2014-04-24 11:55am
 
ANALISA
 
Beri wang hanya jika menang:
Pengundi rasa dirinya terhina, Tian Chua
 
Lim Hong Siang | May 20, 2010 07:56:33 pm
Kongsi |

Ketua Biro Strategi PKR, Tian Chua menuding jari kepada Najib Razak, yang mengubah "pendekatan tradisional" Barisan Nasional, dengan mengenakan syarat apabila menabur gula pilihan raya, sehingga pengundi rasa dirinya terhina, dan akhirnya menjurus kepada kekalahan BN dalam PRK Sibu.

Ketika mengulas keputusan beberapa PRK yang lalu, dari Bagan Pinang, Hulu Selangor sehinggalah Sibu, Tian Chua (gambar kiri) menganggap tema dan mesej kempen BN cukup jelas dan konsisten, iaitu penekanan kepada gagasan "1 Malaysia " dan "pembangunan".

Namun demikian, berbeza dengan pendekatan BN sebelum ini, iaitu menabur peruntukan dana tidak kira menang atau kalau, pendekatan Najib yang mengenakan syarat "beri (peruntukan) hanya jika menang", mencungkil rasa jijik di kalangan pengundi.  "Ia menyentuh soal maruah, pengundi merasakan diri mereka terhina (insulted)," kata Tian Chua.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Najib Razak menjanjikan peruntukan RM 3 juta kepada SRJK (C) Rasa ketika berkempen dalam PRK Hulu Selangor, kemudian membuat janji yang sama dengan penduduk Rejang Park semasa PRK Sibu, dengan menambah peruntukan kepada RM5 juta.  Janji ini jelas tidak membawa "pulangan yang setimpal" kepada BN apabila pengundi Rasa memberi 82% sokongan kepada PKR-PR dalam PRK Hulu Selangor, dan pengundi Rejang Park pula menambah sokongannya kepada DAP-PR dalam PRK Sibu.

Berdepan secara langsung dengan khalayak yang berbilang kaum

Demikianlah analisa Tian Chua dalam satu forum yang membincangkan PRK Sibu, anjuran MerdekaReview bersama Jawatankuasa Sosial-Ekonomi Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.  Selain Tian Chua, barisan ahli panel termasuklah ADUN Teratai-DAP Jenice Lee, Penyelaras Sibu Election Watch (SEW) Ong Boon Keong dan wartawan MerdekaReview, Wong Shu Qi.

Kemenangan DAP di Sibu bagaimanapun dilihat sebagai kemenangan bersama parti komponen PR oleh Tian Chua, menjelaskan bagaimana PKR dan PAS membentuk satu pakatan yang berbilang kaum dengan DAP untuk menentang SUPP-BN.  Tian Chua melihat "kepelbagaian" sebagai kekuatan PR, yang boleh diuji secara terbuka.  Barisan pimpinannya yang terdiri daripada pelbagai kaum, perlu berdepan dengan khalayak yang juga daripada pelbagai kaum.

"Maka, Nizar (pemimpin PAS) perlu berdepan dengan pengundi kristian yang mempertikaikan PAS," jelas Tian Chua, sebaliknya BN walaupun memperlihatkan kepelbagaian lantaran tekanan yang dihadapinya sejak kemunculan PR, tetapi ia berbentuk "kepelbagaian secara berasingan".  Tian Chua berkata, BN masih beroperasi dalam model di mana pemimpinnya hanya berdepan dengan kelompok yang khusus secara berasingan, tetapi bukan berdepan secara langsung khalayak yang majmuk.

Bagaimana golongan bawahan dimanfaatkan secara langsung?

Dalam keadaan sedemikian, Tian Chua yakin bahawa PR akan terus mendominasi wacana politik tempatan, sehingga PRU yang akan datang.  Persoalannya, sejauh manakah PR berjaya mengolah persetujuan golongan bawahan bahawa politik baru yang didukung PR boleh memanfaatkan mereka secara langsung?

