2014-04-16 12:56pm
 
KHAS
 
Digugurkan sebagai calon PRU 2004:
Saya tahu Nik Aziz menyesal, Syed Husin Ali
 
Lim Hong Siang | Sep 24, 2010 12:21:01 pm
Kongsi |

Perbincangan dan perdebatan politik kebanyakan masanya menemui jalan buntu di Malaysia, apabila menyentuh "ideologi".  Ironinya, perbahasan sedemikian biasanya tidak mendalami intipati falsafahnya, sebaliknya dimatikan sekadar pada tahap "label" sahaja.  Perdebatan "Negara Islam" perlu dibubuhkan noktah untuk "mengelakkan pertikaian", malah calon PRU terpaksa digugurkan hanya kerana "berjiwa sosialis".

"Terus-terang saya sebut, saya tolak yang berjiwa sosialis... Ini kerana sejak zaman-berzaman apabila disebut sosialis ia dikaitkan sebagai adik sedikit daripada komunis.  Bila saya letak calon, saya hendak menang, jadi orang begini, saya tidak yakin dia akan menang."

Demikianlah kata-kata yang terkeluar dari bibir Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat (gambar kanan) ketika menolak cadangan untuk menurunkan Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali sebagai calon kerusi parlimen Kota Bahru, Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 2004.

Peristiwa ini dibangkitkan oleh wartawan MerdekaReview dalam satu wawancara bersama Syed Husin Ali di pejabatnya pada 16 September 2010.

"Itu tak usah timbulkan lagi... Saya tak nak benda ni...di..apa-kan..." kata Syed Husin Ali, yang mungkin khuatir peristiwa silam ini mencungkil pertikaian antara PKR dengan PAS dalam Pakatan Rakyat, seandainya dibangkitkan sekarang.

Permintaan Anwar untuk bertanding

Namun, peristiwa ini semestinya memahat dalam ingatannya, biarpun sudah enam tahun berlaku.

"Sebenarnya pada waktu itu saya tidak marah, tahu?  Saya tidak marah.  Tapi saya macam kesian, tahu?  Kesian pasal apa?  Macam Nik Aziz, dia mungkin tak sedar semua perkara yang berkaitan dengan isu itu.  Pasal waktu itu, saya tahu sendiri, ada golongan special branch, ada golongan dalam parti sendiri yang tak mahu saya bertanding di situ."

Beliau menyambung, "Yang kuat minta saya bertanding di sana, Anwar, (yang pada ketika itu berada) dalam penjara.  Dia hubungi macam-macam orang, mahukan saya bertanding.  Mula-mula saya tak mahu... Akhir sekali, saya pergi.  Jadi saya pergi, memang saya tahu ada tentangan-tentangan ini.  Jadi bila benda-benda ini berlaku, dengan mudah saya berundur.  Saya tidak fight for it (memperjuangkannya)."

Pendirian Mursyidul Am PAS pada ketika itu menyinggung sesetengah penyokong pembangkang, khususnya mereka yang berhaluan kiri dalam politik.  Keputusan PRU ke-10 menyaksikan prestasi Barisan Alternatif (BA) yang menjunam, sebaliknya DAP yang keluar dari BA berjaya kembali sebagai parti pembangkang terbesar dalam parlimen, dengan 12 kerusi dalam Dewan Rakyat.

Nik Aziz menyesal?

Tetapi, sesuatu berlaku kemudian.  "... tak lama lepas itu, Nik Aziz dia masuk hospital.  Saya pergi (dengan) ramai (kawan), jumpa dengannya.  Saya, Azmin, Tian Chua... ramai, dalam lima, enam orang pemimpin pergi.  Tapi bila sampai di situ, dia bercakap hanya dengan saya.  Dengan orang lain tidak..."

Syed Husin (gambar kanan) menambah, "Dan cara dia cakap itu, saya tahu dia menyesal.  Saya tahu dia menyesal, kan?  Dia sudah silap.  Begitu juga dengan Hadi..."

Setakat ini yang didedahkan oleh Syed Husin Ali, biarpun berkali-kali dipujuk wartawan untuk menceritakan kandungan perbualan antara dirinya dengan Nik Aziz ketika itu.  Bagaimanapun, beliau berkata adegan ini akan dimasukkan ke dalam bukunya, yang mencatatkan kisah penglibatan dan pengamatan dirinya sepanjang perjuangan politiknya.

