang dihantui bayang isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor.

Ia sudah terbukti dalam dewan itu sendiri, apabila nama "Rosmah" dilaungkan ketika Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Najib Razak (gambar kiri) mencadangkan pemansuhan duti import ke atas kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan, pada kadar 5% hingga 30% - antaranya, pewarna rambut.  Malah, apabila Najib mengumumkan peruntukan RM111 juta kepada PERMATA, sekali lagi dewan menjadi gempar dengan nama Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Program ini.

Belanjawan tahun 2010 yang bertemakan "Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi" ini mencatat angka peruntukan tertinggi dalam sejarah, iaitu RM212 bilion, 2.8% lebih tinggi berbanding peruntukan Belanjawan tahun 2010.  Defisit kerajaan persekutuan dijangka berkurangan kepada 5.4% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2011, iaitu RM45.481 bilion.

Gula-Gula PRU

Beberapa peruntukan disalurkan kepada kawasan kampung atau desa, misalnya penambahan elaun bulanan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persekutuan (JKKP), Tok Batin, Pengerusi JKKK Orang Asli dan Pengerusi Kampung Baru kepada RM800, berbanding RM450 sekarang.  Bukan itu sahaja, malah elaun imam, guru KAFA turut dinaikkan.

Sasarannya jelas apabila Najib menyatakan "kerajaan tidak akan meminggirkan rakyat luar bandar" - lantas RM6.9 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan luar bandar, meliputi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Tanpa pertikaian, Belanjawan tahun 2011 berbaur politik.  Ia semakin terhidu apabila Najib mengambil kesempatan untuk mencuit Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim (gambar kanan) tanpa menyebut nama, mendakwa bahawa kerajaan BN "bukan saudagar mimpi yang memperdagang dongengan".  "Kita adalah parti pembina harapan yang berpijak di bumi nyata," katanya sambil meyakinkan rakyat dengan "kita tidak mahu mewariskan negara yang bermasalah kepada generasi yang akan datang".

Persoalannya, apakah Belanjawan tahun 2011 ini membawa Malaysia kembali ke landasan yang tepat untuk meluncur ke arah kejayaan?

Projek mega kembali

Antara yang paling dipertikaikan dalam Belanjawan 2011 ini adalah pembinaan menara 100 tingkat yang tertinggi di Malaysia.  Projek bernama "Warisan Merdeka" yang menelan RM5 bilion ini dibangunkan Permodalan Nasinal Berhad, dan dijangka akan siap pada tahun 2015.

Sementara itu, ahli parlimen Bukit Bendera-DAP, Liew Chin Tong (gambar kiri) mendedahkan bahawa bangunan Sri Perdana (kediaman rasmi PM) di Putrajaya bakal menelan RM65 juta untuk kos tambahan dan pengubahsuaian, menjelaskan bagaimana peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri memecah rekod dengan catatan RM15.8 bilion.

Seandainya kedua-dua kes ini dibaca bersama, maka akan didapati bahawa kerajaan BN masih tidak mengambil iktibar daripada "projek mega" zaman Perdana Menteri ke-empat, Mahathir Mohamad.  Projek mega seperti Putrajaya misalnya, telah membebankan generasi akan datang dengan kos penyelenggaran yang terlalu tinggi.

Pembinaan projek mega semestinya memanfaatkan golongan kontraktor, yang menjadi asas kepada UMNO.  Najib cuba menghalalkan kesinambungan "projek mega" dengan "Semangat Malaysia Boleh", tanpa menyedari bahawa keghairahan untuk menghambat kemegahan pencakar langit inilah yang menjejaskan ekonomi Malaysia.

Wartawan Australia, M.Backman dalam bukunya Asia's Future Shock, mengulas situasi Malaysia dengan satu artikel berjudul "From Malaysia Boleh to Malaysia Bodoh".  Backman menganggap Malaysia memiliki kelebihannya yang tersendiri, kerana kaya dengan sumber semulajadi, malah telah mewarisi satu sistem yang moden dari tangan penjajah British.

Namun demikian, kelebihan-kelebihan ini telah dibinasakan, kerana dasar ekonomi yang lebih mementingkan pengagihan daripada penghasilan, hubungan etnik yang teruk, malah terlalu bermegah-megah dengan projek yang indah khabar dari rupa untuk mengubati perasaan inferior dirinya.  Mahathir pernah mengibaratkan menara Petronas KLCC sebagai kotak untuk si pendek, Abdullah Ahmad Badawi (gambar atas) pula ghairah dengan khayalan angkasa-nya.

Tiada istilah "Rasuah"

Tanah air kita seolah-olah terkena sumpahan sumber (resource curse), dilimpahi sumber yang terlalu lumayan, tetapi berakhir dengan pertumbuhan ekonomi yang lembik berbanding negara yang kekurangan sumber.  Cuba ambil Indeks Pembangunan Manusia (Human Development Index, HDI), Malaysia menduduki ranking dunia ke-59 pada tahun 1999, tetapi tergelincir ke tangga 63 pada tahun 2007, malah terus menjunam ke 66 pada tahun 2008.

Baru-baru ini, penganalisa politik-ekonomi, Soon Hoh Sing (gambar kiri, tengah) melancarkan bukunya yang berjudul "Ekonomi Malaysia yang kekok" (The Embarrassing Malaysian Economy).  Beliau sempat memetik beberapa angka, yang pada pandangan beliau cukup menggusarkan.  Pelaburan Malaysia di luar negara mencatat peningkatan dari RM22.1 bilion pada tahun 2006, RM38.2 bilion pada tahun 2007, kepada RM50.2 bilion pada tahun 2008.

Sebaliknya, kita dimaklumkan bahawa pelaburan asing langsung di Malaysia pula menjunam sebanyak 81%, dari US$7.32 bilion (RM23.47 bilion) pada tahun 2008, kepada US$1.38 bilion (RM4.43 bilion) pada tahun 2009.  Lebih ketara, pelaburan yang mengalir keluar pada tahun 2008 (RM50.2 bilion) lebih tinggi daripada pelaburan asing yang mengalir ke dalam Malaysia (RM23.47 bilion).

Apakah yang berlaku pada hakikatnya?  Sementara rakyat disuapkan dengan angka-angka yang memberangsangkan, jarang sekali tumpuan diberikan kepada Indeks Persepsi Rasuah (CPI).  Malaysia menduduki tangga ke-56 daripada 180 buah negara pada tahun 2009, setelah pelbagai langkah pembaharuan cuba diketengahkan oleh kerajaan Abdullah Ahmad Badawi selepas tsunami politik tahun 2008.

Apa yang menarik, istilah "rasuah" langsung tidak disebut dalam teks ucapan Najib Razak yang setebal 45 muka surat hari ini.  Jadi, agak jelas untuk kita - sejauh manakah iltizam kerajaan Najib untuk membanteras rasuah, jikalau dinilai dari teks ucapan tersebut.  Berbalik kepada persoalan, apakah ekonomi Malaysia akan meluncur semula di landasan yang betul dengan pembinaan menara 100 tingkat, pada masa yang sama enggan meneliti masalah rasuah yang berleluasa di Malaysia?

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>