2014-04-24 11:08pm
 
KHAS
 
Satu lagi campur tangan BN dalam kebebasan media TV, penerbit TV2
 
MerdekaReview | Apr 28, 2010 01:07:24 pm
Kongsi |

Satu lagi campur tangan Barisan Nasional dalam kebebasan media di stesen televisyen!

Kalau minggu lalu penerbit ntv7 mendedahkan bagaimana stesen televisyen swasta tunduk kepada aduan Jabatan Perdana Menteri dan isteri PM, kini penerbit TV2, Chou Z Lam (gambar kiri) pula membongkarkan bagaimana rancangan dokumentari, Galeri Mandarin Nasional ditarik dan dibatalkan, kerana "tidak baik" untuk PRK Sibu dan pilihan raya negeri Sarawak yang bakal dijalankan.

Rancangan dokumentari ini diterbitkan oleh Chou Z Lam, merakamkan pengalaman kira-kira 10 ribu orang asli yang dipaksa pindah ke Sungai Asap dan Sungai Koyan untuk memberi laluan kepada pembinaan Empangan Bakun pada akhir tahun 1998.

Siri dokumentari ini mempunyai 10 episod keseluruhannya, mula disiarkan pada 26 April, tetapi ditarik secara tiba-tiba dan dibatalkan penyiaran seterusnya pada 28 April, iaitu hari ini.  Mengikut jadual asal, siri dokumentari ini akan ke udara pada 12.20 tengah hari di TV2 setiap hari minggu, mulai 26 April hingga 7 Mei 2010.

Bagaimanapun, setelah disiarkan episod pertama dan keduanya, rancangan ini terpaksa ditarik dan dibatalkan.  Chou Z Lam percaya bahawa pembatalan ini merupakan satu lagi cubaan campur tangan BN dalam kebebasan media.  Beliau cuba mendapatkan penjelasan daripada Ketua Pengarah Bilik Berita, Jumat Engson yang mendakwa bahawa arahan ini datang dari Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Ibrahim Yahya (gambar kanan); yang juga mencerminkan pendirian Jumat Engson.

"Rancangan ini mungkin mengandungi unsur sensitif yang tidak baik untuk PRK Sibu dan pilihan raya negeri yang akan datang."  Demikianlah jawapan yang diterima oleh Chou Z Lam, malah Jumat Engson tidak menolak kemungkinan untuk memberi lampu hijau kepada penyiaran ini apabila keadaan mengizinkan (selepas pilihan raya negeri).

MerdekaReview telah menghubungi Ibrahim Yahya untuk mendapatkan komen daripada beliau, namun beliau mendakwa dirinya sedang berada dalam mesyuarat.

Cuba mendapatkan bantuan Timbalan Menteri KPKK

Zhou Z Lam yang kesal dengan keputusan pihak atasan stesen televisyen awam ini, cuba mendapat bantuan daripada Heng Sai Kee, Timbalan Menteri Penerangan, Kebudayaan & Komunikasi.  Zhou Z Lam menaruh harapan agar Heng Sai Kee menggesa Ketua Pengarah Penyiaran RTM untuk menarik balik keputusan pembatalan rancangan tersebut, atas pendirian menjaga kepentingan rakyat.

Namun, Zhou Z Lam dihampakan untuk kali kedua, apabila Heng Sai Kee melalui setiausahanya, memberi jawapan yang berbunyi, "Timbalan Menteri enggan campur tangan dalam hal ehwal dalaman kamu."

Suara orang asli

Demikianlah luahan oleh Zhou Z Lam dalam satu kenyataannya yang dipaparkan pada blognya, hari ini.  Malah, dalam kenyataan tersebut, Zhou Z Lam meluahkan kekesalan dan memohon maaf kepada orang asli di Sungai Asap, yang ditemuramah olehnya ketika rakaman dokumentari ini.

"Campur tangan dalam kebebasan media telah menyekat suara dan pandangan mereka daripada didengar dan diambil berat oleh negara, rakyat di Malaysia Barat dan Timur.  Arahan pembatalan ini bukan sahaja mencabul kebebasan bersuara orang asli di Sarawak, dan hak untuk mendapat maklumat audien, malah bercanggahan dengan semangat 'Rakyat Didahulukan' dalam gagasan 1Malaysia oleh PM," kata Zhou Z Lam.

