2014-07-30 12:58pm
 
KHAS
 
RM76 juta dibayar kepada APCO, antaranya menemukan Najib-Obama
 
Wong Shu Qi | Apr 14, 2010 01:09:21 pm
Kongsi |

Menteri Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz mengakui bahawa kos perkhidmatan yang dibayar kepada APCO Worldwide berjumlah RM76.82 juta setahun, malah memuji sumbangan APCO dalam usaha memperbaiki hubungan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat.

Sambil menuding jari kepada dua orang bekas Perdana Menteri yang "menjejaskan hubungan antara Kuala Lumpur-Washington", Nazri mendakwa bahawa hubungan dua hala yang terjejas dalam tempoh 28 tahun ini hanya boleh diperbaiki dengan membelanjakan wang.

Nazri Aziz tidak menafikan bahawa kerajaan Malaysia menggunakan perkhidmatan APCO Worldwide untuk memperbaiki hubungan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat, "APCO Worldwide bertanggungjawab untuk membina imej negara kita di Amerika Syarikat, agar hubungan kita dengan Amerika Syarikat lebih erat.  Apakah anda menganggap syarikat tempatan Malaysia boleh mengeratkan hubungan antara kita dengan Amerika Syarikat?"

Hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat dianggap "kurang erat" semasa zaman pemerintahan PM keempat dan kelima, iaitu Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi, jadi Nazri (gambar kiri) tidak melihat wujudnya masalah untuk memperbaiki hubungan dengan Amerika Syarikat atas nama diplomatik dan ekonomi.

"Sekiranya kita tidak berbaik dengan Amerika Syarikat, Amerika Syarikat langsung tidak akan mempedulikan kita.  Kita perlu memperbaiki hubungan yang terjejas semasa zaman pemerintahan 22 tahun oleh Mahathir Mohamad dan enam tahun oleh Abdullah Ahmad Badawi.  Anda ingat kita boleh meredakannya tanpa berbelanja?" tanya Nazri ketika ditemuramah media di parlimen, semalam.

Malah, Nazri menambah bahawa kerja melobi adalah sesuatu yang lumrah di Amerika Syarikat.  "Anda perlu lobi (barulah kerja diselesaikan dengan baik), dan pelobi terbesar di Amerika Syarikat ialah pelobi Israel."

Memuji Najib

Setelah mempersalahkan Mahathir dan Abdullah, berikutan hubungan kurang erat dengan Amerika Syarikat yang memberi kesan kepada pembangunan ekonomi, Nazri seterusnya memuji PM sekarang, Najib Razak, "Najib bukan untuk dirinya, beliau melakukan ini demi negara.  Apa salahnya berbaik dengan Amerika Syarikat?  Ia hanya akan memanfaat ekonomi kita."

Najib mengambil contoh pertemuan antara Najib dengan Obama (gambar kanan), sebagai bukti untuk menunjukkan APCO Worldwide menjalankan tugasnya dengan baik.  "Apa yang kita belanjakan amat berbaloi, kita mendapat pulangannya."

"Prestasi APCO Worldwide cukup baik.  Setakat ini Obama hanya meluangkan masa untuk berjumpa dengan Najib dan Hu Jintao (Presiden China).  China tu China (pengaruh besar), tapi Obama berjanji untuk bertemu dengan Najib," jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim ketika membahaskan Titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dalam persidangan Dewan Rakyat penggal ini mencungkil kontroversi apabila mengkritik kerajaan kerana menggunakan perkhidmatan syarikat Israel, APCO Worldwide, yang juga digunakan oleh diktator negara lain. 【Baca: APCO dan 1Malaysia】

"...Diktator yang kaya akan menggunakan (syarikat) yang terbaik.  Jadi, mengapa mereka menggunakan APCO Worldwide?  Ini kerana APCO Worldwide terlalu baik (perkhidmatannya).  Kalaulah mereka nak membina imej yang baik di Amerika Syarikat, mereka perlu menggunakan APCO Worldwide," ulas Nazri.

