2014-08-22 09:54am
 
ANALISA
 
Skandal Sime Darby:
Terburainya mitos "Besar itu Indah"
 
Neo Chee Hua | Jun 16, 2010 04:10:34 pm
Kongsi |

Pada ketika Perdana Menteri Najib Razak bersungguh-sungguh mempromosikan idea "besar itu indah" (big is beautiful), menarik pelaburan asing melalui syarikat-syarikat tersenarai yang besar, terbongkar pula berita bahawa Sime Darby Berhad sebagai salah satu perusahaan multinasional yang terkemuka di Malaysia telah mengalami kerugian besar.

Jika ditinjau sejarah Malaysia, peristiwa Sime Darby ini bukanlah kes yang pertama.  Renong Berhad yang ditimpa krisis semasa kemelut ekonomi Asia tahun 1997-98 merupakan satu pengajaran yang baik.  Sime Darby hari ini seolah-olah Renong Berhad pada ketika itu - kedua-duanya memiliki struktur gergasi, model operasi dan pengurusan yang kurang telus, pentadbiran yang lemah, kerenah birokrasi yang menjadi budaya, dan salah laku (moral hazard) yang berlaku lantaran daripada perlindungan yang terlampau daripada kerajaan.

Jika pelabur-pelabur asing meneliti contoh-contoh kegagalan usahasama antara kerajaan dengan sektor swasta, yang kononnya "besar itu indah" -- dari Renong Berhad ke Perusahaan Otomobil Nasional, jaringan pembekalan tenaga dalam negara hinggalah Sime Darby, adakah mereka akan tetap menaruh harapan terhadap usahasama sebegini?

Syarikat perladangan terbesar

Pada 27 November 2006, Sime Darby Berhad, Golden Hope Plantations Berhad dan Kumpulan Guthrie Berhad mengumumkan satu rancangan penggabungan ketiga-tiga syarikat, untuk membentuk sebuah syarikat perladangan terbesar di dunia yang tersenarai dalam bursa saham.

Rancangan penggabungan ini merangkumi ketiga-tiga syarikat tersebut dan anak syarikat di bawahnya.  Sejumlah lapan buah syarikat tersenarai yang terbabit, iaitu Sime Darby Berhad, Golden Hope Plantations Berhad, Kumpulan Guthrie Berhad, Sime Engineering Services Berhad, Sime UEP Properties Berhad, Guthrie Ropel Berhad, Mentakab Rubber Company (Malaya) Berhad dan Highlands & Lowlands Berhad.

Akhirnya, satu perusahaan bersifat multi-bisnes yang mengutamakan sektor perladangan, Synergy Drive telah ditubuhkan, iaitu Sime Darby Berhad sekarang.

Nazir Razak (gambar kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Investment Bank (adik Perdana Menteri Najib Razak) yang bertanggungjawab dalam penggabunggan ini berkata, "Kami nampak manfaat pembentukan sebuah syarikat perintis perladangan kelapa sawit global.  Syarikat ini berpotensi mengaut keuntungan tahunan yang berjumlah RM26 bilion, menggaji 107 ribu pekerja dan memilik tanah penanaman di Malaysia dan Indonesia sebesar 600,000 hektar.  Dijangka bahawa 9 juta tan buah-buahan dan 2.5 juta tan minyak kelapa sawit dapat dihasilkan, di mana pengeluaran kelapa sawit ini merupakan 5% - 6% daripada jumlah penghasilan minyak kelapa sawit dunia."

Nazir Razak turut menyebut, lapan buah syarikat tersenarai ini akan bergabung menjadi sebuah syarikat, dan syarikat induk ini akan menguasai lima sektor utama (perladangan, otomobil, industri berat, hartanah, dan tenaga serta utiliti).  Penggabungan ini dapat membawa manfaat dari segi kerjasama antara nilai keuntungan dan kos modal, termasuk peningkatan tahap kecekapan, penggunaan sumber manusia yang efisien, kemantapan pengendalian kapital, pengurangan modal kewangan, penjualan aset bukan teras dan sebagainya.

Selepas penggabungan, Sime Darby berubah menjadi satu badan korporat multinasional yang menceburi pelbagai sektor, yang mana perusahaannya merentasi 20 buah negara.  Lima perusahaan utama badan korporat ini termasuk perladangan, harta tanah dan perumahan, industri berat, otomobil, serta tenaga dan utiliti.  Ia juga terlibat dalam bidang perubatan (Sime Darby Medical Centre Subang Jaya), insuran (Sime Alexander Forbes), barangan kegunaan harian (Dunlopillo) dan sebagainya.  Pada masa yang sama, badan korporat ini turut menguasai 30% hak beli saham pasaraya Tesco Malaysia.