Beliau menyambung, "Seandainya faktor PRK Sibu dan pilihan raya negeri Sarawak boleh dijadikan alasan pembatalan rancangan ini, apa yang diamalkan oleh Ketua Pengarah Penyiaran RTM sebenarnya penapisan diri yang berlandaskan 'Politik Didahulukan', yang langsung bertentangan dengan etika dan profesional kewartawanan."

Zhou Z Lam bagaimanapun berharap agar Ketua Pengarah Penyiaran RTM mempertimbangkan semula arahan tersebut, untuk mengembalikan kredibiliti RTM yang semakin menjunam.  Beliau juga berharap kebebasan bersuara orang asli Sarawak dan hak infomasi audien boleh dipertahankan.

Wing Miku: Harap dilaporkan masalah orang asli

Di samping itu, penduduk orang asli di Sungai Asap, Wing Miku yang tidak dapat menonton Galeri Mandarin Nasional pada 12.20 tengah hari ini di saluran TV2, diberitahu bahawa rancangan tersebut dibatalkan setelah menghubungi Chou Z Lam.  Wing Miku kemudiannya menghubungi Ibrahim Yahya.

"Saya tanya mengapa penyiaran rancangan tersebut dihentikan, beliau (Ibrahim Yahya) memberitahu bahawa siri dokumentari ini hanya mempunyai dua episod.  Jadi, siri dokumentari ini telah habis disiarkan," kata Wing Miku.

Namun, menurut laporan Malaysiakini, jawapan Ibrahim Yahya berbunyi, "Saya tidak memberi arahan sedemikian, kamu harus pergi tanya Chou (Z Lam)."

Ketika ditemuramah MerdekaReview, Wing Miku memberitahu bahawa beliau menyatakan harapannya kepada Ibrahim Yahya, agar RTM melaporkan lebih banyak masalah orang asli agar mendapat perhatian umum.  Lantas Ibrahim Yahya memberitahu bahawa beliau sedang bermesyuarat dan akan berbincang dengan Wing Miku kemudian.

MerdekaReview juga cuba untuk menghubungi Ibrahim Yahya buat kali kedua, namun talian terputus setelah dihubungi.

Yang berikut adalah episod siri dokumentari yang dijadualkan:

Pertama: Masalah ekonomi yang dihadapi 10 ribu orang asli di 15 rumah panjang, dan cadangan penyelesaiannya. (Telah disiarkan pada 26 April 2010)

Kedua: Masalah kemiskinan yang timbul berikutan tanah tanaman yang tidak subur dan tidak cukup. (Telah disiarkan pada 27 April 2010)

Ketiga: Bantuan kepada petani yang diberikan oleh kerajaan, dan maklum balas petani. (Dijadual untuk disiarkan pada 28 April, ditarik secara tiba-tiba)

Keempat: Masalah berhenti belajar kanak-kanak yang disebabkan masalah pengangkutan dan ekonomi. (Dijadual untuk disiarkan pada 29 April, telah dibatalkan)

Kelima: Apakah kesudahan tanah, rumah panjang, pampasan perpindahan yang pernah dijanjikan oleh kerajaan kepada orang asli. (Dijadual untuk disiarkan pada 30 April, telah dibatalkan.)

Keenam: Sejauh manakah Empangan Bakun diperlukan?  Kajian keperluan elektrik. (Dijadual untuk disiarkan pada 3 Mei, telah dibatalkan.)

Ketujuh: Nasib kubur orang asli di kawasan hulu Empangan Bakun, dan budaya perkuburan kaum tersebut. (Dijadual untuk disiarkan pada 4 Mei, telah dibatalkan.)

Kelapan: Kesan Empangan Bakun terhadap ekosistem kawasan hilir, dan 10 ribu penduduk di situ. (Dijadual untuk disiarkan pada 5 Mei)

Kesembilan: Adat dan hak tanah orang asli di kawasan hilir empangan, dengan kes kajian Long Bangan. (Dijadual untuk disiarkan pada 6 Mei)

Kesepuluh: 12 tuntutan daripada penduduk Sungai Asap terhadap kerajaan dan pemaju empangan. (Dijadual untuk disiarkan pada 7 Mei, digugurkan)



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>