2014-09-03 02:49am
 
ANALISA
 
UMNO Pulau Pinang:
Rumah siap, pahat masih berbunyi
 
Nazar Hashim | Aug 16, 2010 05:15:39 pm
Kongsi |

Dilema dua bahagian UMNO dalam Negeri Pulau Pinang belum selesai sehingga ke hari ini.  Walaupun persidangan perwakilan UMNO bahagian seluruh Pulau Pinang telah berjaya disempurnakan namun begitu bak kata pepatah rumah sudah siap, pahat masih berbunyi.

Dalam lain ertikata, walaupun kedua-dua kepimpinan UMNO Bahagian Bukit Bendera dan UMNO Jelutong telah selesai mengadakan persidangan masing-masing, masih ada suara dari perwakilan UMNO dalam bahagian masing-masing yang saling mempertikaikan kedudukan antara satu sama lain.

Bagi UMNO Bukit Bendera yang menyaksikan kemunculan semula mantan Ketua Bahagian, Ahmad Ismail untuk menerajui kepimpinan bahagian tidak kesampaian, apabila dalam sidang media beliau pada 5 Ogos yang lalu menzahirkan bahawa keputusan beliau adalah untuk tidak bertanding - semata-mata bagi memberi peluang kepada kepimpinan parti komponen untuk mendapatkan semula sokongan rakyat di Pulau Pinang.

Kontroversi yang dicungkil Ahmad Ismail

Sebelum itu, 36 Ahli Jawatankuasa UMNO Bukit Bendera telah meletakkan jawatan secara sukarela bagi membolehkan mesyuarat agung luar biasa diadakan.  Ia juga bertujuan untuk membawa semula Ahmad yang telah digantung oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada September 2008 yang lalu menerajui semula bahagian tersebut.

Keahlian Ahmad digantung kerana didakwa telah menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan masyarakat Cina, apabila Ahmad dituduh menyifatkan mereka sebagai "penumpang" dalam negara ini ketika berceramah pada 25 Ogos 2008, semasa berkempen di PRK Permatang Pauh.

Keadaan bertambah buruk apabila Ahmad mendesak Gerakan yang merupakan komponen Barisan Nasional (BN) supaya keluar dari BN.  Keadaan bertambah runcing apabila salah seorang penyokongn beliau mengoyak gambar Pengerusi Gerakan Negeri ketika itu, Koh Tsu Koon.

Namun begitu, pada Disember 2009 yang lalu, MT telah menarik balik keputusan penggantungan terhadap Ahmad.  Beliau dibenarkan untuk aktif semula dan sekaligus mendapat sokongan dari bahagian lamanya.

UMNO bahagian Bukit Bendera yang diterajui oleh Abdul Jalil Ariffin yang sepatutnya mengadakan persidangan perwakilan mereka telah tertunda persidangan perwakilan mereka sebanyak dua kali, iaitu pada 11 dan 31 Julai yang lalu.

Persidangan perwakilan hanya dapat dijalankan pada 8 Ogos baru-baru ini ,bertempat  di Eastin Hotel, Pulau Pinang dengan kehadiran wakil Perhubungan UMNO Negeri, Musa Sheikh Fadzir yang juga merupakan Ketua Penerangan UMNO Negeri.

Kemunculan semula Ahmad itu bukan sahaja diberi sambutan meriah seorang wira bangsa dengan diserikan oleh pencak silat dan bunga manggar, tetapi juga dinobatkan sebagai seorang wira yang memperjuangkan masyarakat Melayu di bahagian Bukit Bendera oleh penyokong-penyokongnya.

Kemelut berlanjutan

Tidak lama selepas dinobatkan sebagai wira, kemelut yang melanda UMNO bahagian Bukit Bendera tidak terhenti di situ sahaja.  Ketua Penerangan Pemuda UMNO bahagian, Rose Akmar Ahmed telah membuat laporan polis terhadap persidangan perwakilan yang dianggapnya sebagai melanggar peraturan mesyuarat.

Rose Akmar (gambar kiri) juga mendakwa bahawa ini bukan kali pertama beliau dinafikan hak sebagai perwakilan, malah pada tarikh asal iaitu 11 dan 31 Julai juga beliau bersama enam lagi perwakilan dalam cawangan Kampung Mutiara tidak menerima notis jemputan.

Beliau yang turut membuat laporan polis di balai polis Butterworth pada hari yang sama persidangan perwakilan bahagian diadakan turut melahirkan rasa kesal kerana sikap bahagian yang meminggirkan cawangannya yang sememangnya sah dari segi peraturan dan persidangan agung parti.

Manakala Musa semasa sidang media selepas persidangan pada 8 Ogos di Hotel Eastin turut menyatakan, bahawa mereka yang tidak berpuas hati dengan perjalanan persidangan boleh membuat bantahan dengan mengemukakan surat kepada perhubungan UMNO negeri. 

Dilema merebak ke Jelutong

Dilema dalaman UMNO ini bukan saja terhenti setakat UMNO bahagian Bukit Bendera.  Ia juga merebak kepada UMNO bahagian Jelutong yang diterajui oleh Abdul Razak Abdul Rahman sebagai ketua bahagiannya.

UMNO Bahagian Jelutong yang mempunyai 25 cawangan kini ternyata berpecah kepada dua apabila 17 cawangan yang turut didakwa hak mereka dinafikan apabila cawangan yang ada telah ditutup tanpa persetujuan mereka.

Abdul Wahab Abdullah yang mewakili 17 cawangan yang didakwa ditutup oleh Perhubungan UMNO Negeri turut mempertikaikan keputusan yang telah dibuat sebagai tidak menghormati seramai lebih dari 4,000 ahli UMNO yang masih setia kepada 17 cawangan-cawangan tersebut.

Namun begitu Setiausaha UMNO Negeri, Azhar Ibrahim (gambar kiri) turut menyatakan keputusan yang telah diambil oleh Perhubungan UMNO Negeri bukanlah untuk menganiayai mana-mana ahli UMNO dalam bahagian Jelutong, sebaliknya adalah bagi kebaikan dan masa depan UMNO.

Mereka telah diserapkan untuk menjadi ahli kepada 25 cawangan UMNO yang sedia ada.  Walaupun begitu, persoalan yang timbul di sini oleh 17 cawangan yang didakwa masih wujud - atas alasan apa mereka tidak dibenarkan untuk aktif dan mewujudkan semula cawangan-cawangan yang ada?

Mereka juga mendakwa berlakunya ketidakadilan apabila hak mereka dinafikan dengan membiarkan hanya 25 cawangan yang sedia ada diaktifkan sedangkan ketakutan sudah jelas terbayang pada kepimpinan bahagian kerana dengan aktifnya 17 cawangan tersebut akan menggugat kepimpinan bahagian yang ada.

*Nazar Hashim ialah penulis khas untuk MerdekaReview.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>