"So, orang anggap saya ni orang yang tak ada agama, yang menentang agama dan sebagainya.  Bagi saya, yang benar, akhirnya akan benarlah, kan?" luahan Syed Husin Ali, sambil meneruskan, "Pasal ideologi yang dikaitkan kepada saya adalah ideologi yang dianggap bahaya dan musuh.  Sosialisme adalah berbeza dengan komunisme.  Tapi bila awak ni sosialis, (akan dituduh) komunis."

Nyaris-nyaris jadi guru agama

Namun, Syed Husin Ali menganggap dirinya seorang yang "kuat mengamalkan agama", lebih-lebih lagi dari latar belakang keluarganya.  Ibunya seorang guru agama, sementara bapanya seorang guru Quran, yang bekerja sebagai pembuat batu nesan.

"Saya nyaris-nyaris jadi guru agama dulu..." katanya, sesuatu yang mungkin di luar dugaan kebanyakan orang.  Beliau meneruskan, "Saya belajar di Johor, sampai ke peringkat yang boleh melayakkan diri saya untuk menjadi guru agama.  Nak pilih, nak jadi guru agama atau nak teruskan ke sekolah Inggeris?"

Akhirnya, Syed Husin Ali dihantar ke sekolah Inggeris, walaupun latar belakang keluarganya lebih "kuat agama".  Tetapi, apakah fahaman politiknya bertentangan dengan amalan dan nilai agamanya?

"...saya tak menganggap ini (kuat agama) bertentangan dengan dasar politik yang mahukan keadilan, atau dasar ekonomi yang mahu membela rakyat.  Kerana bagi saya, nilai agama itu mengajar supaya saya adil kepada semua.  Nilai agama ajar saya supaya adil kepada orang yang susah.  Langsung tak ada konflik bagi saya!" tegasnya.

Ia mungkin menjelaskan mengapa PKR, DAP dan PAS masih boleh berduduk semeja, biarpun mungkin berasal dari fahaman mahupun ideologi politik yang berbeza.  Nilai sejagat seperti mendukung demokrasi, keadilan dan kebebasan; menentang imperialisme, kezaliman, korupsi, kronisme dan nepotisme - telah menjadi arus perdana perjuangan politik, bukan sahaja pembangkang, bahkan juga pemerintah pada kadang-kalanya.

Masih relevankah perjuangan ideologi?

Keadaan sedemikian membawa kepada satu persoalan - apakah perjuangan ideologi masih relevan dalam politik tanahair?

"Saya rasa dalam apa perjuangan pun ada satu pegangan.  Pegangan itu boleh merupakan ideologi, sama ada nasionalisme, ataupun agama, ataupun sosialisme, apa sajalah.  Ataupun pegangan itu merupakan satu gabungan dasar-dasar yang padu," kata bekas Presiden Parti Rakyat Malaysia.

"Jadi, kita boleh anggapkan itulah.  Satu, asas perjuangan adalah ideologi, ertinya ideological-orientated, satu lagi ialah programme-orientated.  Apa program parti?  Bukan program aktiviti, tetapi political programme."

Beliau menjelaskan, "Jadi, ada parti mungkin tidak mempunyai ideologi yang mantap.  Ataupun dia tak dapat mengemukakan satu ideologi yang sebegitu rupa.  Tetapi dia boleh mengemukakan political programme.  Dan bagi saya, empat yang saya sebut tu (keadilan untuk semua, kepedulian rakyat; perpaduan negara bangsa; dan nilai moral dan etika yang tinggi) merupakan asas political programme yang boleh menyatupadukan..."

Jadi, apakah ia bermakna tidak perlu sampai ke peringkat "kiri" atau "kanan"?

"Parti boleh menggabungkan pelbagai warna.  Rainbow, terutama sekali daripada parti yang merupakan parti massa.  Keadilan ini mass party.  Dia bukannya cadre party.  Macam parti komunis ni dia cadre party.  Mesti semua orang memegang ideologi yang serupa," katanya.

Syed Husin Ali bersambung, "Kalau kita parti massa, maka dengan sendirinya kita perlu menggabungkan secara inklusif berbagai-bagai aliran.  Tetapi pendirian yang asas seharusnya sama, walaupun ada sedikit perbezaan."