Selepas penggabungan, Sime Darby sememangnya menunjukkan prestasi yang unggul.  Pendapatannya meningkat 20.6%, dari RM28.2302 bilion pada tahun kewangan 2007 ke RM34.0447 bilion pada tahun 2008.  Keuntungan bersihnya turut meningkat 47.2%, dari RM2.3857 bilion ke RM3.5121 bilion.  Biarpun menghadapi krisis ekonomi global, badan korporat ini masih mencapai prestasi keuntungan bersih RM2.2861 bilion pada tahun kewangan 2009.

Selain itu, Sime Darby juga menduduki tempat ke-500 dalam ranking Global 500, disenaraikan oleh Financial Times tahun 2010 dengan nilai pasaran US$16.0462 bilion (sehingga 31 Mac).  Aset keseluruhannya bernilai US$9.9185 bilion ini jelas menunjukkan manfaat usahasama syarikat konglomerat tersebut selepas penggabungan.

Jadual: Prestasi Sime Darby(tahun kewangan 2007-2010) 

 

Tahun kewangan

 Pendapatan

(RM juta)

 Keuntungan sebelum cukai(RM juta)

Keuntungan bersih

(RM juta)

2010 (tiga suku pertama)

23739.8

1716.4

804.2

2009

31013.9

3071.6

2286.1

2008

34044.7

5206.4

3512.1

2007

28230.2

3572.2

2385.7

Sumber:Laporan tahunan syarikat, Bursa Malaysia

Pihak pengurusan menutup kerugian Sime Darby

Namun demikian, Sime Darby yang kelihatan berkembang maju ini menggemparkan semua apabila terbongkarnya skandal kerugian besar pada Mei 2010.  Lembaga Pengarah Sime Darby telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk menjalankan siasatan terhadap Bahagian Tenaga dan Utiliti (Energy and Utilities Division).  Laporan siasatan dalaman ini menunjukkan bahawa jabatan tersebut mengalami kerugian besar, dan pihak atasan dalam pengurusan cuba untuk menutup kebenaran.

Laporan ini turut menunjukkan bahawa empat projek bahagian tersebut, termasuk Qatar Petroleum, Maersk Oil Qatar, Kelautan dan Empangan Bakun, ditundakan lantaran pengurusan yang tidak cekap, menjurus kepada peningkatan kos melebihi anggaran dan membawa kepada kerugian sebanyak RM1.631 bilion.  Malah, syarikat tersebut dijangka perlu memperuntukkan RM964 juta untuk mengisi kerugian pada setengah tahun kedua.

Setelah terbongkarnya skandal kerugian ini, Sime Darby telah mengalami kehilangan nilai pasaran sebanyak RM6.37 bilion dalam jangka kira-kira satu bulan, menjunam dari nilai RM52.94 bilion pada 3 Mei ke RM46.57 bilion pada 31 Mei.  Selain itu, laporan suku ketiga tahun kewangan 2010 menunjukkan bahawa Sime Darby telah mengalami kerugian operasi sebanyak RM1.019 bilion, lantaran daripada peruntukan RM964 juta kepada Bahagian Tenaga dan Utiliti untuk mengisi kerugian.

Sime Darby telah mengalami kerugian bersih sebanyak RM308.63 juta pada suku ketiga, malah telah pun memperuntukkan RM1.3 bilion untuk mengisi kerugian projek-projek tersebut setakat ini.

Sebagaimana yang diketahui, juruaudit luaran telah mempertikaikan kerugian projek Qatar Petroleum yang diuruskan oleh Bahagian Tenaga dan Utiliti pada tahun 2008, malah enggan meluluskan laporan kewangannya.  Pada masa yang sama, media tempatan turut membangkitkan isu Maersk Oil Qatar yang menanggung kos melebihi anggaran sebanyak RM150 juta. Walau bagaimanapun, pucuk pentadbiran yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Zubir Murshid menafikan dakwaan bahawa projek-projek tersebut mengalami masalah, dan cuba menutup kebenaran.

Walaupun Lembaga Pengarah yang diketuai oleh Musa Hitam, iaitu Pengerusi Sime Darby pernah  membangkitkan isu kos berlebihan dalam projek-projek ini kepada pihak pengurusan, namun Ahmad Zubir Murshid tetap mencuba untuk meyakinkan Lembaga Pengarah bahawa "kos berlebihan bukan satu masalah, kos ini dapat diperolehi daripada pihak pelanggan".

Bahagian kedua: Sime Darby=Renong II?  MEB bakal ulangi kegagalan zaman Mahathir

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina.  Analisa asal dalam edisi bahasa Cina disiarkan pada 8 Jun 2010.  Terjemahan oleh copyleftstudio.com, disunting oleh Lim Hong Siang.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>