2014-07-23 11:40am
 
KALEIDOSKOP
 
Hubungan UMNO-PERKASA di media berlainan...
 
Lim Hong Siang | Sep 09, 2010 04:48:16 pm
Kongsi |

UMNO-BN akhirnya menyatakan pendirian untuk menjarakkan diri daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA), setelah Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sedemikian kepada media, semalam.

Hubungan antara UMNO dengan PERKASA menarik perhatian ramai sejak badan bukan kerajaan (NGO) ini muncul di arena politik tanahair, dan mendakwa dirinya sebagai pertubuhan yang memperjuangkan kepentingan Melayu.

Sementara PERKASA disifatkan sebagai batu penghalang kepada perubahan yang ingin dibawa Perdana Menteri Najib Razak ketika BN berdepan dengan komuniti bukan Melayu-Islam, PERKASA memainkan peranan seakan-akan "sayap UMNO" untuk melancarkan serangannya terhadap Pakatan Rakyat di kalangan umat Melayu-Islam.

Seperti slogan 1Malaysia yang diberi tafsiran berbeza mengikut keperluan masing-masing, ketika ia dilaungkan kepada komuniti yang berbeza; PERKASA juga memainkan peranan yang lebih kurang sama untuk BN.  Malah, kekeruhan ini tidak dijernihkan sepenuhnya biarpun pendirian UMNO-BN telah dinyatakan...

NST dan Star

Pendirian untuk menjauhkan diri daripada PERKASA dinyatakan oleh Tengku Adnan dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insider  yang disiarkan semalam.  Beliau kemudian mengulangi kenyataan yang sama, ketika dihubungi beberapa media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama bersama Setiausaha Agung parti komponen BN.

New Straits Times, akhbar bahasa Inggeris yang dimiliki UMNO, meletakkan berita ini di muka depannya, dengan tajuk - Pemimpin BN diberi jaminan oleh Setiausaha Agung - "UMNO tidak sokong Perkasa" ('Umno does not support Perkasa' - BN leaderders given assurance by sec-gen).

Mengikut laporan, "UMNO dengan jelas (unequivocally) menjauhkan diri daripada PERKASA, yang disifatkan oleh pemimpin BN sebagai langkah penting untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu."

"Setiausaha Agung UMNO Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu parti komponen BN bahawa UMNO tidak akan menyokong PERKASA, atau Presidennya Ibrahim Ali dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang."

Begitu juga dengan Star, akhbar bahasa Inggeris milikan MCA, dengan tajuk UMNO menolak PERKASA (Umno rejects Perkasa) pada muka surat kedua.  Malah di bawah tajuknya, Ku Nan (Tengku Adnan) dipetik berkata, "pertubuhan yang menyebabkan kehilangan sokongan terhadap parti."

Star memetik Tengku Adnan daripada media internet, yang berkata, "Apabila mereka berbicara mengenai kawan Cina dan India saya, mereka membuatkan kami kehilangan lebih undi.  Apa yang kamu mahukan untuk Malaysia?  Kamu mahukan satu perang sivil?"

Ketika menyentuh Ibrahim Ali, Tengku Adnan bertanya, "Mengapa harus UMNO menyokong beliau?  UMNO seharusnya meletakkan calon di Pasir Mas.  Kami akan bertanding di Pasir Mas."

Utusan Malaysia dan Berita Harian

Bagaimanapun, kenyataan Tengku Adnan ini tidak ditonjolkan sebagaimana akhbar Inggeris, dalam ruang dada akhbar bahasa Melayu, seperti Utusan Malaysia dan Berita HarianUtusan Malaysia, yang selama ini senada dengan PERKASA, tidak menyiarkan kenyataan Tengku Adnan tersebut.

Dalam liputan berita Utusan Malaysia berhubung mesyuarat kali pertama di kalangan setiausaha agung dan setiauasaha kerja parti-parti komponen BN, yang berjudul "Parti komponen BN digesa selesaikan masalah parti" pada muka surat kedua, isunya hanya tertumpu kepada pendaftaran pemilih, langsung tidak mengungkit isu PERKASA.

Berita Harian pula, menyiarkan berita ini pada muka surat ke-9, dengan tajuk "13 parti komponen BN sokong jauhi PERKASA".  Laporannya berbunyi, "Barisan Nasional (BN) dengan sokongan sebulat suara 13 parti komponennya terutama UMNO, membuat keputusan untuk menjauhi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), kerana dikhuatiri boleh menjejaskan kewibawaan dan keupayaan BN meraih sokongan pengundi pelbagai kaum."

"Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang mempengerusikan mesyuarat itu, berkata UMNO tidak akan menyokong PERKASA atau Presidennya, Datuk Ibrahim Ali pada pilihan raya umum akan datang kerana tindakan itu berpotensi menghakis sokongan pengundi bukan Melayu terhadap BN."

Malah, Berita Harian memetik Tengku Adnan untuk berkata, "PERKASA sudah beberapa kali mengadu domba parti komponen BN hingga menjejaskan perpaduan BN, selain mencetuskan persoalan di kalangan rakyat mengenai pendirian kita."

"UMNO tidak mahu ada apa-apa hubungan dengan PERKASA seperti didakwa sesetengah pihak dan parti komponen BN lain yang selama ini bimbang dengan maklum balas akar umbi dan mereka menerima baik pendirian ini," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Akhbar bahasa Cina

Di samping itu, akhbar bahasa Cina pula, China Press memetik berita ini daripada The Malaysian Insider, dan disiarkan pada muka surat A7 dengan tajuk, "Tiada hubungan antara UMNO dengan PERKASA".

Malah, laporannya memetik Tengku Adnan Tengku Mansor yang menolak kemungkinan untuk bertemu dengan Ibrahim Ali, "Saya tak perlu berbincang dengan Ibrahim Ali.  Adalah sesuatu yang sukar untuk berbincang dengan Ibrahim Ali.  Biar beliau hidup dalam dunianya sendiri."

Nanyang Siang Pau juga memetik berita ini dari The Malaysian Insider, dan disiarkan pada muka surat A8, bahawa UMNO tidak akan menyokong Ibrahim Ali untuk bertanding dalam PRU akan datang.  Malah, Nanyang Siang Pau sempat menyiarkan respon Ibrahim Ali di bawah berita itu, yang mengkritik Tengku Adnan bahawa beliau hanya mahukan undi Cina dan tidak mahu undi Melayu.

Sin Chew Daily yang selama ini menonjolkan watak Najib Razak sebagai pembawa perubahan, dan PERKASA sebagai penghalang perubahan, tidak memetik berita ini.  Seperti Utusan Malaysia, Sin Chew Daily (gambar kiri) hanya melaporkan isu pendaftaran pemilih yang dibincangkan dalam mesyuarat, pada muka surat ke-11-nya.

Dua akhbar bahasa Cina bukan milikan Tiong Hiew King, Oriental Daily, hanya menyiarkan berita pendaftaran pemilih pada muka surat A12, sementara Kwong Wah Yit Poh menyiarkan kenyataan Tengku Adnan pada muka surat kedua, dengan tajuk Khuatir dibeban PERKASA - UMNO akan bertanding di Pasir Mas (kawasan Ibrahim Ali).

*Kaleidoskop adalah "digest" kandungan media cetak.  Media yang dirujuk bertarikh 9 September 2010, berkisar pada kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa UMNO-BN akan menjauhi dirinya dari PERKASA.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>