Apa yang dimaksudkan "pendirian asas"?  "Umpamanya, kita pro-demokrasi, mahukan apa yang menghalang demokrasi ni, misalnya ISA, dihapuskan.  Kita perlu bersetuju dengan itu.  Tak boleh dalam parti wujud suara 'saya nak ISA'.  Parti seharusnya multi-etnik, kita mesti komited.  Tak boleh seorang mengikut projek macam PERKASA, kan?  Dari ekonomi, kita pro-rakyat.  Itu mesti dipegang dan dilaksanakan," tekannya.

"Bank Parti Rakyat", terlanjur Abdul Razak

Sememangnya, percantuman antara PRM (Parti Rakyat Malaysia) dengan PKN (Parti Keadilan Nasional) telah membuahkan hasil yang lebih besar daripada PKR itu sendiri.  Namun, sejauh manakah perjuangan Syed Husin Ali, dengan fahaman politik sosialisnya memberi impak kepada sistem politik negara di Malaysia?

"Susah nak menilai, " kata Syed Husin Ali, yang mungkin menyerah kepada "sejarah sebagai hakim muktamad" untuk menilainya.  Bagaimanapun, penulisannya, manifesto parti-nya sepanjang puluhan tahun ini, diambil dan diterap sebagai dasar, sedikit sebanyak kalaupun bukan sepenuhnya.

"FELDA mula-mula datang daripada kita, dan bila FELDA mula-mula dibuat, orang mengatakan ini rancangan sosialis, " ujarnya.

Syed Husin Ali mengimbas bagaimana perkembangan Parti Rakyat diawasi setiap hari di Pahang, pada zaman kegemilangan parti tersebut.  Menurut Syed Husin Ali, pengaruh Parti Rakyat ketika itu begitu membimbangkan Abdul Razak, Perdana Menteri kedua kemudiannya, sehingga beliau terlanjur dalam ucapannya ketika merasmikan Bank Rakyat.

"'Dengan ini, saya rasmikan Bank Parti Rakyat', kata Razak," wartawan gelak bersama Syed Husin Ali ketika mendengar kisah ini.  "Dan orang terkejut...kemudian dia perbetulkan..." Kejadian ini mencungkil ingatan wartawan bagaimana Khalid Ibrahim yang menyarung jersi PKR buat kali pertama dalam PRK Ijok tahun 2007, menyeru pengundi agar "Undilah Barisan Nasional".

"Saya harap kuasa tidak mengkorupkan"

Mungkin banyak lagi kisah sedemikian yang akan dibaca dalam buku pejuang politik veteran ini, yang menyimpan hasrat untuk menulis selepas hari jadinya yang ke-74, semalam (23 September).

Beliau yang secara terus terang berkata "menyambut hari jadi bukan budaya saya", ketika diminta wartawan untuk menyatakan hasrat yang terpendam dalam hatinya berkata, "(Harap) saya sihat, buat apa yang saya mahu, siapkan penulisan, kemudian tengok apa yang akan jadi."

Wartawan agak terkejut apabila "pertukaran kerajaan persekutuan" tidak termasuk dalam hasratnya.  Bila ditanya, beliau menjawab sambil ketawa, "Itu memang harapan saya, tapi harapan pilihan raya, bukan harapan hari jadi."

Beliau agak optimis untuk melihat "pertukaran kerajaan persekutuan" berlaku, berdasarkan pengamatannya bahawa kesedaran rakyat semakin tinggi.

"Cuma yang saya bimbangkan ialah pimpinan sendiri, pimpinan sendiri.  Sama ada kita boleh mencapai expectation (harapan) rakyat.  Dan dalam keadaan sekarang ini, saya masih gusar, masih tidak menentu... Sama ada kita dapat menyampaikan sebagaimana yang rakyat mahu."

Suaranya semakin rendah, "Saya tahu ada pemimpin yang komited.  Tapi tak tahu-lah..." sebelum beliau mengakhiri wawancara 90 minit ini dengan, "I hope power doesn't corrupt. (Saya harap kuasa tidak mengkorupkan)." (Bahagian Ketiga, tamat)

Bahagian pertama: Anasir lunturkan semangat perjuangan PKR...

Bahagian kedua: Syed Husin Ali: Anwar berbeza daripada Razaleigh

*Wawancara ini dijalankan oleh Lim Hong Siang dan Wong Shu Qi dari MerdekaReview, di pejabat Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali pada 16 September 2010.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>