"Dalam sistem demokrasi, seandainya anda gagal meyakinkan pengundi bahawa idealisme politik anda memanfaatkannya, anda perlu menerima haknya untuk tidak mengundi anda," kata Tian Chua (gambar kiri).  Pemerhatiannya dalam beberapa PRK yang lepas menyimpulkan bahawa, sesungguhnya penduduk kampung merestui politik baru yang dianjurkan PR, namun mereka memberikan undi kepada BN apabila kepentingan disalurkan secara langsung kepada mereka dalam bentuk peruntukan dana, subsidi dan sebagainya.

Ahli parlimen Batu ini berkata, penduduk rumah panjang turut menyedari bahawa mereka akan dimanfaatkan dengan wujudnya sistem dua parti.  Ini kerana dengan wujudnya persaingan antara dua parti, maka peruntukan yang ditaburkan oleh parti politik kepada mereka akan bertambah.

Meramalkan pilihan raya negeri yang akan datang

Kemenangan DAP-PR dalam PRK Sibu ini semestinya cukup memberangsangkan buat penyokong PR, malah menyuntik keyakinan mereka dalam pilihan raya negeri Sarawak, seandainya DUN Sarawak dibubarkan.  Tetapi, Tian Chua masih meluahkan kekhuatirannya setelah melihat kepada apa yang berlaku ketika beliau berkempen di sana.

Tian Chua menganggap DAP, malah PKR masih memberi persepsi "parti elit", melihat kepada calonnya yang berkecimpung di arena politik sebagai peguam.  PR amat memerlukan pemimpin dan kekuatan yang dibina di peringkat akar umbi.  Tian Chua mengambil contoh aduan bahawa pemimpin PR diusir dari rumah panjang, kononnya kerana tekanan daripada pihak musuh politik.  Beliau menganjurkan pandangan bahawa kemungkinan pemimpin pembangkang diusir kerana kekurangan dari segi ekonomi yang dihadapi Tuai Rumah.

"Mengikut adat kaum asli, tuai rumah perlu melayan tetamunya dengan jamuan.  Namun, keadaan ekonomi yang terjejas kerana monopoli beberapa kerabat di Sarawak, menyebabkan Tuai Rumah kini serba kurang dari segi ekonomi.  Kedatangan kami mungkin menyusahkan, malah mengaibkan mereka seandainya mereka tidak mampu menyembelih haiwan untuk dijamukan kepada kita," jelasnya.

Malah, Tian Chua berkongsi pengamatannya bahawa jentera pilihan raya kecil kali ini diambil alih oleh pusat, satu fenomena yang dikongsi bersama BN mahupun PR.  Kekurangan dari segi kerahan tenaga diisi dengan orang dari Semenanjung.  Namun demikian, Tian Chua mempertikaikan sejauh manakah model kempen ini diterapkan kepada peringkat akar umbi tempatan, agar mereka boleh menjana jentera ini sendiri apabila masuk gelanggang pilihan raya negeri, malah pilihan raya umum.

Pilihan raya bukan masa terbaik untuk promosi demokrasi

Golongan akar umbi, golongan yang tidak boleh dipandang remeh dalam politik, kerana ia merupakan sumber undi.  Ong Boon Keong sebagai pemerhati pilihan raya, dan aktivis yang giat menggerakkan pendaftaran pengundi di Malaysia Timur, menyeru agar lebih ramai menyertai usaha mereka.

"Pada hakikatnya, tempoh pilihan raya bukanlah masa terbaik untuk mempromosi demokrasi, kerana penduduk tempatan akan menganggap bahawa kita mempunyai motif politik," katanya.

Ong Boon Keong (gambar kiri) juga menyindir pemimpin PR yang hanya mengadu "penyelewangan dan ketidakadilan" Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seandainya kalah dalam pilihan raya.  "Dalam PRK Kuala Terengganu, pemimpin PAS memuji SPR setelah menang," sambungnya, sebelum menambah, "Padahal, penyelewengan berlaku setiap kali dalam pilihan raya..."

Bahagian pertama: Air mata berlinangan mendengar ceramah Mat Sabu

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>