2014-08-23 01:30pm
 
ANALISA
 
Bilakah kemelut dalaman UMNO Kedah berakhir?
 
Nazar Hashim | Aug 27, 2010 12:10:42 pm
Kongsi |

Kemelut yang dihadapi oleh UMNO Negeri Kedah sehingga hari ini masih belum selesai.  Persidangan Agung UMNO yang telah diadakan bagi memberi peluang kepada perwakilan memilih barisan kepimpinan untuk memimpin bahagian masing-masing - turut menjadi medan perebutan kuasa sehingga mencetuskan perbalahan.

Sungei Petani: Ali Yahya "direhatkan"

Dalam mesyuarat agung UMNO bahagian Sungei Petani pada 11 Julai yang lalu, kumpulan yang diterajui oleh Ali Yahaya terpaksa menjadikan platform tersebut untuk mencantas musuh politik yang akan menjadi halangan dalam perebutan jawatan.

TimbalanPengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Ahmad Bashah Md Hanipah (gambar kanan) berkata, walaupun UMNO bahagian Sungei Petani sudah diambil-alih pentadbirannya oleh Majlis Tertinggi, ketuanya, Ali Yahaya masih lagi menghadiri semua aktiviti parti termasuk mesyuarat di peringkat negeri.

Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa Ali telah "direhatkan" ekoran perbalahan yang berlaku semasa Persidangan Agung UMNO bahagian Sungei Petani, baru-baru ini.  Ahmad juga menyatakan pentadbiran UMNO Sungei Petani hanya akan diserahkan kembali kepada kepimpinan bahagian setelah kedua-dua pihak yang bertelagah kembali berdamai dan tidak mempunyai masalah untuk menerima Ali sebagai ketua mereka.

Malahan ini semua adalah bergantung kepada keadaan supaya penyelesaian yang terbaik dapat dicapai antara kedua-dua pihak.

Alor Setar: Hilang percaya terhadap Shafie Afdal

Sementara itu, isu yang hangat menjadi topik perbincangan ialah perletakan jawatan 11 Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO bahagian Alor Setar pada 7 Ogos yang lalu.  Kesemua mereka didakwa bertindak meletakkan jawatan melalui satu notis dengan alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pemuda UMNO bahagian dan UMNO bahagian sendiri yang diterajui oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Mohd Shafie Afdal (gambar kiri bawah).

Kepimpinan UMNO bahagian dan Pemuda bahagian didakwa meminggirkan peranan pergerakan itu selepas Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.  Kewujudan mereka seolah-olah tidak dipedulikan dalam kepimpinan sedia ada.

Namun begitu Ketua UMNO bahagian, Ahmad Bashah Md Hanipah menafikan bahawa konflik yang berlaku membabitkan kepimpinan beliau.  Sebaliknya, beliau mendakwa masalah yang timbul disebabkan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Ketua Pemuda UMNO bahagian, Zubir Zabidi dan bukannya terhadap kepimpinan tertinggi UMNO bahagian Alor Setar yang diterajui oleh beliau.

Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, kemungkinan ada antara mereka yang tidak berpuas hati dengan pihak lain dan mengaitkan isu ini hingga memperbesar-besarkan perkara yang tidak sepatutnya.

Kumpulan 11 yang diketuai oleh bekas Penolong Setiausaha Pemuda UMNO bahagian, Mohd Azreen Azizan nekad tidak ingin bersemuka dengan Ahmad Bashah lantaran perbincangan sebelum ini tidak membuahkan hasil.

Walau bagaimanapun, setiap Pemuda bahagian mempunyai 24 ahli jawatankuasa  termasuk Ketua, Naib Ketua, Setiausaha, Penolong Setiausaha, Penolong Bendahari, Ketua Penerangan serta tiga orang AJK yang dilantik dan 15 yang dipilih.

Tidak laksanakan dasar UMNO

Dalam konflik yang melanda pemuda UMNO bahagian Alor Setar kini kumpulan 11 AJK yang meletakkan jawatan menyaksikan 3 daripadanya telah menarik diri dan  meninggalkan 8 lagi untuk berjuang bagi mendapat keadilan yang dituntut dari kepimpinan Pemuda dan UMNO bahagian.

Selepas penarikan 3 AJK tersebut, yang masih kekal dengan keputusan meletakkan jawatan selain Mohd Azreen Azizan ialah Noor Baidurzaman Abu Bakar, Mohamed Shajahan Mohd Abdul Kader, Ellias Mohamed Roshidi Marzuki, Wira Abdullah, Ahmad Faiz Abdul Halim, Mohd Shaharudin Manaf dan Mohd Zahir Abu Bakar.

