2014-07-26 04:39am
 
KHAS
 
Penerbit tv2 diarah tinggalkan pejabat segera
 
Tan Pek Kwan | May 13, 2010 01:01:00 pm
Kongsi |

Penerbit Galeri Mandarin Nasional tv2, Chou Z Lam yang mendedahkan pembatalan penyiaran dokumentari Empangan Bakun dan pembinaan menara elektrik di Rawang, telah ditamatkan perkhidmatannya, malah diarah untuk meninggalkan pejabatnya di Angkasapuri, hari ini.

Chou Z Lam (gambar kiri) ketika dihubungi oleh MerdekaReview, memaklumkan bahawa dirinya telah menerima "surat penamatan perkhidmatan" dari Bahagian Khidmat Pengurusan pada kira-kira jam 11 pagi ini.  Sambil merakamkan penghargaan terhadap perkhidmatan dirinya, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Shafiq Abdullah menjelaskan kepada Chou Z Lam bahawa perkhidmatannya ditamatkan untuk mengurangkan kos.

Perkhidmatan Chou Z Lam terikat kepada kontrak dengan RTM, yang akan tamat pada Januari 2011.  Namun demikian, kedua-dua pihak (Chou dan RTM) berhak menamatkan kontrak dalam masa 24 jam, tanpa terikat kepada sebarang pampasan.  Dengan kata lain, tiada pampasan kepada Chou Z Lam berikutan "pemecatan" ini.

Chou Z Lam diarah untuk meninggalkan pejabat hari ini, diiringi oleh dua orang pegawai keselamatan.

Berikut adalah surat "penamatan khidmat" yang diterima Chou Z Lam (berwarna biru):

Tuan,

Penamatan Khidmat Pegawai Penerbit Rancangan Galeri Nasional Mandarin (piecemeal)

Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

2.Adalah dimaklumkan bahawa perkhidmatan tuan sebagai Penerbit Rancangan Galeri Nasional Mandarin secara piecemeal di Bahagian Ehwal Semasa, Jabatan Penyiaran Malaysia akan ditamatkan mulai 13 Mei 2010.  Sehubungan dengan itu, saya bagi pihak jabatan ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas sumbangan tuan selama ini.

Sekian.

Saya yang menurut perintah

Dato Mohd Shafiq bin Abdullah
Pengarah
Bahagian Khidmat Pengurusan

Chou Z Lam dakwa diri diambil tindakan kerana pendedahan

Sungguhpun demikian, Chou Z Lam menganggap dirinya dipecat kerana mendedahkan pembatalan penyiaran dokumentari Empangan Bakun dan pembinaan menara elektrik di Rawang, baru-baru ini.  Chou Z Lam menyelar keputusan RTM sebagai pencabulan kepada kebebesan media.

Chou Z Lam, penerbit televisyen kedua yang "hilang kerja" atas nama "kebebasan media" dalam masa sebulan, sejak perletakan jawatan penerbit ntv7, Joshua Wong (gambar kiri) yang tidak berpuas hati dengan self-censorship dalaman.  Chou Z Lam juga seorang kolumnis di MerdekaReview, dan pernah menulis satu artikel berjudul "Bidang kewartawanan: Pentas pancung kalau bukan medan perang!", selepas kejadian pembatalan penyiaran rancangan berlaku.

Malah, Chou Z Lam tetap membela bahawa dokumentari yang diterbitkan Galeri Mandarin Nasional adalah seimbang dari kandungannya, sebaliknya menyelar pihak atasannya tidak menghormati kebebasan media.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Heng Sai Kee menyimpulkan hasil siasatannya bahawa pembatalan siaran berpunca daripada  "kandungan rancangan kurang seimbang" yang diterbitkan Chou Z Lam, dan bukannya "pencabulan kebebasan media" sebagaimana yang dituduh.  Chou Z Lam berkata, "Mereka membatalkannya tanpa menonton!  Tiada penjelasan diberi sebenarnya.  Ia amat tidak adil!"

Chou Z Lam berharap agar kebebasan media terus dipertahankan, malah menyeru agar orang ramai terus mengambil prihatin terhadap kehidupan orang asli di Bakun.

MerdekaReview cuba menghubungi Heng Sai Kee, dan pegawai yang dilantik untuk memantau kandungan rancangan, Yap Shy Cuan untuk mendapatkan respon mereka, tetapi gagal kerana telefon mereka telah dipadamkan.

Bagaimanapun, Yap Shy Cuan akhirnya menjawab panggilan MerdekaReview pada kira-kira jam 6 petang, namun enggan berkata apa-apa berhubung hal ini.

"Saya hanyalah seorang kakitangan kerajaan.  Sebagai seorang kakitangan kerajaan, saya perlu mematuhi prinsip kakitangan.  Jadi agak keberatan untuk saya berkata sesuatu, kamu (wartawan) harus bertanya kepada mereka yang berkuasa untuk membuat kenyataan," katanya.

Malah, apabila diajukan soalan sama ada penamatan perkhidmatan ini berhubung kait dengan pendedahan Chou Z Lam sebelum ini, dan sama ada ianya keputusan dari Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Yap Shy Cuan tetap menjawab, "Saya tidak tahu."

Ketua Pemuda Gerakan selar RTM

Di samping itu, Ketua Pemuda Gerakan Lim Si Pin (gambar kiri) menyelar tindakan RTM untuk menamatkan perkhidmatan Chou Z Lam tanpa alasan yang munasabah.  Menurut kenyataan Lim Si Pin dalam bahasa Cina, RTM menamatkan kontrak Chou Z Lam secara tiba-tiba, malah mengiringi Chou Z Lam keluar dari pejabat dengan pegawai keselamatan, mencungkil keraguan bahawa penamatan kontrak ini berhubung kait dengan pendedahan Chou Z Lam sebelum ini.

Sungguhpun Pemuda Gerakan mengiktiraf hak RTM untuk melaksanakan kuasanya di bawah peruntukan kontrak, tetapi Pemuda Gerakan tidak bersetuju dengan cara RTM menamatkan perkhidmatan Chou Z Lam sewenang-wenangnya, yang dianggap akan menjejaskan imej dan krediliti RTM.

*Tan Pek Kwan ialah Eksekutif (Editorial) MerdekaReview, diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>