Mengambil contoh Karpal dan Anwar

Bahkan, Nazri mengambil contoh peguam terkemuka, Karpal Singh yang juga Pengerusi DAP, "Tahukah anda siapa yang akan mengupah Karpal Singh dalam kes mahkamah?  Pembunuh, penyeludup... Kerana mereka nak bebaskan diri daripada hukuman.  Mereka perlu mendapatkan peguam yang terbaik.  Ada yang berkata Karpal Singh adalah yang terbaik.  Jadi mereka mengambil Karpal Singh..."

"Tapi, bolehkah anda berkata Anwar Ibrahim adalah pembunuh kerana beliau menggunakan Karpal Singh (gambar kiri) sebagai peguam belanya?" tanya Nazri.

Karpal Singh kini adalah peguam bela Anwar Ibrahim dalam kes liwat.

Oleh itu, Najib menganggap pembangkang tidak harus meringkaskan isu ini, menyamakan penggunaan APCO Worldwide dengan isu lain sewenang-wenangnya.  Malah, beliau mendakwa bahawa beliau pernah menyemak senarai nama Zionis, dan akhirnya beliau mendapati lebih separuh daripadanya adalah kawan Anwar.

"Jadi, beliau (Anwar) boleh berkawan dengan orang ini, dan kami tak boleh," sindirnya.

Tian mempertikaikan Nazri

Sebelum ini, ahli parlimen Batu-PKR Tian Chua mengadakan sidang media di koridor parlimen, mempertikaikan kejujuran Nazri dengan menunjukkan jawapan bertulis daripada Jabatan Perdana Menteri.  JPM memberi jawapan bahawa kontrak perkhidmatan APCO Worldwide bernilai RM76,820,563 setahun, jauh berbeza dengan jawapan yang diberikan Nazri sebelumnya ketika ditemuramah media, iaitu RM28 juta.

Namun, Nazri mendakwa bahawa kedua-dua pihak sebenarnya tidak pasti dengan angka RM28 juta itu, tetapi beliau berjanji kepada Tian Chua (gambar kanan) secara peribadi, bahawa beliau akan mengemukakan jawapan yang terperinci seandainya Tian Chua menulis secara rasmi kepada JPM.

"Jadi, inilah jawapan tepatnya,"  Nazri menegaskan bahawa beliau tidak menolak untuk memberi jawapan, "Anda boleh menyemak minit mesyuarat.  Saya (pada ketika itu) berkata saya tidak mempunyai maklumat yang terperinci.  Dan saya juga kata, seandainya saya ada maklumat terperinci, maka saya boleh mendedah kepada semua orang."

Dalam satu wawancara bersama Malaysian Insider pada 7 April 2010, Nazri memberi reaksinya terhadap tindakan ahli parlimen Pokok Sena-PAS, Mahfuz Omar yang melaungkan "UMNO-APCO" dalam dewan.  Nazri berkata, "'UMNO-APCO' adalah tuduhan yang serius.  Parti komponen Barisan Nasional, UMNO menggunakan RM28 juta untuk mengupah APCO.  Tetapi, mengatakan UMNO itu APCO dan APCO itu UMNO, membawa makna bahawa kami memasukkan wang kerajaan dalam saku UMNO.  Kenyataan sedemikian membawa maksud bahawa kerajaan jelas menyedari bahawa APCO dimiliki UMNO, dan kemudian membayar RM28 juta kepada APCO.  Tuduhan ini serius sekali."

*Wong Shu Qi ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.



 
Sebelumnya
<< Rafizi gesa tubuh NOW untuk lindungi pemberi maklumat
Seterusnya
>> MerdekaReview menamatkan operasi
 


  Pembaca yang menggunakan kebebasan bersuara melalui laman sosial di sini, pada masa yang sama bertanggungjawab ke atas kebebasan itu sendiri.
   
 

 
TERKINI
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
 
ANTARA YANG TERHANGAT
 
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>
>>