Ahmad Bashah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Bata pula amat mengharapkan isu peletakan jawatan ini dapat diselesaikan segera memandangkan ianya adalah berpunca dari masalah dalaman.

Beliau juga mendakwa tindakan meletakkan jawatan oleh kumpulan tersebut tidak akan menyelesaikan masalah yang berbangkit kecuali dilakukan dengan pertemuan dan perbincangan dari hati ke hati.

Mohd Azreen selaku ketua kumpulan 11 tersebut juga mendesak supaya kepimpinan peringkat tertinggi bahagian memikul tanggungjawab bagi menyelesaikan segala pertelagahan yang berlaku.  Menurutnya lagi, pertelagahan dalaman tersebut perlu diselesaikan segera dengan cara mengadaptasinya dalam bentuk tindakan dan bukannya sekadar sokongan retorik semata-mata.

Kumpulan 11 tersebut juga mendesak supaya suara akar umbi didengari oleh kepimpinan peringkat tertinggi UMNO bahagian Alor Setar yang diterajui oleh Shafie Afdal dan Ahmad Bashah.  Malah mereka juga mahu supaya program yang dijalankan oleh bahagian haruslah berorientasikan kepada kehendak anak muda kerana kejayaan UMNO dalam pilihan raya umum yang lalu adalah berkait rapat dengan mereka.

UMNO bahagian juga didakwa tidak melaksanakan idea dan dasar yang telah ditetapkan oleh pimpinan tertinggi parti seperti turun padang sehingga ke akar umbi bagi membantu rakyat kerana berlakunya pertelagahan dan tidak persefahaman dalam bahagian.

Pemuda PAS Kedah lebarkan tangan

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Mohd Nasir Zakaria turut melebarkan tangan dengan mempelawa kumpulan 11 untuk menyertai PAS bagi berjuang untuk menegakkan syiar Islam demi rakyat Kedah.

Mohd Nasir (gambar kiri) juga mengalu-alukan kumpulan yang tidak sehaluan dengan UMNO untuk bersama PAS atau mana-mana komponen Pakatan Rakyat bagi meneruskan perjuangan untuk membela nasib rakyat.

"Sekiranya UMNO tidak menghargai mereka, maka kita membuka pintu kepada kumpulan ini.  Suara mereka akan diberi perhatian dan cadangan bernas akan diberi pertimbangan jika ia membawa kebaikan kepada rakyat."

Dilema yang dihadapi oleh UMNO Kedah bukan saja diselubungi oleh kumpulan 11 Pemuda UMNO bahagian Alor Setar.  Tetapi sebelum ini juga ia dikejutkan dengan dakwaan ADUN Kuala Nerang, Syed Sobrie Syed Hashim yang berhasrat untuk tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti UMNO kerana merasakan beliau tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Syed Sobrie (gambar kanan) sebelum ini turut berteka-teki dengan kedudukan beliau sebagai ADUN Kuala Nerang setelah mendakwa terpaksa menggunakan peruntukan sendiri bagi membela nasib rakyat dalam kawasan yang diwakilinya.

Isu peruntukan ini menjadikan beliau sebagai salah seorang calon yang diintai untuk turut sama menyertai PAS seandainya UMNO sudah tidak mampu untuk memberi pembelaan kepada wakilnya sendiri.

Kini rakyat negeri Kedah khususnya masih lagi menanti apakah isu Ali Yahaya sebagai Ketua UMNO Sungei Petani masih relevan setelah berlakunya kecelaruan dalam persidangan UMNO bahagian tersebut pada 11 Julai yang lalu.

Begitu juga dengan kumpulan 11 dalam UMNO bahagian Alor Setar yang kini tinggal lapan orang.  Apakah kehendak mereka untuk diberi pengiktirafan serta tidak dipinggirkan oleh kepimpinan bahagian dan Pemuda bahagian akan menjadi realiti, setelah ianya berlarutan sehingga sekian lama?

Mampukah Shafie Afdal selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Ahmad Bashah Md Hanipah selaku Timbalan Pengerusi UMNO Negeri merangkap Ketua UMNO bahagian Alor Setar melaksanakan reformasi yang menjadi impian dan hasrat barisan kepimpinan Pemuda dalam bahagian beliau sendiri, iaitu peranan pemuda harus turut dihargai?

*Nazar Hashim ialah penulis khas MerdekaReview.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>